Monday, November 30, 2009

Strategi baru atasi ancaman lanun

Ahmad Zahid meninjau persiapan di Kaunter Airbus menjelang Pameran Antarabangsa Lima '09 di Dewan MIEC di Langkawi, semalam.

Negara jiran diminta berkongsi kekuatan maritim kawal keselamatan perairan

LANGKAWI: Semangat kejiranan antara negara perlu diberikan fokus utama dalam mengadakan kerjasama memantau dan mengawal perairan berbanding kecenderungan memperlihatkan tuntutan bagi sesebuah kawasan untuk negara masing-masing dalam usaha membanteras kegiatan perlanunan daripada terus berleluasa.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata kerjasama seperti itu dilihat lebih penting bagi memastikan aktiviti di sepanjang perairan selamat dan tidak terdedah kepada ancaman seumpama itu, sekali gus memberi keyakinan pengguna laluan itu mengenai tahap keselamatannya.

"Kerjasama antara negara dilihat lebih penting daripada soal mengenai pertindihan tuntutan antara negara, ini kerana jika tiada kawalan maka mereka (lanun) ini akan berasakan bahawa tiada siapa yang boleh menguatkuasakan undang-undang di kawasan itu," katanya selepas menyampaikan ucaptama pada Persidangan Antarabangsa Maritim sempena Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA 2009) di sini, semalam.

Persidangan antarabangsa itu membabitkan penyertaan 150 peserta daripada 24 negara terdiri daripada pegawai berkedudukan tinggi dalam tentera laut negara masing-masing.

ANTARA pesawat yang mengambil bahagian dalam pertunjukan udara tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi.

Hadir sama, Penglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Azizan Ariffin, Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar, Pengerusi Eksekutif HW Sdn Bhd, Tan Sri Abdul Wahab Nawi.

Mengenai Persidangan Antarabangsa Maritim sempena Lima 2009 itu semalam, Ahmad Zahid berharap peserta dan pembentang kertas kerjanya dapat mencari penyelesaian mengenai isu membabitkan perairan yang mempunyai masalah ancaman lanun.

Ahmad Zahid berkata, tiga tempat yang perlu diberikan tumpuan untuk aktiviti mengawal dan menyelia perairan ialah kawasan Teluk Aden, Selat Melaka dan Laut China Selatan.

"Saya melakukan provokasi tadi (dalam persidangan berkenaan) terhadap beberapa isu terutama mengenai keadaan di Teluk Aden dan Selat Melaka, tetapi satu perkara yang harus dilihat ialah aktiviti perlanunan bukan konvensional iaitu menggunakan peralatan canggih di Laut China Selatan kerana mereka (lanun) sudah bertukar arah sekarang ini.

PETUGAS sibuk menyiapkan gerai pameran di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri di Padang Matsirat, semalam.

"Ada lima negara yang berjiran menuntut kawasan yang sama (kepulauan Spratly di Laut China Selatan) dan lanun berasakan tidak ada negara yang boleh menguatkuasakan rondaan dan perundangan di kawasan itu kerana permasalahan tuntutan bertindih ini.

"Oleh sebab itu, saya lontarkan cabaran kepada mereka (peserta persidangan) apakah cara yang harus digunakan supaya kawasan itu boleh dimanfaatkan, dijaga, dan keberhasilan kelautan digunakan bersama serta tidak dijadikan tempat untuk bertelingkah," katanya.

Selain itu, beliau berkata, meskipun hanya dua kes kegiatan kecurian berlaku di Laut China Selatan setakat tahun ini, namun Ahmad Zahid menegaskan usaha untuk memantau perkara itu akan diberi perhatian menerusi kerjasama antara agensi berkaitan.

Menjawab soalan berhubung usaha negara untuk membanteras kegiatan perlanunan, Ahmad Zahid berkata, dua perkara diberi tumpuan utama ialah mengadakan latihan bersama dengan negara jiran serta menaiktaraf dan melakukan penambahan aset untuk tentera laut.

SUMBER : Berita Harian Online

CyberCoxswain : Sebenarnya bukan strategi baru lagi... idea ini dah lama diutarakan dan perlu diperkemas bidang kuasa / latihan bersama / pertukaran maklumat risikan berkenaan keselamatan perairan dari ancaman lanun dengan semua Navy negara berjiran masing-masing supaya tidak ada lagi lanun-lanun membolosi perairan untuk melakukan pekerjaan mungkar ini demi keselamatan semua pihak.

Masa untuk bersatu dan bersefahaman untuk membanteras kegiatan lanun tanpa kompromi!

No comments: