Wednesday, April 29, 2009

Syiling Peringatan Sempena Jubli Intan TLDM

Bank Negara Malaysia mengeluarkan tiga jenis duit syiling peringatan bersempena sambutan Ulang Tahun Ke-75 penubuhan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM). Duit syiling peringatan ini dilancarkan hari ini oleh DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj selaku Kapten Yang Dipertua Tentera Laut Diraja Malaysia, di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia, Lumut, Perak.

Duit syiling peringatan ini sah diperlakukan dan mempunyai spesifikasi berikut:

1. Duit Syiling Peringatan Emas (pruf)
Duit syiling pruf ini diperbuat daripada logam emas dengan ketulenan 999.9 dan berat setiap keping ialah 7.96 gram. Nilai muka duit syiling ini ialah RM100 dan harga jualannya RM1,200 sekeping. Sebanyak 100 keping sahaja ditempa.

2. Duit Syiling Peringatan Perak (pruf)
Duit syiling pruf ini diperbuat daripada logam perak Sterling dengan ketulenan 92.5 dan berat setiap keping ialah 21.00 gram. Nilai muka duit syiling ini ialah RM10 dan harga jualannya RM150 sekeping. Sebanyak 300 keping sahaja ditempa.

3. Duit Syiling Peringatan Emas Nordic
Nilai muka duit syiling Emas Nordic ini ialah RM1 dan harga jualannya RM10 sekeping. Sebanyak 10,000 keping ditempa.

Kesemua duit syiling ini juga boleh didapati dalam set 3 dalam 1, dan set 2 dalam 1. Set 3 dalam 1 mengandungi duit syiling emas, perak dan emas Nordic pruf. Set ini dijual pada harga RM1,450 setiap set dan hanya terdapat 150 set sahaja. Set 2 dalam 1 pula mengandungi duit syiling perak dan emas Nordic pruf. Setiap set duit syiling ini dijual pada harga RM200 dan hanya terdapat 200 set sahaja.

Reka Bentuk Duit Syiling
Berikut ialah penerangan tentang reka bentuk duit syiling peringatan Ulang Tahun Ke-75 penubuhan TLDM:

1. Bahagian Hadapan Duit Syiling
Memaparkan tanda kebesaran TLDM pada bahagian tengah duit syiling. Padanan tulisan Jawi bagi perkataan "Ulang Tahun Ke-75" dan "Tentera Laut Diraja Malaysia" masing-masing tertera pada bahagian atas dan bawah duit syiling ini.

2. Bahagian Belakang Duit Syiling
Memaparkan kapal selam TLDM jenis Scorpene yang pertama, yang dinamakan Kapal Diraja Tunku Abdul Rahman, mengambil sempena nama Perdana Menteri Malaysia yang pertama (dijangka tiba pada bulan Julai 2009). Perkataan "Jubli Intan TLDM" tertera pada bahagian tengah duit syiling. Perkataan "BANK NEGARA MALAYSIA" pula dipaparkan pada bahagian atas duit syiling, manakala nilai mukanya pada bahagian bawah duit syiling.

Lokasi Jualan
Duit syiling peringatan ini ditempa dan diedarkan oleh Bank Negara Malaysia dan akan mula dijual pada 28 April 2009 di ibu pejabat Bank Negara Malaysia (BNMLINK), dan di cawangannya di Pulau Pinang, Johor Bahru, Kuala Terengganu, Kota Kinabalu dan Kuching.

Sumber: Bank Negara Malaysia (27 April 2009)

CyberCoxswain: Payah benar nak dapatkan syiling peringatan sempena Sambutan Ulangtahun TLDM ke-75 ini. Ramai jugak peminat-peminat syiling peringatan mahupun peminat navy people ini berebut-rebut nak dapatkannya. Semuanya SOLD OUT! tak sampai beberapa minit dijual. Siapa yang sempat beli baguslah, kalau tak sempat.... ada orang nak jualkan?

Tuesday, April 28, 2009

TLDM setanding armada Barat

LUMUT 27 April - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bangga dengan pencapaian yang ditunjukkan oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang kini dianggap sebagai pasukan marin berprestij setanding dengan armada laut di negara Barat.

[ Keterangan Gambar: SULTAN Sharafuddin Idris Shah menerima tabik hormat ketika Istiadat Perbarisan Penganugerahan dan Mengarak Panji-Panji Pasukan sempena sambutan Jubli Intan TLDM di Stadium Pangkalan TLDM Lumut, Perak, semalam. - BERNAMA ]

Baginda yang merupakan Kapten Yang Dipertua TLDM bertitah, pencapaian TLDM itu berikutan pelbagai perubahan yang dibuat pihak pengurusan pasukan tersebut.

Sultan Sharafuddin yang juga kagum dengan kemajuan dari aspek pembangunan dan pemodenan pasukan itu menyifatkannya sebagai sangat memberangsangkan.

"Daripada sebuah angkatan laut yang kecil atau brown water navy dengan hanya memiliki beberapa kapal ronda, TLDM kini mempunyai armada canggih dengan keupayaan yang disegani dalam ketiga-tiga dimensi peperangan maritim.

"Kehadiran dua buah kapal selam iaitu Kapal Diraja (KD) Tunku Abdul Rahman dan KD Tun Abdul Razak nanti adalah pelengkap kepada keupayaan tempur armada kita," titah baginda.

Baginda bertitah pada Istiadat Perbarisan Penganugerahan dan Mengarak Panji-Panji Pasukan sempena sambutan Jubli Intan TLDM di Stadium Pangkalan TLDM di sini hari ini.

Titah baginda lagi, TLDM cukup bertuah kerana memiliki strategi pengurusan, program pembangunan prasarana dan perolehan aset bagi memastikan kekuatan angkatan laut Malaysia seiring dengan pembangunan negara.

Pada masa sama, Sultan Sharafuddin mengingatkan semua warga TLDM supaya tidak mudah berpuas hati dengan kejayaan yang diperoleh kerana sikap leka atau bangga boleh membawa kepada kekecewaan dan kegagalan.

"Warga TLDM harus sentiasa berwaspada dan bersedia dalam semua aspek termasuk kekuatan fizikal, rohani dan mental untuk menghadapi semua cabaran dan sentiasa bersiap sedia dalam menunaikan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan.

"Sejajar dengan cogan kata Sedia Berkorban yang tersemat di jiwa dan raga setiap warga TLDM, beta yakin bahawa harapan TLDM ke arah tentera laut bertaraf dunia dan visinya untuk menjadi tentera laut berkualiti akan tercapai kelak," titah Sultan Selangor.

Baginda bertitah, warga TLDM perlu terus gigih membawa pembaharuan dalam organisasi.

Titah baginda, bagi meneruskan kegemilangan berkenaan, setiap anggota TLDM harus meningkatkan penguasaan ilmu dan kemahiran masing-masing.

"Ini penting memandangkan hanya warga yang berilmu sahaja bersedia untuk menghadapi persaingan alaf baru yang lebih sukar dan mencabar," titah baginda.

Terdahulu, Sultan Sharafuddin melancarkan buku 75 tahun TLDM: Brown to Blue, Jurnal KD Tunas Samudera mengelilingi dunia, setem korporat serta syiling kenang-kenangan Jubli Intan, Pusat Sumber Maritim serta sejarah TLDM di Auditorium M. Sidek Shahbudin di sini.

Turut hadir Panglima Tentera Laut, Laksamana Datuk Seri Abdul Aziz Jaafar; Timbalan Panglima TLDM, Datuk Wira Mohamed Nordin Mohd. Ali dan Panglima Armada, Laksamana Madya Datuk Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin.

SUMBER: Utusan Malaysia Online
Oleh: NORSHARUDDIN SAPIAN
utusanperak@utusan.com.my

CyberCoxswain: TAHNIAH DAN SELAMAT ULANGTAHUN TLDM KE-75 TAHUN! GEMPUR WIRA!

Monday, April 27, 2009

Pengambilan Perajurit Muda TLDM

Peluang terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia yang mencari-cari tempat dalam TLDM. Kini Pengambilan Perajurit Muda TLDM sedang dilakukan di kawasan terdekat anda.

Jika anda berminat untuk menyumbang bakti kepada negara melalui Tentera Laut kini masanya sudah tiba untuk anda menghadiri sesi pemilihan (sila rujuk jadual dibawah untuk waktu dan tempat seterusnya) 2009.

1) Sila hadir di pusat pemilihan yang tercatat seperti di Jadual Pemilihan. Waktu pendaftaran dibuka mulai jam 0830 pagi hingga 0900 pagi, permohonan tidak akan diterima selepas waktu pendaftaran. Pemohon dikehendaki berpakaian sukan, baju 'T' berkolar, seluar panjang sukan, berkasut sukan dan berstokin.

2) Semua calon dikehendaki membawa bersama sekeping gambar terbaru berukuran passport (gambar tidak akan dikembalikan) dan sampul surat bersetem RM1 berukuran 16cm x 23cm beralamat sendiri.

Jadual Pemilihan di Semenanjung Malaysia.

TARIKH / HARI / TEMPAT / PUSAT PEMILIHAN (PEMOHON)
28 Apr 09 Selasa Dungun, Terengganu Sek. Men. Keb. Sultan Omar (Lelaki)
29 Apr 09 Rabu Kuala Terengganu Sek. Men. Keb. Tengku Bariah (Wanita)
30 Apr 09 Khamis Kuala Terengganu Sek. Men. Keb. Tengku Bariah (Lelaki)
2 Mei 09 Sabtu Kota Bharu, Kelantan Sek. Keb. Padang Gadong II (Wanita)
3 Mei 09 Ahad Rantau Panjang, Kelantan Sek. Men. Keb. Rantau Panjang (Lelaki)
4 Mei 09 Isnin Tanah Merah, Kelantan Sek. Men. Keb. Tanah Merah 1 (Lelaki)
6 Mei 09 Rabu Alor Setar, Kedah Kolej Sultan Abdul Hamid (Wanita)
7 Mei 09 Khamis Sg. Petani, Kedah Sek. Men. Keb. Sungai Layar (Lelaki)
9 Mei 09 Sabtu Butterworth Sek. Keb. Pokok Sena (Wanita)
10 Mei 09 Ahad Butterworth Sek. Keb. Pokok Sena (Lelaki)
12 Mei 09 Selasa Taiping, Perak Sek. Men. Keb. King Edward VII (Lelaki)
13 Mei 09 Rabu Ipoh, Perak Sek. Keb. Cator Avenue (Wanita)
14 Mei 09 Khamis Ipoh, Perak Sek. Men. Keb. St Michael (Lelaki)
16 Mei 09 Sabtu Kuala Lumpur Sek. Men. Keb. Cochrane Perkasa (Lelaki)
17 Mei 09 Ahad Kuala Lumpur Sek. Men. Keb. Cochrane Perkasa (Wanita)
19 Mei 09 Selasa Masjid Tanah, Melaka Sek. Men. Keb. Ghafar Baba (Lelaki)
20 Mei 09 Rabu Alor Gajah, Melaka Sek. Men. Keb. Sri Pangkalan (Wanita)
21 Mei 09 Khamis Bandar Melaka Sek. Men. Pay Fong (Lelaki)
23 Mei 09 Sabtu Johor Bharu, Johor Sek. Keb. Temenggung Abdul Rahman 2 (Wanita)
24 Mei 09 Ahad Johor Bharu, Johor Sek. Men. Keb. Tasik Utara (Lelaki)
26 Mei 09 Selasa Seremban, Negeri Sembilan Sek. Men. Keb. King George V (Lelaki)

Di antara syarat-syarat kelayakan yang diperlukan untuk pemilihan adalah:

Warganegara Malaysia
-Calon mestilah warganegara Malaysia berumur di antara 18 hingga 23 tahun pada tarikh angkat sumpah 22 Jul 2009.

Kesihatan
-Sihat tubuh badan serta tidak cacat anggota.
-Penglihatan hendaklah terang dan jelas tanpa cermin mata atau kanta sesentuh dan tidak kabur warna.

Tinggi (Minimum)
Lelaki -1.60 meter
Wanita -1.47 meter

Berat (Minimum)
Lelaki - 49 kg
Wanita - 40 kg

Body Mass Index (BMI)
Lelaki - 19 - 26.9
Wanita - 18 - 23

(Cara pengiraan BMI= Berat dibahagi tinggi dibahagi tinggi
contoh: 48 kg dibahagi 1.57 mtr dibahagi 1.57 mtr = 19.47)

Ukuran dada (Lelaki sahaja)
Biasa -76 cm
Tarik Nafas - 81 cm

KELAYAKAN AKADEMIK

Memiliki SPM/SPMV/SKM dengan mendapat kepujian dalam Bahasa Melayu di Sekolah Bantuan Penuh Kerajaan. Keutamaan diberikan kepada pemohon yang mempunyai kepujian di dalam mata pelajaran Matematik dan 3 mata pelajaran yang lain.

Sijil dan Dokumen
-Calon dikehendaki membawa bersama sijil dan dokumen yang ASAL. Kad Pengenalan (MY Kad), Sijil Kerakyatan Malaysia (jika ada), Sijil Kelahiran Pemohon, Penyata/Sijil PMR/SPM/SPMV/SKM, Sijil Berhenti Sekolah, Sijil Penglibatan Sukan/Persatuan dan Sijil Akademik lain

Maklumat lanjut, sila hubungi Sel Promosi dan Pengambilan Kerjaya LLP, Markas Tentera Laut, Kuala Lumpur di talian 03-20712214.

SEDIA BERKORBAN

Friday, April 24, 2009

Paskal kini dikenali KD Panglima Hitam

Pengiktirafan tertinggi untuk pasukan yang banyak berjasa menjaga kedaulatan perairan negara

PANGLIMA Hitam adalah gelaran dianugerahkan kepada pahlawan atau pendekar Melayu yang mempunyai sifat keberanian dan ilmu batin yang tinggi, handal dalam strategi dan muslihat pertempuran serta bermain senjata, digeruni lawan, kesetiaan tidak berbelah bagi kepada Sultan dan kerajaan.

[Keterangan Gambar: DEMONSTRASI operasi lengkap peralatan dan pakaian selam Paskal. ]

Mengambil ‘roh’ itu, nama Panglima Hitam diabadikan pada Pasukan Khas Laut (Paskal), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sebagai Kapal Diraja (KD) Panglima Hitam.

Pemilihan nama diilham dan diperkenankan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, selaku Kapten Yang Dipertua TLDM, bertepatan dengan ciri dimiliki Paskal, iaitu pasukan elit berkemahiran tinggi dalam medan pertempuran maritim dan menjadi aset kepada TLDM dan negara.

Majlis bersejarah penamaan dan pentauliahan Paskal sebagai KD Panglima Hitam disempurnakan Panglima Tentera Laut, Laksamana Datuk Seri Abdul Aziz Jaafar di Pangkalan TLDM Lumut, Perak, 15 April lalu.

Beliau menyampaikan watikah tauliah berkenaan kepada Pegawai Memerintah KD Panglima Hitam, Kapten Abd Malek Mohd Daud.

Majlis bersejarah itu turut disaksikan Timbalannya, Laksamana Madya Datuk Wira Mohammed Nordin dan Panglima Armada TLDM, Laksamana Madya Datuk Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin.

Dengan pentauliahan itu, Markas Paskal kini dikenali dengan nama KD Panglima Hitam.

Menyingkap kewujudan Panglima Hitam, sejarah menunjukkan setiap Sultan mempunyai pengawal peribadi yang sangat handal dalam pertempuran yang digelar dengan nama itu.

Antara yang terkenal ialah Panglima Hitam (Taiping) atau namanya Daeng Kuning yang menjadi pendekar terbilang pada abad ke-18, Panglima Hitam (Kuala Selangor), Panglima Hitam (Jugra), Panglima Hitam (Muar, Johor) dan Panglima Hitam (Segamat, Johor).

Dalam sejarah Selangor, setiap Sultan yang memerintah mempunyai seorang panglima handal dan sangat setia dalam mempertahankan kedaulatan dan keselamatan diri baginda, istana dan kerajaan.

Sejarah penubuhan Paskal pula bermula di Pangkalan TLDM Woodland, Singapura yang dikenali sebagai Rejimen Keselamatan. Kumpulan pertama rejimen ini dihantar menjalani latihan di Surabaya, Indonesia pada 1977.

Sekembalinya mereka, anggota ini dikenali sebagai Komando TLDM. Mereka seterusnya dihantar menjalani kursus di Pusat Latihan Peperangan Khas Sungai Udang, Royal Marine Commando United Kingdom dan Basic Underwater Demolition (BUD) SEAL di Amerika Syarikat.

Pada 1981, Markas Paskal berpindah ke Pangkalan TLDM Lumut dan tahun berikutnya perjawatan Paskal diluluskan.

Paskal secara rasminya ditubuhkan pada 1 Oktober 1982, selaras tuntutan kerajaan memperluaskan kawasan Zon Ekonomi Ekslusif (ZEE) kepada 200 batu nautika, sekali gus menzahirkan usaha memperkukuhkan tuntutan ke atas kawasan perairan kepulauan Spratly yang menjadi isu tuntutan bertindih.

Pada 1991, kerajaan Malaysia memberi mandat kepada Paskal sebagai Pasukan Penggempur Lawan Keganasan Maritim sejajar arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) N0 18.

Majlis pentauliahan dan penamaan Paskal sebagai KD Panglima Hitam juga amat bermakna kerana TLDM akan meraikan sambutan Jubli Intan atau ulang tahun ke-75 penubuhannya, Isnin ini.

Rombongan media dari ibu negara dibawa khas bagi menyaksikan sendiri acara penamaan dan pentauliahan itu melalui Program Sehari Bersama Media di pangkalan berkenaan.

Majlis itu membabitkan perbarisan terdiri daripada empat platun yang mewakili keupayaan serta bidang tugas Paskal, diketuai Komander Ahmad Nazri Abu Hassan.

Platun itu adalah Platun Alfa iaitu platun Tim Antikeganasan Maritim Paskal yang bertanggungjawab dalam operasi menyelamat di kapal dagang dan pelantar minyak milik negara. Mereka dilengkapi sistem perlindungan individu bagi pertempuran jarak dekat.

Platun Bravo membentuk platun kedua yang terdiri Tim Perenang Tempur Oksigen dan Tim Operasi Udara Khas Paskal. Selain mahir dalam taktik penyusupan ke kawasan musuh secara senyap, mereka turut dilatih bagi melaksanakan dan mengumpul data perisikan bagi membantu Tim Gempur.

Platun Charlie pula terdiri Tim Bantuan Paskal yang berperanan memperkasa keupayaan operasi khas Paskal dari barisan belakang, manakala Platun Delta terdiri Tim Peperangan Konvensional yang mendominasi peperangan amfibia Paskal dengan kemahiran gerakan khas di daratan dan penembakan tepat.

Tim ini juga terbabit dalam pelbagai operasi di bawah Panji-Panji Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), termasuk yang terkini berkhidmat di Lubnan.

Keupayaan dan aset Paskal dipertontonkan melalui demonstrasi yang menyingkap arus pembangunan dan transformasi Paskal dari awal penubuhan pasukan elit disegani itu meliputi era 80-an, 90-an sehingga sekarang.

Pada era awal Paskal, pelbagai peralatan dicipta sendiri bagi memenuhi keperluan tugas harian, latihan dan operasi, antaranya penyelam tempur Paskal hanya menggunakan alat selam terbuka `USD Single Set’ dan buluh untuk melaksanakan tugas dan operasi.

Selain itu, batang besi dikenali sebagai S.U.G (Sutarji Underwater Gun) hasil cetusan idea Laksamana Pertama (B) Dr Sutarji Kasmin selaku Pegawai Memerintah ketika itu, turut ditonjolkan. Beberapa inovasi tradisional lain yang dipraktikkan, termasuklah karung guni basah bagi mengurangkan bunyi.

Era 90-an menyaksikan Paskal memasuki ruang lebih yakin untuk muncul setanding dengan pasukan khas luar negara apabila pakaian dan peralatan menyelam diperkemaskan dengan pemakaian `dive liner suit’, yang disesuaikan dengan keadaan cuaca panas serta perolehan alat selam litar tertutup dalam inventori pasukan.

Sesuai dengan pengiktirafan diberikan kepada Paskal, pasukan itu turut menampilkan peralatan selam tempur di alaf baru iaitu peralatan selam litar separa tertutup sebagai persiapan pengoperasian kapal selam yang bakal tiba pada 25 Julai ini.

Selain kelengkapan kemahiran udara, pakaian dan peralatan tempur jarak dekat turut ditonjolkan dan paling mencuri tumpuan adalah pemakaian kelengkapan semasa pasukan itu yang menuju ke era askar masa depan.

Dari segi persenjataan, Paskal menjadi pasukan perintis senjata pistol Glock 17 yang kini diguna secara meluas dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Pada majlis sama, Abdul Aziz dianugerahkan Beret Kehormat Paskal iaitu orang pertama menerimanya sesudah unit itu ditauliahkan sebagai menghargai sumbangannya meliputi keseluruhan aspek operasi, latihan dan pembangunan Paskal.

Abdul Aziz dalam ucapannya berkata, pentauliahan itu yang mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin adalah pengiktirafan tertinggi kepada Paskal yang sudah menabur banyak jasa dalam menjaga kedaulatan perairan negara.

“Panglima Hitam seorang pendekar yang sangat handal dalam permainan senjata, bijak dalam strategi peperangan, memiliki ilmu kebatinan dan darjah taat setia yang tinggi, sesuai dengan ciri ditunjukkan anggota Paskal yang dilatih khas dengan ilmu peperangan yang tinggi dan menjadi benteng kepada kedaulatan perairan negara,” katanya.

Abdul Aziz berkata, KD Panglima Hitam juga akan dianugerahkan Panji-Panji Pasukan sempena Perbarisan Hari Ulang Tahun TLDM ke-75 di Lumut, Isnin ini.

Sumber: Berita Harian Online
Artikel ditulis oleh Jalal Ali Abdul Rahim
jalal@bharian.com.my

CyberCoxswain: Tahniah dan Syabas kepada anggota-anggota KD Panglima Hitam (KDPH). Perjuangan anda diiringi doa oleh seluruh anggota TLDM, PSSTLDM dan rakyat jelata. Bravo Zulu!

Thursday, April 23, 2009

'Kebebasan Memasuki Bandar Raya'

KOTA KINABALU 18 April - Acara tradisi Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), 'Kebebasan Memasuki Bandar Raya' yang dijadual sebagai acara terakhir hari ini akan terus diadakan di negeri ini pada tahun depan.

[Keterangan Gambar: ANGGOTA Tentera Laut Diraja Malaysia berarak memasuki bandar raya Kota Kinabalu sempena Kebebasan Memasuki Bandar Raya di Segama Waterfront, Kota Kinabalu, semalam. - BERNAMA ]

Panglima Wilayah Laut Dua, Laksamana Pertama Syed Zahiruddin Putra Syed Osman berkata, pihaknya dan kerajaan negeri bersetuju meneruskan acara itu ekoran sambutan hangat peserta dan pengunjung pada kali ini.

Malah, katanya, acara pada tahun depan akan diadakan lebih meriah dengan meningkatkan penyertaan peserta dari pelbagai negara selain membawa konsep baru.

"Walaupun kita rancang hari ini sebagai acara terakhir tetapi apabila melihat sambutan hangat dan dengan persetujuan kerajaan negeri, ia akan terus diadakan pada tahun depan.

"Ia akan melibatkan semua pihak khususnya pasukan keselamatan termasuk polis, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia selain pertambahan jumlah peserta dari negara jiran," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan acara tradisi TLDM 'Kebebasan Memasuki Bandar Raya' di Segama Waterfront di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Pelancongan Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Masidi Manjun dan Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Illyas Ibrahim.

Acara kali ketiga itu menyaksikan peningkatan kepada 1,200 peserta daripada 15 kontinjen berbanding kira-kira 600 peserta tahun lalu termasuk penyertaan baru dari Amerika Syarikat, India, Indonesia dan Brunei.

Sumber: Utusan Malaysia Online

CyberCoxswain: Satu acara yang unik oleh tentera laut. Tahniah dan syabas kepada anggota-anggota TLDM dan PSSTLDM yang terlibat. Tahun depan ada lagi no...

Anggota TLDM maut dilanggar

BUTTERWORTH 22 April - Seorang anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Pulau Pinang maut apabila motosikal yang ditungganginya terbabas lalu terjatuh sebelum mangsa dilanggar oleh sebuah kenderaan, hari ini.

Kemalangan pukul 6.30 pagi itu berlaku di Kilometer 122.7, Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan ketika mangsa dalam perjalanan menuju ke tempat kerja.

Mangsa, Muhamad Hilmi Hashim, 28, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah yang dialaminya.

Menurut Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Zulkifli Alias, ketika kejadian, mangsa menunggang motosikal jenis Honda Wave berwarna merah, bernombor pendaftaran KCF 1966.

"Siasatan awal polis mendapati, motosikal mangsa terbabas menyebabkan dia terjatuh di atas jalan raya. Ketika itu, datang sebuah kenderaan yang tidak dikenal pasti lalu melanggar mangsa," katanya.

Sumber berita dipetik dari Utusan Malaysia

CyberCoxswain: Al-Fatihah untuk Allahyarham LKI KMR Muhamad Helmi Hashim semoga rohnya ducucuri rahmat Allah SWT. Amin.

Allahyarham merupakan staf regular KD Sri Pinang yang baru ditugaskan di sini.

Tuesday, April 14, 2009

Ahmad Zahid minta warga Kementah beri sokongan martabatkan ATM

KUALA LUMPUR: Menteri Pertahanan yang baru, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, meminta warga kementerian itu memberi sokongan padu kepada beliau dalam menerajui kementerian itu dan memartabatkan angkatan tentera.

Ahmad Zahid berikrar untuk bekerja keras dan memberi komitmen sepenuhnya dalam memastikan kesinambungan perancangan menteri pertahanan terdahulu.

"Sesungguhnya komitmen, kerja keras, iltizam dan wawasan yang kita mahu bangkitkan ini bukan sekadar retorik tetapi adalah satu komitmen yang mendalam," katanya ketika berucap menghadiri Perbarisan Bulanan kementerian itu, di sini, hari ini.

Ahmad Zahid mengibaratkan pelantikan beliau sebagai Menteri Pertahanan seperti 'sireh pulang ke gagang' kerana pernah menjadi Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika Najib menjadi Menteri Pertahanan dari 1990 hingga 1993.

Bagi merealisasi tugas dan tanggungjawab secara berkesan di dalam menjaga soal pertahanan, beliau berkata, semua pihak perlu meningkatkan tahap kecekapan masing-masing dan mematuhi ajaran agama masing-masing.

Turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Abdul Latif Ahmad; Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Abu Bakar Abdullah dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Abdul Aziz Zainal. - Bernama


Sebelum itu; "Send Off"

Majlis Send Off YAB Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan telah berlangsung di Dataran KEMENTAH pada 2 Apr 2009 sempena majlis perpisahan Menteri Pertahanan.

Upacara perpisahan di dahului dengan tabik hormat oleh Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) dari Kem Sungai Besi, dan YAB Perdana Menteri memeriksa Kawalan Kehormat yang terdiri daripada 3 Pegawai dan 103 Lain-Lain Pangkat buat kali terakhir beliau sebagai Menteri Pertahanan yang ke – 14, sebelum diarak keluar dari perkarangan Kementerian Pertahanan dengan kenderaan istiadat yang ditarik oleh seramai 20 pegawai tentera dari tiga perkidmatan yang berpangkat Leftenan Kolonel dan setaraf.

Turut hadir dalam majlis Timbalan Menteri Pertahanan, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Panglima Angkatan Tentera, Panglima-Panglima Perkhidmatan dan Pegawai Kanan Angkatan Tentera.

CyberCoxswain: 'Send Off' and 'Send In'
Selamat Bersara dan Selamat Datang kepada Menteri Pertahanan yang baru. Semoga warga PSSTLDM beroleh manfaat darinya.

Friday, April 10, 2009

TAHNIAH! daripada tentera ke jawatan menteri

KUALA LUMPUR: Senator Mejar Jeneral (B) Datuk Jamil Khir Baharom memang tidak asing bagi mereka yang sering mengikuti program ceramah agama di kaca televisyen terutamanya rancangan Forum Perdana Ehwal Islam menerusi RTM1 setiap Khamis malam.

Ketokohan serta kepetahannya membicarakan perkara bersangkutan hukum agama Islam berjaya menarik perhatian penonton hingga menjadikan bekas Pengarah Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT) ini cukup dikenali ramai.

Selain kerjayanya dalam tentera, Jamil yang fasih berbahasa Arab adalah aktivis Islam yang aktif dan adalah anggota dalam Jawatankuasa Penasihat bagi Program Agama RTM.

Berkelulusan Sarjana (Masters) dalam Pengajian Islam (Pengurusan Ekonomi Islam) pada tahun 2000 daripada Graduate School of Islamic and Social Sciences, Virginia, Amerika Syarikat.

Beliau kini sedang menyiapkan tugasan Doktor Falsafah (PhD) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Jamil juga adalah lulusan Sarjana Muda Syariah, Akademi Islam Universiti Malaya (UM) pada tahun 1986.

Justeru tidak hairanlah sekiranya anak kelahiran Yan, Kedah ini mendapat kepercayaan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk membarisi barisan kabinet barunya sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri bagi Hal Ehwal Agama Islam.

Pelantikan Jamil dalam kabinet meneruskan kesinambungan Brigedier Jeneral (B) Datuk Seri Abdul Hamid Zainal Abidin yang juga juga Pengarah KAGAT sebelum dilantik memegang portfolio yang sama dalam Jabatan Perdana Menteri pada 7 Januari 2004.

Jamil, 48 tahun yang berkhidmat dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sejak 23 tahun lalu memulakan kerjayanya dalam Kor Agama ATM dengan ditauliahkan sebagai Kapten (Tugas Iktisas) pada tahun 1986.

Beliau diberikan kepercayaan untuk menjawat jawatan di Jabatan Arah KAGAT daripada Pegawai Staf 3 Hinggalah Pegawai Staf 1 Perkhidmatan.

Jamil kemudian dinaikkan pangkat sebagai Kolonel pada 1 April 2002 dengan jawatan yang sama sebelum memegang jawatan Timbalan Pengarah Pengurusan KAGAT pada tahun 2004.

Pada Okt 2005, Jamil memegang jawatan Pengarah Kor Agama ATM dengan pangkat Brigedier Jeneral dan seterusnya beliau dinaikkan pangkat ke Mejar Jeneral pada 16 Januari tahun lalu yang mencatat sejarah apabila muncul sebagai Pangarah KAGAT pertama yang dilantik sebagai Jeneral dua bintang.

Jamil berkahwin dengan Datin Fatmawati Saidin dan mempunyai enam orang anak, lima lelaki dan seorang perempuan.

Mengulas mengenai pelantikannya itu, Jamil berkata, elemen kekuatan dan disiplin ketenteraan yang disemai selama berkhidmat dalam ATM akan menjadi pendorong untuk beliau melaksanakan tugas.

Ketika dihubungi, beliau berkata, pelantikan sebagai menteri yang bertanggungjawab menjaga hal ehwal keagamaan pada dasarnya mempunyai persamaan dengan KAGAT yang diterajui selama ini.

"Ini ialah tugas dan amanah yang dipertanggungjawabkan kepada saya dan bersama sokongan semua pihak, saya yakin amanat ini dapat dilaksanakan, untuk menerajui aspek hal ehwal keagamaan dalam konteks yang lebih besar berbanding sebelum ini," katanya.

Beliau yang berterima kasih kepada Perdana Menteri, berkata pelantikan secara langsung adalah pengiktirafan dan penghormatan kepada warga ATM.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Operasi KAGAT, Kolonel Kamaruddin Mamat, berkata pelantikan Jamil adalah satu penghormatan kepada KAGAT sebagai institusi keagamaan dan sepanjang menerajuinya terserlah daya kepimpinan dan karisma beliau yang cemerlang. - Bernama

CyberCoxswain: Kami tumpang berbangga! Tahniah!

Thursday, April 9, 2009

Model KDSP untuk KDSM

Gambar model-model dari KD Sri Pinang (KDSP) telah digunakan untuk banner KD Sri Medini (KDSM) sorang nampak belakang dan sorang lagi nampak tepi... kira oraitlah tu. Gambar sapa ek?....

Itu adalah salah satu dari hasil karya yang dipapar di sini, sebenarnya ada banyak lagi. Terpulang kepada Dato' CO diaorang nak pakai yang mana. Kalau pilih yang atas tu pun ok!

Program tersebut adalah "Jemputan Menembak Ketua Jabatan 2009". Saya kalau dijemput tembak ketua jabatan memang tak lepas punya... bila lagi nak "tembak" diaorang!??... hehehe... Tapi yang sebenarnya menembak bersama ketua jabatan... jangan salah sangka

Time inilah kalau ada majikan yang nak merasa menembak menggunakan senjata ATM dan merasai betapa pekerja mereka yang join PSSTLDM ini bukan bersenang lenang apatah lagi bila mohon cuti tanpa gaji semata-mata nak join aktiviti dan latihan berterusan... betul tak?

Jangan lupa geng-geng KDSM pada 12 April ni untuk menembak ketua jabatan anda...hehehe Hasil karya PKK Rahmat dari KDSM. Kalau ada sapa-sapa nak order banner bolehlah carik dia.

Glamour tak anggota PSSTLDM kita... satu Malaysia sehati sejiwa.

Sedia Berkorban

Tuesday, April 7, 2009

MALCON EAST 4


SEBAHAGIAN anggota wanita pasukan Malaysian Contingent East 4 (Malcon East 4) menunjukkan aksi semangat selepas majlis Penyerahan dan Pemakaian Beret Malcon East 4 di Kuantan. Seramai 318 anggota dan 42 pegawai daripada Malcon East 4 akan menyertai misi pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Lubnan bermula 1 Mei hingga 29 Jan tahun depan.

Daripada jumlah itu, 21 merupakan anggota wanita yang akan menjalankan tugas selama empat bulan setengah sementara anggota lelaki akan ditempatkan selama sembilan bulan. Pasukan yang akan ditempatkan di Kaoukaba itu akan berlepas dalam dua kumpulan dengan kumpulan pertama pada 22 April dan kumpulan kedua pada 30 April ini. - Foto Bernama

Tahniah dan Syabas! Siapa kata wanita tiada tempat dalam ATM? Ini telah membuktikan tanggapan masyarakat telah diperbetulkan.