Wednesday, December 29, 2010

ABDUL Aziz Jaafar secara simbolik mengemudi kapal peronda KD Selangor sambil diperhatikan oleh Mohd. Samsuri Katemon (kanan) selepas majlis pentauliahan kapal berkenaan di Pangkalan TLDM Lumut,semalam.

LUMUT 28 Dis. - Majlis pentauliahan Kapal Diraja (KD) Selangor dalam perkhidmatan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) hari ini mengembalikan legasi serta kemasyhuran kapal peronda KD Selangor yang telah dilucutkan tauliah pada 1995.

Sepanjang perkhidmatannya selama 32 tahun dalam TLDM sejak 1963, KD Selangor yang dibina oleh syarikat Vosper Thrnycraft Limited Portsmouth, England pada 1961 telah banyak berbakti dalam menjaga kedaulatan melalui siri rondaan di perairan negara.

Salah satu peristiwa penting yang tercoret dalam sejarah KD Selangor ialah pertempuran antara kapal itu dengan Kor Komando Penggempur Indonesia di Selat Singapura pada 24 Julai 1964.

Dalam pertempuran itu, KD Selangor yang di bawah pemerintahan Leftenan P.K Nettur telah berjaya membunuh semua musuh serta menenggelamkan bot mereka.

Namun, kejadian itu mengakibatkan Laskar Kelas Satu Mekanik Elektrikal, Abdul Samad Sulaiman terkorban manakala Laskar Kanan Persenjataan, Kweh Onn Cheong dan Pegawai Kadet Kanan, Musa Jabar tercedera.

Pada majlis pentauliahan KD Selangor, Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar berkata, peristiwa itu membuktikan pengorbanan yang sanggup dilakukan oleh anak-anak kapal KD Selangor dalam mempertahankan kedaulatan dan integriti perairan negara.

''Oleh itu, saya harap pentauliahan KD Selangor ini dapat mengingatkan kita kepada rumpun sejarah perpaduan di antara The Navy People dan akan membakar semangat sedia berkorban di kalangan generasi baru warga kapal KD Selangor khasnya dan warga TLDM amnya," katanya.

Menurut Abdul Aziz, kehadiran kapal itu dapat memperkukuhkan kekuatan armada TLDM dalam menentukan keselamatan perairan negara sentiasa terpelihara daripada ancaman dan anasir pencerobohan.

Katanya, KD Selangor dibina berkonsepkan fitted for but not with yang membolehkan kapal peronda itu menukar peranannya menjadi kapal bercirikan kombat tanpa perlu melalui proses pengubahsuaian yang rumit.

''KD Selangor juga direka bentuk sebagai sebuah kapal bestari iaitu kecanggihan peralatannya boleh dioperasikan dengan jumlah krew yang minimum tetapi berupaya mengekalkan tahap dan tempoh pengoperasian tinggi," ujarnya.

Krew pertama KD Selangor terdiri daripada 10 pegawai dan 58 anggota lain-lain pangkat yang diketuai Komander Mohd. Samsuri Katemon selaku Pegawai Memerintah dan Leftenan Komander Mohd. Ezam Abdul Rahman sebagai Pegawai Laksana.

Beliau memberitahu, KD Selangor akan melaksanakan latihan kemahiran dan penyesuaian laut bagi menyediakan dan menyesuaikan fungsinya untuk menjalankan tugas-tugas operasi.

''Latihan yang juga dikenali sebagai 'work-up' ini bertujuan menentukan warga kapal yang baru ditauliahkan ini mempunyai tahap kesiagaan menyeluruh sebelum melaksanakan penugasan operasi yang sebenar.

''Apabila KD Selangor sudah bersedia sepenuhnya, kapal ini akan ditempatkan di Pangkalan TLDM Lumut di bawah pemerintahan Markas Armada untuk melaksanakan tugas rondaan khususnya di perairan Selat Melaka," katanya.

Untuk rekod, KD Selangor sepanjang 91.1 meter dan lebar 12.8 meter menggunakan sistem persenjataan STN Atlas Cosys 110-M1 dan senjata utamanya ialah meriam 76 milimeter (mm) OTO Melara dan meriam 30 mm OTO Breda.

Selain KD Selangor, sebuah lagi Kapal Ronda Generasi Baru (NGPV) yang ditempatkan di Pangkalan TLDM Lumut ialah KD Kelantan.

Empat lagi NGPV iaitu KD Kedah dan KD Pahang yang dibina di Limbungan Blohm & Voss di Hamburg, Jerman ditempatkan di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu, Sabah manakala KD Perak dan KD Terengganu ditempatkan di Pangkalan TLDM Kuantan.

Panglima Tentera Laut menyatakan, semua kapal peronda tersebut kini merupakan tulang belakang kepada segala operasi yang dilaksanakan di wilayah masing-masing.


CyberCoxswain: Welcome aboard!

Friday, December 24, 2010

Bekas Panglima ATM meninggal

TUANKU Mizan Zainal Abidin mengaminkan doa ketika menziarahi jenazah Allahyarham Tun Ibrahim di kediamannya di Villa Sang Suria, Jalan Mesra off Jalan Damai, Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR: Bekas Panglima Angkatan Tentera, Jeneral (B) Tun Ibrahim Ismail, 88, yang digelar Pahlawan Melayu atas jasa bakti dan pengorbanannya kepada negara, meninggal dunia kerana komplikasi sakit tua di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, di sini, awal pagi semalam.

Allahyarham yang dirawat di hospital berkenaan lebih sebulan lalu, meninggal dunia di sisi isteri, Toh Puan Zakiah Ahmad, dan empat anaknya kira-kira jam 4.40 pagi.

Jenazah dibawa pulang ke rumahnya di Villa Sang Suria, Jalan Mesra off Jalan Damai Kelab Aman di sini, sebelum dibawa ke Masjid Negara untuk penghormatan terakhir serta disembahyangkan dan dikebumikan selepas solat Asar di Makam Pahlawan dengan penuh istiadat ketenteraan.

Allahyarham yang menabur bakti dalam tentera selama 36 tahun sejak 1941, turut meninggalkan 14 cucu dan empat cicit.

Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin turut berangkat menziarah jenazah Allahyarham di kediamannya kira-kira jam 12 tengah hari.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor turut memberi penghormatan menghadiri pengebumian Allahyarham bersama beberapa kenamaan termasuk bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Azizan Ariffin.

Sementara itu, Zakiah berkata, suaminya meninggal dunia dalam keadaan tenang di sisi semua ahli keluarga dan sempat berjumpa dengan semua rakan lama dan kepemimpinan ATM sekarang ketika dirawat di hospital.

Allahyarham ketika sakit pernah berkata bila tiba masanya saya akan pergi juga, jangan sedih-sedih... beliau selalu berpesan dalam hidup ini kalau kita rasa susah, sebenarnya ada orang lain yang lebih susah, katanya.


CyberCoxswain: Takziah kepada keluarga Toh Puan dan semoga roh allahyarham dicucuri rahmat. Al Fatihah...

Thursday, December 23, 2010

Roket nuklear India

INDIA hari ini berjaya mengadakan ujian tembakan roket nuklear jarak dekatnya sejauh 350 kilometer. Roket yang dikenali Prithvi II itu dilancarkan dari Chandipur, Orissa, India. - Foto AP
Dec 22, 2010 6:25 pm


CyberCoxswain: Tahniah India... adakah kemajuan teknologi melampaui keperluan... gunakanlah untuk kebaikan manusia sejagat.

Monday, December 20, 2010

BM5 jimat RM3j sebulan

KUALA LUMPUR 14 Dis. - Pelaksanaan Operasi Fajar sejak menggunakan kapal kontena Bunga Mas Lima (BM5) milik MISC Berhad yang diubah suai menjadi kapal auxiliary (bantuan dan tugas-tugas khas) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) telah dapat menjimatkan wang kerajaan sebanyak RM3 juta sebulan.

Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar berkata, ini kerana kapal milik TLDM yang digunakan untuk operasi itu sebelum ini tidak mampu bertahan lama serta perlu membeli minyak pada kadar yang lebih tinggi ketika berada di perairan.

Kapal-kapal TDLM sebelum ini juga katanya, perlu membuat persinggahan yang kerap untuk melakukan ulang bekal dan proses itu memerlukan peruntukan kewangan yang tinggi.

"Pelaksanaan Operasi Fajar menggunakan BM5 adalah satu langkah inovasi yang menjimatkan bukan sahaja wang TLDM tetapi wang rakyat dan telah pun dicontohi negara-negara maju lain," katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis sambutan Hari Inovasi Kementerian Pertahanan di sini hari ini.

BM5 ialah sebuah kapal kontena bersaiz 699 TEU dan kapal dagang pertama di Malaysia yang diubahsuai sebagai sebuah kapal auxiliary TLDM.

Kerja-kerja pengubahsuaian telah dijalankan oleh Malaysia Marine and Heavy Engineering Sdn. Bhd. (MMHE), anak syarikat MISC di limbungan kapal MMHE, Pasir Gudang, Johor.

Kapal yang diubah suai dengan kerjasama MISC Berhad, TLDM dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) itu selaras dengan kerumitan dan ancaman lanun yang sering berlaku selain bertujuan mengiringi dan melindungi kapal-kapal MISC yang melalui perairan Teluk Aden.

Mengulas lanjut, Abdul Aziz berkata, BM5 yang mula ditauliahkan dalam perkhidmatan TLDM pada 1 Jun tahun lalu itu telah berjaya melaksanakan lima operasi dengan cemerlang sejak berada di perairan Teluk Aden bermula 2 Julai tahun lalu.

"Sejak mula beroperasi di Teluk Aden, BM5 sehingga kini telah berjaya melakukan tugasnya dengan cemerlang dan dijadikan contoh beberapa negara maju termasuk Jepun, Korea dan Jerman.

"Sejak perkhidmatan BM5 di perairan Teluk Aden, Alhamdulillah tidak ada kapal milik MISC yang ditawan oleh lanun dan ini secara langsung telah menaikkan nama Malaysia dan MISC serta menjadikan MISC antara syarikat pengusaha kapal terpilih dunia," katanya.

Dari segi keanggotaan pula katanya, BM5 terdiri daripada 21 orang Pasukan Simpanan Sukarela TLDM (PSSTLDM) yang merupakan pekerja MISC yang dilatih dan 40 warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM).


CyberCosxswain: Tahniah dan syabas kepada anggota-anggota PSSTLDM yang berkhidmat di kapal ini. Satu contoh amalan murni untuk diikuti oleh warganegara Malaysia yang lain.

Thursday, December 16, 2010

Tidak longgar syarat sertai ATM

Zahid Hamidi melihat cenderahati yang disampaikan oleh Kapten Azizi Hashim yang terlibat dalam Ekspedisi Merdeka 1Malaysia Kuala Lumpur-London di Parlimen, semalam. - utusan/Nooradzrene Mohd Noor

KUALA LUMPUR 15 Dis. - Kementerian Pertahanan tidak akan sesekali melonggarkan syarat kemasukan ke dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) hanya demi menarik minat penyertaan kaum tertentu ke dalam perkhidmatan itu.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, ini kerana sebarang kelonggaran untuk kemasukan seperti berkenaan keadaan fizikal individu hanya akan mengakibatkan anggota yang diterima masuk tidak menepati syarat ditetapkan.

Sebaliknya, tegas beliau, kementerian dan ATM akan memperhebatkan usaha promosi bagi menggalakkan penyertaan pelbagai kaum ke dalam perkhidmatan itu seperti melalui siri jelajah ke seluruh negara.

"Syarat kemasukan tidak ada kompromi, kalau tidak, kita tidak akan ada tentera yang berkualiti," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengadakan perjumpaan dengan MIC dan Persatuan Bekas Angkatan Tentera India Malaysia (Perim) di bangunan Parlimen di sini hari ini.


CyberCoxswain: pastikan syarat kemasukan dipenuhi utk satu malaysia dan lepas ni bagi gaji setara atau lebih dari kakitangan kerajaan lain termasuk polis untuk para anggota tentera kita.

Wednesday, December 15, 2010

Kapal selam nuklear terbesar di Britain

KAPAL selam nuklear terbesar di Britain akan dilancarkan di Barrow-In-Furness esok.

BARROW-IN-FURNESS - Tentera Laut DiRaja Britain akan melancarkan kapal selam nuklear terbesar di negara itu yang berharga £1.2 bilion (RM5.9 bilion), dikenali sebagai HMS Ambush di sini, Cumbria, barat daya England, esok, lapor sebuah akhbar semalam.

Kapal selam nuklear seberat 7,400 tan itu sepanjang 88.6 meter atau menyamai sebuah padang bola sepak dan selebar empat buah bas. Tingginya pula menyamai bangunan 12 tingkat.

Reaktor nuklear yang menjana HMS Ambush mampu membekalkan tenaga untuk bandar Southampton dan ia tidak perlu naik ke permukaan laut sepanjang jangka hayatnya atau selama 25 tahun serta boleh memusnahkan musuh pada jarak lebih 1,600 kilometer.

Kapal selam jenis pemburu dan pemusnah itu turut berupaya mengitar oksigen dan memproses air bersih daripada air laut untuk 98 krunya pada waktu krisis.

Pihak musuh menggeruni kapal HMS Ambush kerana ia senyap. Kapal itu sukar dikesan dan dilengkapi radar yang boleh mengesan kapal atau kapal selam pada jarak lebih 3,000 kilometer.

Bagi memastikan ia memiliki kuasa pemusnah yang hebat, kapal selam itu akan dilengkapi 38 peluru berpandu termasuk peluru Tomahawk yang memiliki jarak sekitar 2,000 kilometer selain torpedo berat Spearfish. - Agensi


CyberCoxswain: Dunia semakin canggih... boleh terus selam tak timbul-timbul...