Friday, July 17, 2009

KENDURI KENAIKAN PANGKAT - TAHNIAH

15hb Julai 2009, KD Sri Pinang - Kenduri sempena kenaikan pangkat pegawai-pegawai, pegawai waren dan pemangku bintara muda diadakan di dewan senaman. Tahniah dan syabas di atas kenaikan pangkat tersebut.

Antara pegawai yang dinaikan pangkat ke Leftenan Komander ialah Lt. Kdr. Lui, Lt. Kdr. Zulkifli dan Lt. Kdr. Jee Jeet Yuan. Manakala kenaikan pangkat ke Leftenan pula ialah Lt. Tang, Lt. So dan sorang lagi... (maaf puan tak ingat sorang lagi ni... sapa dia? malam tu dia tak ada).


Untuk Pegawai Waren 1 pula ialah PW1 PPP (GI) Abd. Rahim dan P/BM KNA Majmin Zainudin. Tapi kalau tak salah saya kuasa kenaikan pangkat mereka ni berkuatkuasa pada Ogos nanti (tolong betulkan kalau salah).

CO sempat berucap malam tu dengan ucapan tahniah kepada mereka yang mendapat kenaikan pangkat dan juga berkenaan dengan perpindahan ke bangunan sementara disebabkan pangkalan ini yang bakal dirobohkan tak lama lagi. Sebelum tu PA sistem ada masalah pulak... hai nasib baik ada PKK Aishah dan PO Rosham kalau tidak tak dengarlah suara CO malam tu.


Malam tu makan nasi tomato, ayam masak merah, daging kurma, dalca, acar timun nenas, buah tembikai merah, kuih seri muka bakar dan air sirap dengan kopi panas.... fuh sempoi habis! Ramai yang hadir demi meraikan kawan-kawan naik pangkat... bukan senang!

Itulah untungnya kalau ada ramai kawan-kawan kita naik pangkat... boleh tumpang makan sekali pun jadiklah! Apa-apa pun terima kasih banyak Tuan, Puan, Encik dan PO atas kenduri yang memang best! Terima kasih daun keladi...

Wednesday, July 15, 2009

KEM TAHUNAN PSSTLDM 2009 - Lari Berhalang


12 hb Jun 2009 merupakan hari kelima untuk acara Lari Berhalang. Dan pada sebelah malamnya pula adalah acara Malam Mesra yang merupakan acara penutup sebelum semua anggota bertolak balik ke unit masing-masing keesokannya.

Hari ini tengok dulu apa yang telah diorang kena di sana... untuk acara malam mesra yang penuh dengan kontroversi akan susul kemudian.

Note: Mana artikel yang member nak hantar about this event pun tak tau dok kat mana... so kepada sesiapa yang menghadiri dan ada artikel/rencana/pengalaman yg ditulis dan nak dikongsi bersama, hantarlah kepada saya di alamat email tertera untuk di-publish di sini. TK.

Tuesday, July 14, 2009

Memusnah periuk api kepakaran KD Duyong

KEPAKARAN dan kemahiran tinggi pasukan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sudah teruji ketika mengiringi kapal dagang Malaysia di perairan Teluk Aden, dekat Somalia yang sering menjadi ancaman lanun.

Kepantasan pasukan TLDM menyelamatkan kapal dagang China dan kapal tangki India dari dirampas lanun di lautan tersebut pada 17 Disember 2008 dan 1 Januari tahun ini bukan sahaja menggentarkan musuh, malah membuka mata banyak pihak tentang keupayaan dan kehebatan pasukan keselamatan tanah air itu.

Bercakap mengenai kepakaran, salah satu unit yang memang terkenal dengan kecekapan terutama di bawah air adalah KD Duyong TLDM yang kini di bawah pimpinan Pegawai Memerintah, Kapten Rusli Ahmad.

[Keterangan Gambar: DIBANTU oleh rakan setugas untuk membuka pakaian selam khas setelah melakukan tugas-tugas kejuruteraan maritim.]

Unit yang berpangkalan di Lumut itu bernaung di bawah pemerintahan Markas Armada dan merupakan Pusat Selam dan Peperangan Periuk Api TLDM.

Tanggungjawab utama unit tersebut ialah melaksanakan semua aktiviti berkaitan dengan penyelaman, Explosive Ordnance Disposal (EOD), kejuruteraan bawah air dan pemusnahan periuk api.

Tanggungjawab tersebut dilakukan semata-mata bagi memastikan tahap keselamatan dan pertahanan perairan negara dalam keadaan memuaskan.

''Kepercayaan tinggi negara terhadap KD Duyong jelas terbukti kerana KD Duyong merupakan unit ulung dipertanggungjawabkan menangani apa sahaja keperluan tugas pemusnahan bahan letupan di dalam air," kata Rusli ketika ditemui Utusan Malaysia, baru-baru ini.

KD Duyong yang dahulunya dikenali sebagai Pusat Selam TLDM kini berkembang dengan pesat sejak kewujudannya pada awal tahun 70-an dulu.

Bermula dari sebuah unit kecil dengan peralatan asas di Pangkalan TLDM Woodlands, Singapura, berubah menjadi pasukan yang mantap dengan dilengkapi pelbagai peralatan canggih serta kompleks pentadbiran yang tersergam indah.

Perubahan itu nyata membawa banyak manfaat hingga membolehkan KD Duyong mempunyai keupayaan menjalankan kerja-kerja kimpalan atau kejuruteraan di bawah permukaan air.

Menurut Rusli, tugas tersebut amat penting khususnya bagi menjalankan kerja-kerja memperbaiki kapal yang memerlukan kimpalan bagi mengelak kebocoran ketika melaksanakan tugas di lautan luas.

Katanya, tanpa kehadiran anggota pasukan penyelam yang diwajibkan memiliki kemahiran kimpalan dalam air, pengoperasian kapal-kapal perang negara mungkin terjejas jika tidak dibaiki secepat mungkin.

''Aksi penyelam melaksanakan kerja-kerja kimpalan sering menarik minat pelawat yang seakan-akan tidak percaya melihat api juga boleh menyala di dalam air dengan terang sekali.

''Kombinasi teknologi dan skil penyelam menyebabkan ia dapat direalisasikan," katanya.

Selain membuat kimpalan kapal-kapal, pasukan berkenaan juga mampu memperbaiki struktur dalam air seperti jambatan yang rosak dan tugasan yang memerlukan kerja-kerja pemotongan atau kimpalan di dalam air.

Semua kerja berkenaan dilakukan semata-mata bagi memastikan pengoperasian pasukan TLDM dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) secara keseluruhannya berjalan lancar walau berdepan dengan apa saja halangan.

Pada masa sama, kepakaran berkenaan juga boleh diaplikasi untuk memperbaiki kemudahan awam seperti paip-paip bawah air sekiranya berlaku kerosakan atau disabotaj pihak musuh.

''Kepakaran menjalankan kerja-kerja kimpalan serta pemotongan bawah air memerlukan latihan intensif selama kira-kira tiga tahun dan ketabahan serta kesungguhan bagi menguasainya.

''Ini kerana walaupun seseorang anggota itu mempunyai kesihatan fizikal dan mental yang baik tetapi secara semula jadi belum tentu lagi mereka mampu bertahan dalam tempoh lama di dalam air," katanya.

Berdasarkan pengalaman KD Duyong, semua anggotanya boleh bertahan di dalam air untuk menjalankan kerja-kerja pembaikan, sementara dalam tempoh tiada had sekiranya tahap kedalaman air tidak melebihi sembilan meter.

Bagi tahap kedalaman melebihi 12 meter, anggota yang bertugas boleh bertahan sehingga 135 minit dan waktu itu akan berkurangan jika kedalamannya bertambah.

Rusli menjelaskan, kewujudan KD Duyong cukup relevan sekali. Tambahan pula, tidak lama lagi Malaysia akan menyambut ketibaan kapal selam pertama.

Penyelam TLDM turut memainkan peranan utama dalam menyokong pengoperasian aset strategik negara sebagai elemen penting dalam aspek Penyelamat Kapal Selam (Submarine Rescue).

Katanya, pembabitan penyelam dalam tugas baru ini nyata sekali akan membawa mereka ke tahap yang lebih bahaya dan mencabar.

''Apa pun, sebagai perwira negara, walau apa jua cabaran yang perlu ditempuh, kita perlu bersedia melaksanakan tanggungjawab dan misi diamanahkan itu dengan penuh semangat juang, sejajar dengan moto TLDM iaitu 'Sedia Berkorban'," katanya.

Beliau menjelaskan, operasi sesebuah kapal selam merupakan sesuatu yang kompleks dan berisiko tinggi.

Katanya, sebarang kecuaian bukan sahaja boleh memusnahkan kapal selam malah menyebabkan seluruh anak kapal terkorban atau terperangkap di dalamnya.

''Sebab itulah anggota-anggota TLDM yang terlibat dengan pengendalian kapal selam itu telah dihantar menjalani latihan bertahun-tahun untuk benar-benar mahir.

''Bagi KD Duyong pula, kita sentiasa bersedia memberi khidmat sokongan dalam kerja-kerja senggaraan dan tugas menyelamat bila diperlukan," katanya.

Dalam pada itu, Rusli berkata, KD Duyong juga mampu bersaing melaksanakan latihan bersama penyelam tentera laut asing serta menawarkan latihan kepada pelatih luar negara yang direalisasikan melalui Malaysian Defence Cooperation Programme (MDCP) setiap tahun.

Selaras dengan keperluan meningkatkan perkhidmatan berkualiti dan kekal relevan, KD Duyong telah menyahut saranan pucuk pimpinan tertinggi TLDM bagi mendapatkan persijilan ISO 9000:2001.

Ia berjaya direalisasikan pada tahun 2004 yang menjadikan KD Duyong sebagai unit kelima dalam TLDM memperoleh pengiktirafan cemerlang tersebut.

Kini unit ini dalam proses peningkatan skop dan berubah ke persijilan ISO 9000:2008.

Saban tahun beberapa pasukan dari KD Duyong akan mengambil bahagian dalam pertandingan inovasi peringkat TLDM, ATM mahupun nasional.

Penyertaan terakhir unit ini adalah dalam Pertandingan Kemahiran Industri, Inovasi dan Kreativiti Peringkat Kebangsaan anjuran Kementerian Sumber Manusia.

''Namun kita tidak boleh leka dan berpuas hati. Amalan kualiti perlu terus ditingkatkan dalam semua aspek pengurusan harian.

''Perubahan ke arah proses kerja yang lebih baik perlu terus dilaksanakan," ujar Rusli.

Usaha keras dan konsisten untuk berubah ke arah yang lebih baik dan berkualiti itu adalah sejajar dengan kata-kata Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar bahawa: ''...semua perkara boleh diubah kecuali al-Quran."

Kata Rusli, ia secara tidak langsung menggalakkan warga TLDM berfikiran terbuka, menerima idea baru, menerima pakai pendekatan baru yang sesuai dan tidak kekal mengikut amalan sebelumnya yang tidak lagi relevan.

Ekoran itu, KD Duyong kini sedang membuat kajian dan mengenal pasti kewajaran meningkatkan lagi amalan di tempat kerja dengan menerapkan empat peraturan serta amalan baik disarankan oleh OHSA (Occupational Health and Safety) yang akan menjurus ke arah persijilan OHSAS 18001.

Telah menjadi hakikat bahawa KD Duyong menjadi lokasi lawatan utama bagi pelawat apabila melawat Pangkalan TLDM Lumut.

KD Duyong selalu menerima lawatan rombongan diraja, Panglima-panglima tentera tempatan dan negara asing, institusi pengajian tinggi, sekolah dan badan-badan beruniform.

Pada 22 Mei lepas, unit ini turut menerima lawatan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi serta rombongan Kementerian Pertahanan.

Sumber: Utusan Malaysia Online

CyberCoxswain: Itulah... banyak lagi kelebihan dan kepakaran dalam navy ni yang orang ramai tak tahu... nak tahu lebih lanjut?... bacalah Utusan Malaysia (promolah pulak)... hebah-hebahkanlah...

Monday, July 13, 2009

KEM TAHUNAN PSSTLDM 2009 - KAYAK

Aktiviti kedua adalah berkayak pada 11 Jun 2009 (kalau mengikut aturcara asal).

Berikut antara gambar-gambar semasa aktiviti ini dijalankan yang diterima dari kawan-kawan kita yang menyertainya.


Gambar Pilihan: Orang tengah sibuk-sibuk berkayak / bagi sokongan kat pasukan, skod kita ni sempat lagi membuta di tempat strategik lagi tu... skod sapalah tu?... woi bangunlah!

Friday, July 10, 2009

KEM TAHUNAN PSSTLDM 2009

Berlangsung pada 7- 14 JUN 2009 bertempat di Kem Bakau Resort, Kertih, Terengganu Darul Naim.

10 Jun 2009 - Berakit

Gambar Pilihan: We are the One! (tapi dapat nombor berapa ntah... hehehe... sandal loreng tu yang tak tahan!)


Antara aksi-aksi menarik ketika aktiviti ini dijalankan.
Nak cerita lebih pun... saya tak pergi di atas sebab yang tak dapat dielakkan, so gambar lebih menceritakan suasana dan keadaan di sana.

Thursday, July 9, 2009

Kapal layar 'tersangkut'

PARIS - Sebuah kapal layar tersangkut di kawasan sebuah pulau berbatu dekat Saint-Quay-Portrieux, barat laut Perancis semalam.

[Keterangan Gambar: Kapal layar milik Manning tersangkut di kawasan pulau berbatu dekat Saint-Quay-Portrieux, barat laut Perancis semalam. ]

Kejadian itu berlaku selepas pemiliknya, Arthur Manning membuat perkiraan yang silap dengan belayar di kawasan itu.

Keadaan menjadi lebih buruk apabila air laut surut menyebabkan Manning dan beberapa krew meninggalkan kapal tersebut.

Anggota-anggota penyelamat terpaksa menunggu air laut pasang sebelum melakukan kerja-kerja 'menyelamatkan' kapal itu. - Agensi

Sumber: Kosmo Online

CyberCoxswain: Satu pengajaran yang boleh di ambil iktibar oleh semua pelaut / kelasi lebih-lebih lagi kepada mereka yang terlibat secara langsung dengan ilmu kelautan agar insiden yang nampak macam melucukan ini dari berlaku kepada kita sendiri... di laut macam-macam boleh jadi... tapi gambar tu memang menarik!

Wednesday, July 8, 2009

TLDM BANTU KAPAL PERANG INDONESIA

LUMUT, 17 Jun - Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) telah mengambil tindakan pantas bagi menawarkan bantuan kepada kapal perang TNI-AL, KRI TELUK MANADO yang mengalami masalah mekanikal di Perairan Pulau Perak semasa kapal perang TNI-AL itu dalam pelayaran menuju ke Pangkalan Angkatan Laut (LANAL) di Belawan.

TLDM menghantar kapalnya, KD LAKSAMANA TUN ABDUL JAMIL serta Helikopter SUPER LYNX dari Skuadron 501 yang berpangkalan di sini untuk memantau serta sedia memberikan bantuan kepada kapal tersebut setelah mendapat maklumat dari pasukan ATM yang bertugas di Pulau Perak dan ianya disahkan oleh Penasihat Pertahanan di Jakarta yang memaklumkan KRI TELUK MANADO menghadapi masalah enjin di perairan Pulau Perak yang terletak 60 batu nautika dari Pulau Langkawi.

Kejadian berlaku sekitar jam 12 tengahari apabila asap tebal kelihatan dari kapal tersebut dan ketika dihubungi oleh Helikopter SUPER LYNX, kapal TNI-AL memaklumkan bahawa mereka hanya mengalami masalah mekanikal dan masih dalam keadaan terkawal serta tidak memerlukan bantuan. Walau bagaimanapun, kapal tersebut telah meminta kebenaran untuk bersauh 2 batu nautika barat Pulau Perak sehingga menunggu kapal bantuan TNI-AL.

Pulau Perak adalah merupakan salah satu pulau strategik di Selat Melaka yang terletak di dalam perairan Malaysia. Dilaporkan dua buah kapal TNI-AL dari Belawan, KRI KAPITAN PATIMURA dan KRI PITON sedang menuju ke Perairan Pulau Perak untuk mengiringi KRI TELUK MANADO balik ke Belawan lewat petang ini.

Sumber: Official TLDM Webpage

CyberCoxswain: Siapa kata TLDM bermusuh dengan Angkatan TNI Indonesia? Peristiwa ini menunjukkan sikap kita yang sebenar dalam hubungan di nusantara ini. Kepada media-media Indonesia... hebah-hebahkanlah cerita sebegini yang memupuk semangat muhibbah antara dua negara serumpun bukan melaga-lagakan supaya bercakaran yang tidak menguntungkan kedua-dua pihak seperti Harimau Malaya bergaduh dengan Garuda... Singa yang mendapat hasilnya....

Wednesday, June 24, 2009

Misi ulung kapal Auxiliary Bunga Mas 5 ke Teluk Aden

LUMUT 23 Jun - Kerjasama dan perkongsian strategik antara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Malaysian International Shipping Corporation Bhd. (MISC) direalisasikan menerusi pelayaran kapal Auxiliary Bunga Mas 5 (BM 5) ke perairan Teluk Aden hari ini.

[Keterangan Gambar: Panglima Sistem Armada Laksamana Pertama, Khairuddin Khalid bersalaman dengan sebahagian anggota KD Sri Inderapura yang tiba dari misi Operasi Fajar 4/2009 di Jeti Operasi Pengkalan TLDM di Lumut, Perak]

Panglima Armada, Laksamana Madya Datuk Ahmad Kamarulzaman Badaruddin berkata, perkongsian itu menggabungkan kekuatan ketiga-tiga pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Menurutnya, krew BM 5 yang telah diserapkan ke dalam Pasukan Simpanan Sukarela TLDM (PSSTLDM) bagi melaksanakan operasi menjaga keselamatan kapal-kapal dagang Malaysia yang berkepentingan.

Tambah beliau, pengoperasian kapal BM 5 melakar sejarah tersendiri apabila muncul sebagai kapal dagang yang ditransformasikan menjadi sebuah kapal Auxiliary TLDM bagi merealisasikan hasrat pertahanan menyeluruh negara.

"BM 5 bersaiz 132.8 meter panjang dan 22.7 meter lebar berupaya beroperasi dalam kelajuan lebih 17 knot.

"Kapal ini dilengkapi hangar menempatkan pesawat Super Lynk dan bot tempur milik TLDM untuk melaksanakan operasi defensif mahu pun ofensif jika diperlukan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Ahmad Kamarulzaman, kapal tersebut memulakan pelayaran dari jeti operasi pangkalan TLDM Lumut pukul 8.10 minit pagi tadi dan untuk tempoh tiga bulan pertama, diletakkan di bawah pemerintahan Komander Ahmad Zaki Abdullah.

"Pelayaran itu disertai 59 anggota kapal terdiri daripada 21 krew tetap kapal yang diserap serta dilatih sebagai PSSTLDM dan diperkuat dengan kehadiran Pasukan Khas Laut (Paskal) serta pasukan lain yang diiktiraf kemahiran mereka," katanya.

Lima kapal TLDM ditugaskan ke perairan Teluk Aden sejak operasi itu dilancarkan pada Ogos 2008.

BM 5 dijangka beroperasi di perairan Teluk Aden sehingga penghujung September ini.

Turut mengiringi BM 5 di perairan Pulau Pangkor ialah KD Perak, aset baru dalam inventori TLDM.

Sumber: Utusan Malaysia Online

CyberCoxswain: Tanpa melengahkan masa.... Gempur Wira! Sedia Berkorban.

Tuesday, June 23, 2009

Pangkalan kapal selam hampir siap

Projek RM420j di Teluk Sepanggar diserahkan kepada Kementerian Pertahanan Ogos

KOTA KINABALU: Pangkalan kapal selam pertama Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bernilai RM420 juta di Teluk Sepanggar, dekat sini akan diserahkan Kementerian Kerja Raya kepada Kementerian Pertahanan, hujung Ogos ini.

Ia membolehkan pangkalan berkenaan menerima ketibaan kapal selam pertama negara, KD Tunku Abdul Rahman pada awal September ini sebelum kapal selam kedua, KD Tun Abdul Razak pada tahun depan.

Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Abu Mansor, berkata setakat ini, 96.5 peratus daripada keseluruhan pembinaan pangkalan berkenaan di kawasan seluas kira-kira 80 hektar, sudah siap selepas dimulakan pada Februari 2007.

"Keseluruhan projek akan siap sepenuhnya sebelum 31 Julai ini. Ia menggunakan konsep reka dan bina bagi menyiapkan pembinaan jeti pontoon konkrit terapung pertama yang berfungsi sebagai pemecah ombak dan kemudahan kapal selam berlabuh.

"Jeti sepanjang kira-kira 300 meter itu mampu menerima dua kapal selam jenis Scorpene dari Perancis. Setakat ini, audit yang dilaksanakan Jabatan Kerja Raya (JKR) tidak menemui masalah besar dalam projek ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat projek berkenaan di Pangkalan TLDM Teluk Sepanggar, dekat sini semalam.

Hadir sama, Panglima Wilayah Laut 2 TLDM, Laksamana Pertama Datuk Syed Zahiruddin Syed Osman dan Pengarah Urusan Trans Resources Corporation Sdn Bhd (TRC), Datuk Seri Sufri Mohd Zin.

TRC adalah kontraktor utama projek pangkalan kapal selam dan pelbagai kemudahan lain di Pangkalan TLDM berkenaan.

Syarikat itu turut menggunakan tenaga pakar dari Perancis dan Jerman bagi memastikan pangkalan kapal selam itu bukan setakat berfungsi sebagai lokasi kapal selam berlabuh, malah menyediakan kemudahan penyelenggaraan.

Selain pangkalan kapal selam, syarikat itu juga membina bangunan utama pentadbiran dan asrama skuadron serta `bunker' melalui pendekatan sistem binaan industri (IBS) yang mampu memendekkan tempoh pembinaan, kawalan kualiti binaan, meminimumkan ruang kerja dan mesra alam.

KD Tunku Abdul Rahman yang dijana melalui tenaga diesel-elektrik, dijangka tiba di Pelabuhan Klang pada 25 Julai ini manakala KD Tun Razak pada tahun depan.

KD Tunku Abdul Rahman yang kini menjalani latihan dikendalikan sepenuhnya pegawai dan anggota TLDM di perairan Perancis, mampu meningkatkan kemampuan TLDM memelihara kedaulatan perairan negara.

Di rantau Asia Tenggara, Malaysia adalah negara ketiga memiliki kapal selam selepas Indonesia dan Singapura.

Sumber: Berita Harian Online

CyberCoxswain: Dah tak lama dah tu... sikit hari lagi boleh melawat pangkalan ni pulak

Monday, June 15, 2009

Pegawai TLDM terima Pedang Kehormat Kesatuan Britannia

LONDON: Seorang pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) diberi penghormatan menerima Pedang Kehormat Kesatuan Britannia di Kolej Pangkalan Latihan Angkatan Laut Britannia di Dartmouth di sini, semalam, menjadikannya orang bukan British pertama menerima anugerah itu.

Lt Muda Bakhri Shah Abdullah, 27, dari KD Sultan Idris 1, Pangkalan TLDM Lumut, yang tamat latihan Pegawai Muda Angkatan Laut Diraja di Dartmouth tahun lalu mendapat pengiktirafan sebagai pelajar terbaik tahun lalu untuk sesi pengambilannya.

[Keterangan Gambar: BAKHRI SHAH menerima pedang kehormat daripada Snow di Dartmouth]

Bakhri menerima berita penganugerahan pedang itu bulan lalu selepas dipilih daripada 3,000 pegawai dari seluruh dunia dari enam pengambilan yang berlatih di kolej berkenaan.

Kelmarin, ibunya, Regi Anna, 60, tiba dari Las Vegas, tempat dia tinggal untuk menyaksikan saat membanggakan bagi anak lelakinya menerima pedang itu daripada Laksamana Muda Chris Snow.

"Saya rasa gembira dan percaya bahawa saya dapat anugerah ini kerana ketelusan saya dalam kerja dan prestasi saya," kata Bakhri Shah yang menjalankan kursus latihan laut Flag Officer yang termasuk latihan dalam bot kecil di Sungai Dart.

Regi Anna, yang turut menghadiri upacara tahun lalu menyatakan beliau tidak menyangka akan menerima panggilan telefon daripada Bakhri Shah yang menerima pengiktirafan itu.

"Apabila saya terima berita baik ini, saya rasa saya mesti datang untuk bersamanya," katanya.

Sumber: Berita Harian Online

CyberCoxswain: Tahniah dan Syabas!

Wednesday, June 10, 2009

Bunga Mas Lima TLDM awasi perairan Teluk Aden

TENTERA Laut Diraja Malaysia (TLDM) melakukan pelbagai inisiatif dalam usaha mencari penyelesaian untuk melindungi kapal-kapal dagang Malaysia terutamanya kapal milik MISC Bhd. yang melalui perairan Teluk Aden, Somalia.

[Keterangan Gambar: Kapal Bunga Mas Lima (BM5) setelah siap diubahsuai sepenuhnya menjadi kapal auxiliary TLDM.]

Usaha ini juga ekoran daripada berlakunya rampasan dua buah kapal milik MISC iaitu Bunga Melati Dua dan Bunga Melati Lima di perairan Teluk Aden pada tahun lalu. Selain itu juga TLDM turut mengendalikan Operasi Fajar sejak 29 Ogos tahun lalu bagi melindungi kapal-kapal dagang Malaysia .

Sehingga kini TLDM telah menghantar lima buah kapal iaitu KD Lekiu, KD Sri Inderapura, KD Mahawangsa, KD Sri Indera Sakti dan KD Hang Tuah dalam menyokong misi tersebut.

Operasi yang telah melalui fasa keempatnya di mana kapal KD Sri Inderapura dipertanggungjawabkan menjaga perairan dan kapal-kapal dagang Malaysia akan berakhir 20 Jun nanti.

Berdasarkan kepada penilaian ancaman lanun di kawasan tersebut, penugasan ini dijangka akan berlarutan ke satu tempoh yang tidak dapat dipastikan.

Pelaksanaan operasi yang akan berlarutan ini telah menjejaskan keupayaan pengoperasian TLDM akibat daripada kekangan aset dan ketiadaan peruntukan yang khusus untuk melaksanakan operasi 'ad hoc' ini.

Selaras dengan kerumitan dan ancaman lanun yang sering berlaku di perairan Teluk Aden, MISC Berhad, dengan kerjasama TLDM dan Majlis Keselamatan Negara (MKN), telah berjaya mengubahsuai kapal kontena Bunga Mas Lima (BM5) kepada sebuah kapal auxiliary (bantuan dan tugas-tugas khas) TLDM bagi tujuan mengiringi dan melindungi kapal-kapal MISC yang melalui Teluk Aden.

Pengubahsuaian ini juga berikutan insiden rampasan dua kapal MISC, Bunga Melati Dua dan Bunga Melati Lima.

BM5 ialah sebuah kapal kontena bersaiz 699 TEU dan kapal dagang pertama di Malaysia yang diubahsuai sebagai sebuah kapal auxiliary TLDM. Kerja-kerja pengubahsuaian telah dijalankan oleh Malaysia Marine and Heavy Engineering Sdn. Bhd. (MMHE), anak syarikat MISC, di limbungan kapal MMHE, Pasir Gudang, Johor.

Melalui pengoperasian BM5, kapal tersebut dikenali sebagai kapal auxiliary TLDM. Sejajar dengan perkembangan ini, KD Sri Inderapura yang kini bertugas di Teluk Aden akan kembali ke Malaysia pada akhir bulan Jun nanti dan tugasnya akan diambil alih oleh BM5.

Berdasarkan undang-undang antarabangsa, kapal auxiliary adalah kapal selain dari kapal perang yang dimiliki atau di bawah kawalan pemerintahan tentera. Ia dioperasikan oleh kerajaan dan diberi keistimewaan 'sovereign immunity'.

Kapal auxiliary TLDM dianggotai oleh krew MISC dan anggota tetap Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Kesemua krew MISC telah diserap sebagai anggota Pasukan Simpanan Sukarela TLDM (PSSTLDM) dan telah menjalani latihan asas ketenteraan.

Krew MISC akan menjalankan urusan navigasi dan senggaraan terhadap kapal manakala pegawai dan anggota TLDM yang berada di kapal pula bertanggungjawab bagi semua operasi yang melibatkan keselamatan.

Bagi MISC, projek pengubahsuaian dan pengoperasian kapal BM5 membuktikan komitmen syarikat tersebut terhadap keselamatan para pekerja serta kapal-kapal MISC terutama dari segi ancaman lanun yang semakin meningkat juga membahayakan operasi MISC di Teluk Aden.

Bagi TLDM pula, konsep pengoperasian kapal auxiliary TLDM merupakan salah satu komponen penting dalam merealisasikan hasrat dan impian negara khususnya ATM yang mengamalkan konsep Pertahanan Menyeluruh seperti yang terkandung di dalam Dasar Pertahanan Negara.

Majlis pengoperasian kapal auxiliary TLDM telah diadakan di limbungan kapal MMHE di Pasir Gudang baru-baru ini bagi meraikan kejayaan projek pengubahsuaiannya.

Turut hadir di majlis tersebut adalah Timbalan Menteri Pertahanan Malaysia, Datuk Dr. Abdul Latif Ahmad; Panglima Tentera Laut, Laksamana Datuk Sri Abdul Aziz Jaafar dan Ketua Pegawai Eksekutif MISC Berhad, Amir Hamzah Azizan dan Pegawai Memerintah BM5 dari PSSTLDM, Komander Ahmad Zaki Abdullah.

Sementara itu, Abdul Aziz dalam ucapannya berkata, sehingga kini TLDM telah membelanjakan lebih daripada RM48.5 juta untuk menjayakan misi nasional ini.

Menurutnya, berdasarkan kekangan-kekangan yang timbul, TLDM akhirnya membentuk satu perkongsian strategik dengan MISC untuk mencari penyelesaian jangka panjang dengan menyerapkan salah satu kapal MISC ke dalam inventori TLDM bagi melaksanakan operasi memantau dan menjaga kapal-kapal dagang Malaysia di perairan Teluk Aden, Somalia.

"Pada hakikatnya, konsep kapal auxiliary TLDM bukan suatu perkara baru dan ia telah wujud sejak perang dunia yang pertama.

"Sejarah Malaysia telah menunjukkan bahawa semasa perang dunia yang kedua, kesemua kapal-kapal dagang yang dimiliki oleh Tanah Melayu pada ketika itu, Singapura dan Hong Kong telah diubahsuai ke kapal dagang bersenjata melalui pewartaan authority of shipping di antara pihak admirality dan Kementerian Pengangkutan di London," katanya.

Abdul Aziz berkata, konsep kerjasama antara TLDM dan syarikat perkapalan negara yang wujud sejak sekian lama ini masih lagi diteruskan oleh kebanyakan negara membangun terutamanya negara-negara kuasa besar maritim.

Katanya, ia bertujuan memastikan agenda pembangunan negara dapat diteruskan baik semasa aman mahupun konflik.

Beliau berkata, berdasarkan kepada konsep tersebut, TLDM bersama-sama MISC telah mencari jalan alternatif dalam mencari penyelesaian terbaik dalam mempertahankan aset-aset berkepentingan negara di perairan Teluk Aden.

"Perbincangan berterusan antara kedua-dua pihak telah membuahkan hasil apabila kapal BM5 telah dipilih untuk menjayakan rancangan ini.

"Kini, kapal tersebut telah diubahsuai dan bersedia sebagai sebuah platform yang bersesuaian untuk melaksanakan operasi ketenteraan ini," jelasnya.

Tambahnya lagi, antara penambahan dan pengubahsuaian yang telah dilaksanakan adalah seperti berikut:

1. Penukaran warna kapal mengikut spesifikasi warna kapal TLDM

2. Penambahan kemudahan untuk menempatkan anggota ATM

3. Penambahan ruang senjata ringan

4. Penambahan ruang komunikasi dan perubatan

5. Kemudahan tapak pendaratan helikopter dan bot untuk kegunaan pasukan elit TLDM.

Jelasnya, kapal auxiliary TLDM akan diletakkan di bawah pemerintahan TLDM di mana pegawai memerintah BM5 bertanggungjawab ke atas pengendalian dan pengoperasian kapal manakala tugasan operasi dan keselamatan Operasi Fajar di bawah tanggungjawab pasukan ATM yang ditempatkan.

Katanya, BM5 ini juga akan dilengkapi dengan peralatan-peralatan seperti Helikopter Super Lynx dan Bot Tempur yang akan dianggotai oleh anggota tetap ATM dari KD Panglima Hitam, pasukan udara TLDM, pasukan bantuan TLDM dan pasukan perubatan ATM bagi melaksanakan operasi defensif mahupun ofensif jika diperlukan.

Sumber: Utusan Malaysia Online

CyberCoxswain: Orang memberi kita merasa, orang berbudi kita berbahasa... terima kasih.

Tuesday, June 9, 2009

KD Perak mantapkan armada

LUMUT 4 Jun - Proses modenisasi pasukan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) giat dijalankan bagi meningkatkan serta memantapkan lagi keupayaan angkatan laut itu dalam mengawal perairan negara.

Panglima Tentera Laut, Laksamana Datuk Seri Abdul Aziz Jaafar berkata, pembangunan TLDM dan agensi keselamatan maritim yang lain adalah penting dalam menentukan keutuhan dan integriti perairan negara terus terpelihara dan terjamin.

[ Keterangan Gambar: Abdul Aziz Jaafar (duduk lima dari kiri) dan Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin (duduk lima dari kanan) bersama warga KD Perak, di Lumut ]

''Sebagai sebuah negara maritim yang hampir 80 peratus ekonominya bergantung kepada perdagangan laut, kita tidak boleh menafikan bahawa kekuatan sebenar TLDM adalah bergantung kepada bilangan dan kekuatan serangan aset-aset permukaan.

''Walaupun TLDM boleh berbangga dengan pencapaian status Blue Water Navy dengan aset-aset force multiplier seperti helikopter Super Lynx dan kehadiran kapal diraja (KD) Tunku Abdul Rahman dan kapal selam Tun Razak tidak lama lagi, TLDM memerlukan kehadiran aset- aset permukaan tambahan bagi mengisi kekurangan kritikal aset-aset permukaan di semua markas Wilayah Laut TLDM,'' katanya sempena Pentauliahan Kapal Ronda Generasi Baru KD Perak di sini hari ini.

Hadir sama, Panglima Armada TLDM, Laksamana Madya Datuk Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin dan Pengarah Urusan Boustead Naval Shipyard (BNS) Sdn. Bhd., Laksamana Madya Datuk Seri Ahmad Ramli Mohd. Noor.

KD Perak adalah sebuah kapal ronda generasi baru yang ketiga dibina bagi menggantikan kapal peronda TLDM sedia ada selepas KD Kedah dan KD Pahang.

Kapal berkenaan dianggotai seramai 69 orang anak kapal terdiri daripada 11 orang pegawai dan 58 orang anggota diketuai oleh Pegawai Memerintah KD Perak, Komander Ismail Othman.

Upacara penamaan dan pelancaran KD Perak disempurnakan oleh Raja Permaisuri Perak, Tunku Bainun pada 12 November 2007 yang lalu dan nama KD Perak dipilih bersempena dengan nama KD Sri Perak iaitu sebuah kapal peronda daripada Kelas Sri Kedah yang dibina di England pada 1961.

Penamaan KD Perak bertujuan untuk mengenang jasa dan mengiktiraf sumbangan KD Sri Perak sepanjang perkhidmatannya kepada TLDM sehingga kapal berkenaan tenggelam akibat dipukul ombak besar dan ribut semasa pelayaran operasi di perairan Laut China Selatan pada 8 Januari 1984.

KD Perak akan diletakkan di bawah perintah gerakan dan pentadbiran Panglima Wilayah Laut 1 di pangkalan TLDM Tanjung Gelang, Kuantan untuk mengendalikan penugasan operasi di sekitar perairan pantai timur Malaysia.

Dalam pada itu, Abdul Aziz berharap, tiga lagi kapal ronda yang diperoleh oleh kerajaan melalui syarikat perkapalan BNS Sdn. Bhd. dapat ditauliahkan secepat mungkin.

Menurutnya, kapal ronda keempat dijangka akan diterima pada Oktober 2009 manakala kapal keenam pada penghujung Julai 2009.

Sumber: Utusan Malaysia Online

CyberCoxswain: Tahniah dan syabas!

Monday, June 8, 2009

Ambalat; Malaysia syor tiada rondaan tentera

KUALA TERENGGANU: Kementerian Pertahanan mencadangkan supaya tiada sebarang rondaan tentera dilakukan di sekitar perairan bertindih Ambalat berhampiran Sabah oleh Malaysia dan Indonesia sehingga pertikaian membabitkan perairan yang dipercayai kaya dengan minyak dan gas itu diselesaikan secara rundingan oleh kedua-dua pihak.

Menterinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata masalah membabitkan perairan itu sepatutnya boleh diselesaikan melalui rundingan dan bukan melalui kenyataan media yang disiarkan media Indonesia yang hanya akan membakar sensitiviti di kalangan rakyat negara itu.

"Saya cadangkan supaya Malaysia tak buat rondaan di kawasan itu yang akan diklasifikasikan sebagai pencerobohan. Kalau kita buat rondaan, Indonesia akan cakap kita menceroboh dan sebaliknya juga akan berlaku.

"Lebih baik..kita tidak membuat rondaan sehingga masalah itu diselesaikan melalui GBC (Jawatankuasa Am Sempadan Malaysia-Indonesia) dan tanpa perlu bawa ke ICJ (Mahkamah Keadilan Antarabangsa).

"Kita sudah memprotes melaui nota bantahan kerana Tentera Laut Indonesia telah menceroboh perairan Malaysia sebanyak 13 kali dan kita (Malaysia) tak pernah membuat ribut atau bising (mengenainya) kerana kita menghormati jiran dan itu yang lebih kita utamakan.

"Kita tidak mengawal media untuk menimbulkan perkara itu tapi kita tak mahu perkara yang menimbulkan provokasi kerana kita percaya perkara itu harus diselesaikan dengan semangat setiakawan serantau membabitkan dua negara (Malaysia dan Indonesia)," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Gagasan Satu Malaysia Kesinambungan dan Perjuangan yang dianjurkan oleh Universiti Malaya (UM) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Terengganu di sini hari ini.

Isu tuntutan bertindih perairan Ambalat dicetuskan kembali apabila media Indonesia melaporkan apa yang didakwa sebagai insiden pencerobohan kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di perairan itu.

Kejadian dikatakan berlaku 25 Mei lalu di kawasan Ambalat, Laut Sulawesi berhampiran Kalimantan Timur yang kini dituntut oleh Malaysia dan Indonesia.

Sumber: Berita Harian Online (Mutakhir)

CyberCoxswain: Penyelesaian berhemah penting untuk kesejahteraan bersama. Negara serumpun dengan pegangan agama (Islam) yang sama membuatkan ramai mencemburui keamanan dan kemakmuran ini dengan mengambil peluang-peluang yang ada untuk menghancurkannya. Fikir-fikirkanlah sebelum bertindak...