Wednesday, June 24, 2009

Misi ulung kapal Auxiliary Bunga Mas 5 ke Teluk Aden

LUMUT 23 Jun - Kerjasama dan perkongsian strategik antara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Malaysian International Shipping Corporation Bhd. (MISC) direalisasikan menerusi pelayaran kapal Auxiliary Bunga Mas 5 (BM 5) ke perairan Teluk Aden hari ini.

[Keterangan Gambar: Panglima Sistem Armada Laksamana Pertama, Khairuddin Khalid bersalaman dengan sebahagian anggota KD Sri Inderapura yang tiba dari misi Operasi Fajar 4/2009 di Jeti Operasi Pengkalan TLDM di Lumut, Perak]

Panglima Armada, Laksamana Madya Datuk Ahmad Kamarulzaman Badaruddin berkata, perkongsian itu menggabungkan kekuatan ketiga-tiga pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Menurutnya, krew BM 5 yang telah diserapkan ke dalam Pasukan Simpanan Sukarela TLDM (PSSTLDM) bagi melaksanakan operasi menjaga keselamatan kapal-kapal dagang Malaysia yang berkepentingan.

Tambah beliau, pengoperasian kapal BM 5 melakar sejarah tersendiri apabila muncul sebagai kapal dagang yang ditransformasikan menjadi sebuah kapal Auxiliary TLDM bagi merealisasikan hasrat pertahanan menyeluruh negara.

"BM 5 bersaiz 132.8 meter panjang dan 22.7 meter lebar berupaya beroperasi dalam kelajuan lebih 17 knot.

"Kapal ini dilengkapi hangar menempatkan pesawat Super Lynk dan bot tempur milik TLDM untuk melaksanakan operasi defensif mahu pun ofensif jika diperlukan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Ahmad Kamarulzaman, kapal tersebut memulakan pelayaran dari jeti operasi pangkalan TLDM Lumut pukul 8.10 minit pagi tadi dan untuk tempoh tiga bulan pertama, diletakkan di bawah pemerintahan Komander Ahmad Zaki Abdullah.

"Pelayaran itu disertai 59 anggota kapal terdiri daripada 21 krew tetap kapal yang diserap serta dilatih sebagai PSSTLDM dan diperkuat dengan kehadiran Pasukan Khas Laut (Paskal) serta pasukan lain yang diiktiraf kemahiran mereka," katanya.

Lima kapal TLDM ditugaskan ke perairan Teluk Aden sejak operasi itu dilancarkan pada Ogos 2008.

BM 5 dijangka beroperasi di perairan Teluk Aden sehingga penghujung September ini.

Turut mengiringi BM 5 di perairan Pulau Pangkor ialah KD Perak, aset baru dalam inventori TLDM.

Sumber: Utusan Malaysia Online

CyberCoxswain: Tanpa melengahkan masa.... Gempur Wira! Sedia Berkorban.

Tuesday, June 23, 2009

Pangkalan kapal selam hampir siap

Projek RM420j di Teluk Sepanggar diserahkan kepada Kementerian Pertahanan Ogos

KOTA KINABALU: Pangkalan kapal selam pertama Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bernilai RM420 juta di Teluk Sepanggar, dekat sini akan diserahkan Kementerian Kerja Raya kepada Kementerian Pertahanan, hujung Ogos ini.

Ia membolehkan pangkalan berkenaan menerima ketibaan kapal selam pertama negara, KD Tunku Abdul Rahman pada awal September ini sebelum kapal selam kedua, KD Tun Abdul Razak pada tahun depan.

Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Abu Mansor, berkata setakat ini, 96.5 peratus daripada keseluruhan pembinaan pangkalan berkenaan di kawasan seluas kira-kira 80 hektar, sudah siap selepas dimulakan pada Februari 2007.

"Keseluruhan projek akan siap sepenuhnya sebelum 31 Julai ini. Ia menggunakan konsep reka dan bina bagi menyiapkan pembinaan jeti pontoon konkrit terapung pertama yang berfungsi sebagai pemecah ombak dan kemudahan kapal selam berlabuh.

"Jeti sepanjang kira-kira 300 meter itu mampu menerima dua kapal selam jenis Scorpene dari Perancis. Setakat ini, audit yang dilaksanakan Jabatan Kerja Raya (JKR) tidak menemui masalah besar dalam projek ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat projek berkenaan di Pangkalan TLDM Teluk Sepanggar, dekat sini semalam.

Hadir sama, Panglima Wilayah Laut 2 TLDM, Laksamana Pertama Datuk Syed Zahiruddin Syed Osman dan Pengarah Urusan Trans Resources Corporation Sdn Bhd (TRC), Datuk Seri Sufri Mohd Zin.

TRC adalah kontraktor utama projek pangkalan kapal selam dan pelbagai kemudahan lain di Pangkalan TLDM berkenaan.

Syarikat itu turut menggunakan tenaga pakar dari Perancis dan Jerman bagi memastikan pangkalan kapal selam itu bukan setakat berfungsi sebagai lokasi kapal selam berlabuh, malah menyediakan kemudahan penyelenggaraan.

Selain pangkalan kapal selam, syarikat itu juga membina bangunan utama pentadbiran dan asrama skuadron serta `bunker' melalui pendekatan sistem binaan industri (IBS) yang mampu memendekkan tempoh pembinaan, kawalan kualiti binaan, meminimumkan ruang kerja dan mesra alam.

KD Tunku Abdul Rahman yang dijana melalui tenaga diesel-elektrik, dijangka tiba di Pelabuhan Klang pada 25 Julai ini manakala KD Tun Razak pada tahun depan.

KD Tunku Abdul Rahman yang kini menjalani latihan dikendalikan sepenuhnya pegawai dan anggota TLDM di perairan Perancis, mampu meningkatkan kemampuan TLDM memelihara kedaulatan perairan negara.

Di rantau Asia Tenggara, Malaysia adalah negara ketiga memiliki kapal selam selepas Indonesia dan Singapura.

Sumber: Berita Harian Online

CyberCoxswain: Dah tak lama dah tu... sikit hari lagi boleh melawat pangkalan ni pulak

Monday, June 15, 2009

Pegawai TLDM terima Pedang Kehormat Kesatuan Britannia

LONDON: Seorang pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) diberi penghormatan menerima Pedang Kehormat Kesatuan Britannia di Kolej Pangkalan Latihan Angkatan Laut Britannia di Dartmouth di sini, semalam, menjadikannya orang bukan British pertama menerima anugerah itu.

Lt Muda Bakhri Shah Abdullah, 27, dari KD Sultan Idris 1, Pangkalan TLDM Lumut, yang tamat latihan Pegawai Muda Angkatan Laut Diraja di Dartmouth tahun lalu mendapat pengiktirafan sebagai pelajar terbaik tahun lalu untuk sesi pengambilannya.

[Keterangan Gambar: BAKHRI SHAH menerima pedang kehormat daripada Snow di Dartmouth]

Bakhri menerima berita penganugerahan pedang itu bulan lalu selepas dipilih daripada 3,000 pegawai dari seluruh dunia dari enam pengambilan yang berlatih di kolej berkenaan.

Kelmarin, ibunya, Regi Anna, 60, tiba dari Las Vegas, tempat dia tinggal untuk menyaksikan saat membanggakan bagi anak lelakinya menerima pedang itu daripada Laksamana Muda Chris Snow.

"Saya rasa gembira dan percaya bahawa saya dapat anugerah ini kerana ketelusan saya dalam kerja dan prestasi saya," kata Bakhri Shah yang menjalankan kursus latihan laut Flag Officer yang termasuk latihan dalam bot kecil di Sungai Dart.

Regi Anna, yang turut menghadiri upacara tahun lalu menyatakan beliau tidak menyangka akan menerima panggilan telefon daripada Bakhri Shah yang menerima pengiktirafan itu.

"Apabila saya terima berita baik ini, saya rasa saya mesti datang untuk bersamanya," katanya.

Sumber: Berita Harian Online

CyberCoxswain: Tahniah dan Syabas!

Wednesday, June 10, 2009

Bunga Mas Lima TLDM awasi perairan Teluk Aden

TENTERA Laut Diraja Malaysia (TLDM) melakukan pelbagai inisiatif dalam usaha mencari penyelesaian untuk melindungi kapal-kapal dagang Malaysia terutamanya kapal milik MISC Bhd. yang melalui perairan Teluk Aden, Somalia.

[Keterangan Gambar: Kapal Bunga Mas Lima (BM5) setelah siap diubahsuai sepenuhnya menjadi kapal auxiliary TLDM.]

Usaha ini juga ekoran daripada berlakunya rampasan dua buah kapal milik MISC iaitu Bunga Melati Dua dan Bunga Melati Lima di perairan Teluk Aden pada tahun lalu. Selain itu juga TLDM turut mengendalikan Operasi Fajar sejak 29 Ogos tahun lalu bagi melindungi kapal-kapal dagang Malaysia .

Sehingga kini TLDM telah menghantar lima buah kapal iaitu KD Lekiu, KD Sri Inderapura, KD Mahawangsa, KD Sri Indera Sakti dan KD Hang Tuah dalam menyokong misi tersebut.

Operasi yang telah melalui fasa keempatnya di mana kapal KD Sri Inderapura dipertanggungjawabkan menjaga perairan dan kapal-kapal dagang Malaysia akan berakhir 20 Jun nanti.

Berdasarkan kepada penilaian ancaman lanun di kawasan tersebut, penugasan ini dijangka akan berlarutan ke satu tempoh yang tidak dapat dipastikan.

Pelaksanaan operasi yang akan berlarutan ini telah menjejaskan keupayaan pengoperasian TLDM akibat daripada kekangan aset dan ketiadaan peruntukan yang khusus untuk melaksanakan operasi 'ad hoc' ini.

Selaras dengan kerumitan dan ancaman lanun yang sering berlaku di perairan Teluk Aden, MISC Berhad, dengan kerjasama TLDM dan Majlis Keselamatan Negara (MKN), telah berjaya mengubahsuai kapal kontena Bunga Mas Lima (BM5) kepada sebuah kapal auxiliary (bantuan dan tugas-tugas khas) TLDM bagi tujuan mengiringi dan melindungi kapal-kapal MISC yang melalui Teluk Aden.

Pengubahsuaian ini juga berikutan insiden rampasan dua kapal MISC, Bunga Melati Dua dan Bunga Melati Lima.

BM5 ialah sebuah kapal kontena bersaiz 699 TEU dan kapal dagang pertama di Malaysia yang diubahsuai sebagai sebuah kapal auxiliary TLDM. Kerja-kerja pengubahsuaian telah dijalankan oleh Malaysia Marine and Heavy Engineering Sdn. Bhd. (MMHE), anak syarikat MISC, di limbungan kapal MMHE, Pasir Gudang, Johor.

Melalui pengoperasian BM5, kapal tersebut dikenali sebagai kapal auxiliary TLDM. Sejajar dengan perkembangan ini, KD Sri Inderapura yang kini bertugas di Teluk Aden akan kembali ke Malaysia pada akhir bulan Jun nanti dan tugasnya akan diambil alih oleh BM5.

Berdasarkan undang-undang antarabangsa, kapal auxiliary adalah kapal selain dari kapal perang yang dimiliki atau di bawah kawalan pemerintahan tentera. Ia dioperasikan oleh kerajaan dan diberi keistimewaan 'sovereign immunity'.

Kapal auxiliary TLDM dianggotai oleh krew MISC dan anggota tetap Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Kesemua krew MISC telah diserap sebagai anggota Pasukan Simpanan Sukarela TLDM (PSSTLDM) dan telah menjalani latihan asas ketenteraan.

Krew MISC akan menjalankan urusan navigasi dan senggaraan terhadap kapal manakala pegawai dan anggota TLDM yang berada di kapal pula bertanggungjawab bagi semua operasi yang melibatkan keselamatan.

Bagi MISC, projek pengubahsuaian dan pengoperasian kapal BM5 membuktikan komitmen syarikat tersebut terhadap keselamatan para pekerja serta kapal-kapal MISC terutama dari segi ancaman lanun yang semakin meningkat juga membahayakan operasi MISC di Teluk Aden.

Bagi TLDM pula, konsep pengoperasian kapal auxiliary TLDM merupakan salah satu komponen penting dalam merealisasikan hasrat dan impian negara khususnya ATM yang mengamalkan konsep Pertahanan Menyeluruh seperti yang terkandung di dalam Dasar Pertahanan Negara.

Majlis pengoperasian kapal auxiliary TLDM telah diadakan di limbungan kapal MMHE di Pasir Gudang baru-baru ini bagi meraikan kejayaan projek pengubahsuaiannya.

Turut hadir di majlis tersebut adalah Timbalan Menteri Pertahanan Malaysia, Datuk Dr. Abdul Latif Ahmad; Panglima Tentera Laut, Laksamana Datuk Sri Abdul Aziz Jaafar dan Ketua Pegawai Eksekutif MISC Berhad, Amir Hamzah Azizan dan Pegawai Memerintah BM5 dari PSSTLDM, Komander Ahmad Zaki Abdullah.

Sementara itu, Abdul Aziz dalam ucapannya berkata, sehingga kini TLDM telah membelanjakan lebih daripada RM48.5 juta untuk menjayakan misi nasional ini.

Menurutnya, berdasarkan kekangan-kekangan yang timbul, TLDM akhirnya membentuk satu perkongsian strategik dengan MISC untuk mencari penyelesaian jangka panjang dengan menyerapkan salah satu kapal MISC ke dalam inventori TLDM bagi melaksanakan operasi memantau dan menjaga kapal-kapal dagang Malaysia di perairan Teluk Aden, Somalia.

"Pada hakikatnya, konsep kapal auxiliary TLDM bukan suatu perkara baru dan ia telah wujud sejak perang dunia yang pertama.

"Sejarah Malaysia telah menunjukkan bahawa semasa perang dunia yang kedua, kesemua kapal-kapal dagang yang dimiliki oleh Tanah Melayu pada ketika itu, Singapura dan Hong Kong telah diubahsuai ke kapal dagang bersenjata melalui pewartaan authority of shipping di antara pihak admirality dan Kementerian Pengangkutan di London," katanya.

Abdul Aziz berkata, konsep kerjasama antara TLDM dan syarikat perkapalan negara yang wujud sejak sekian lama ini masih lagi diteruskan oleh kebanyakan negara membangun terutamanya negara-negara kuasa besar maritim.

Katanya, ia bertujuan memastikan agenda pembangunan negara dapat diteruskan baik semasa aman mahupun konflik.

Beliau berkata, berdasarkan kepada konsep tersebut, TLDM bersama-sama MISC telah mencari jalan alternatif dalam mencari penyelesaian terbaik dalam mempertahankan aset-aset berkepentingan negara di perairan Teluk Aden.

"Perbincangan berterusan antara kedua-dua pihak telah membuahkan hasil apabila kapal BM5 telah dipilih untuk menjayakan rancangan ini.

"Kini, kapal tersebut telah diubahsuai dan bersedia sebagai sebuah platform yang bersesuaian untuk melaksanakan operasi ketenteraan ini," jelasnya.

Tambahnya lagi, antara penambahan dan pengubahsuaian yang telah dilaksanakan adalah seperti berikut:

1. Penukaran warna kapal mengikut spesifikasi warna kapal TLDM

2. Penambahan kemudahan untuk menempatkan anggota ATM

3. Penambahan ruang senjata ringan

4. Penambahan ruang komunikasi dan perubatan

5. Kemudahan tapak pendaratan helikopter dan bot untuk kegunaan pasukan elit TLDM.

Jelasnya, kapal auxiliary TLDM akan diletakkan di bawah pemerintahan TLDM di mana pegawai memerintah BM5 bertanggungjawab ke atas pengendalian dan pengoperasian kapal manakala tugasan operasi dan keselamatan Operasi Fajar di bawah tanggungjawab pasukan ATM yang ditempatkan.

Katanya, BM5 ini juga akan dilengkapi dengan peralatan-peralatan seperti Helikopter Super Lynx dan Bot Tempur yang akan dianggotai oleh anggota tetap ATM dari KD Panglima Hitam, pasukan udara TLDM, pasukan bantuan TLDM dan pasukan perubatan ATM bagi melaksanakan operasi defensif mahupun ofensif jika diperlukan.

Sumber: Utusan Malaysia Online

CyberCoxswain: Orang memberi kita merasa, orang berbudi kita berbahasa... terima kasih.

Tuesday, June 9, 2009

KD Perak mantapkan armada

LUMUT 4 Jun - Proses modenisasi pasukan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) giat dijalankan bagi meningkatkan serta memantapkan lagi keupayaan angkatan laut itu dalam mengawal perairan negara.

Panglima Tentera Laut, Laksamana Datuk Seri Abdul Aziz Jaafar berkata, pembangunan TLDM dan agensi keselamatan maritim yang lain adalah penting dalam menentukan keutuhan dan integriti perairan negara terus terpelihara dan terjamin.

[ Keterangan Gambar: Abdul Aziz Jaafar (duduk lima dari kiri) dan Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin (duduk lima dari kanan) bersama warga KD Perak, di Lumut ]

''Sebagai sebuah negara maritim yang hampir 80 peratus ekonominya bergantung kepada perdagangan laut, kita tidak boleh menafikan bahawa kekuatan sebenar TLDM adalah bergantung kepada bilangan dan kekuatan serangan aset-aset permukaan.

''Walaupun TLDM boleh berbangga dengan pencapaian status Blue Water Navy dengan aset-aset force multiplier seperti helikopter Super Lynx dan kehadiran kapal diraja (KD) Tunku Abdul Rahman dan kapal selam Tun Razak tidak lama lagi, TLDM memerlukan kehadiran aset- aset permukaan tambahan bagi mengisi kekurangan kritikal aset-aset permukaan di semua markas Wilayah Laut TLDM,'' katanya sempena Pentauliahan Kapal Ronda Generasi Baru KD Perak di sini hari ini.

Hadir sama, Panglima Armada TLDM, Laksamana Madya Datuk Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin dan Pengarah Urusan Boustead Naval Shipyard (BNS) Sdn. Bhd., Laksamana Madya Datuk Seri Ahmad Ramli Mohd. Noor.

KD Perak adalah sebuah kapal ronda generasi baru yang ketiga dibina bagi menggantikan kapal peronda TLDM sedia ada selepas KD Kedah dan KD Pahang.

Kapal berkenaan dianggotai seramai 69 orang anak kapal terdiri daripada 11 orang pegawai dan 58 orang anggota diketuai oleh Pegawai Memerintah KD Perak, Komander Ismail Othman.

Upacara penamaan dan pelancaran KD Perak disempurnakan oleh Raja Permaisuri Perak, Tunku Bainun pada 12 November 2007 yang lalu dan nama KD Perak dipilih bersempena dengan nama KD Sri Perak iaitu sebuah kapal peronda daripada Kelas Sri Kedah yang dibina di England pada 1961.

Penamaan KD Perak bertujuan untuk mengenang jasa dan mengiktiraf sumbangan KD Sri Perak sepanjang perkhidmatannya kepada TLDM sehingga kapal berkenaan tenggelam akibat dipukul ombak besar dan ribut semasa pelayaran operasi di perairan Laut China Selatan pada 8 Januari 1984.

KD Perak akan diletakkan di bawah perintah gerakan dan pentadbiran Panglima Wilayah Laut 1 di pangkalan TLDM Tanjung Gelang, Kuantan untuk mengendalikan penugasan operasi di sekitar perairan pantai timur Malaysia.

Dalam pada itu, Abdul Aziz berharap, tiga lagi kapal ronda yang diperoleh oleh kerajaan melalui syarikat perkapalan BNS Sdn. Bhd. dapat ditauliahkan secepat mungkin.

Menurutnya, kapal ronda keempat dijangka akan diterima pada Oktober 2009 manakala kapal keenam pada penghujung Julai 2009.

Sumber: Utusan Malaysia Online

CyberCoxswain: Tahniah dan syabas!

Monday, June 8, 2009

Ambalat; Malaysia syor tiada rondaan tentera

KUALA TERENGGANU: Kementerian Pertahanan mencadangkan supaya tiada sebarang rondaan tentera dilakukan di sekitar perairan bertindih Ambalat berhampiran Sabah oleh Malaysia dan Indonesia sehingga pertikaian membabitkan perairan yang dipercayai kaya dengan minyak dan gas itu diselesaikan secara rundingan oleh kedua-dua pihak.

Menterinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata masalah membabitkan perairan itu sepatutnya boleh diselesaikan melalui rundingan dan bukan melalui kenyataan media yang disiarkan media Indonesia yang hanya akan membakar sensitiviti di kalangan rakyat negara itu.

"Saya cadangkan supaya Malaysia tak buat rondaan di kawasan itu yang akan diklasifikasikan sebagai pencerobohan. Kalau kita buat rondaan, Indonesia akan cakap kita menceroboh dan sebaliknya juga akan berlaku.

"Lebih baik..kita tidak membuat rondaan sehingga masalah itu diselesaikan melalui GBC (Jawatankuasa Am Sempadan Malaysia-Indonesia) dan tanpa perlu bawa ke ICJ (Mahkamah Keadilan Antarabangsa).

"Kita sudah memprotes melaui nota bantahan kerana Tentera Laut Indonesia telah menceroboh perairan Malaysia sebanyak 13 kali dan kita (Malaysia) tak pernah membuat ribut atau bising (mengenainya) kerana kita menghormati jiran dan itu yang lebih kita utamakan.

"Kita tidak mengawal media untuk menimbulkan perkara itu tapi kita tak mahu perkara yang menimbulkan provokasi kerana kita percaya perkara itu harus diselesaikan dengan semangat setiakawan serantau membabitkan dua negara (Malaysia dan Indonesia)," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Gagasan Satu Malaysia Kesinambungan dan Perjuangan yang dianjurkan oleh Universiti Malaya (UM) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Terengganu di sini hari ini.

Isu tuntutan bertindih perairan Ambalat dicetuskan kembali apabila media Indonesia melaporkan apa yang didakwa sebagai insiden pencerobohan kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di perairan itu.

Kejadian dikatakan berlaku 25 Mei lalu di kawasan Ambalat, Laut Sulawesi berhampiran Kalimantan Timur yang kini dituntut oleh Malaysia dan Indonesia.

Sumber: Berita Harian Online (Mutakhir)

CyberCoxswain: Penyelesaian berhemah penting untuk kesejahteraan bersama. Negara serumpun dengan pegangan agama (Islam) yang sama membuatkan ramai mencemburui keamanan dan kemakmuran ini dengan mengambil peluang-peluang yang ada untuk menghancurkannya. Fikir-fikirkanlah sebelum bertindak...

Thursday, June 4, 2009

AMBALAT; PAT nafi kapal TLDM ceroboh

KUALA LUMPUR: Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jen Tan Sri Abdul Aziz Zainal, hari ini menafikan dakwaan laporan media Indonesia yang mendakwa kapal perang Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menceroboh kawasan perairan bertindih Ambalat di Laut Sulawesi.

Beliau berkata, tentera Indonesia tidak perlu membuat dakwaan yang tidak berasas itu dengan mengeluarkan kenyataan kepada media.

"Kita ada persefahaman antara dua negara, jadi kalau ada kekeliruan berhubung isu ini lebih baik gunakan jawatankuasa yang ada dan bukan melalui media," katanya kepada pemberita selepas melancarkan program satu rumah satu komputer di Wisma Pertahanan di sini.

Abdul Aziz berkata, isu-isu berhubung perairan kedua-dua negara perlu dibincangkan melalui Jawatankuasa Teknikal yang telah ditubuhkan oleh kedua-dua negara.

Katanya, beliau akan ke Jakarta Selasa depan bagi membincangkan isu-isu berkaitan ketenteraan kedua-dua negara.

Media Indonesia minggu lepas melaporkan tentang apa yang mereka dakwa sebagai insiden pencerobohan kapal TLDM di kawasan perairan bertindih itu yang dilaporkan kaya dengan sumber minyak dan gas.

Mereka mendakwa kapal tentera lautnya yang sedang meronda di perairan bertindih itu minggu lalu hampir melepaskan tembakan terhadap sebuah kapal peronda TLDM kerana tidak mengendahkan arahan supaya beredar dari perairan terbabit.

Kejadian minggu lalu itu disifatkan sebagai insiden paling buruk pernah berlaku sejak isu tuntutan bertindih tersebut timbul. - Bernama

CyberCoxswain: Masalah boleh diselesaikan dengan tertib melalui prosedur yang ada, bukan melalui media. Janganlah kita men-sensasikan perkara-perkara sebegini demi kepentingan individu kerana ianya amat bahaya pada rakyat jelata yang mendiami kedua-dua negara berjiran yang selama ini penuh santun dan saling memerlukan di antara satu sama lain. Lebih-lebih lagi bagi penduduk Pulau Sebatik yang berkongsi tanah dan Pulau Nunukan berhampiran.

Tuesday, June 2, 2009

MISC, TLDM kerjasama atasi lanun

Kapal dagang pertama diubah suai jadi Kapal Bantuan TLDM BM5

KUALA LUMPUR: Kapal kontena Bunga Mas Lima menjadi kapal dagang pertama di Malaysia diubah suai menjadi kapal bantuan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bagi mengiring dan melindungi kapal milik Malaysian International Shipping Corporation (MISC) Bhd yang melalui Teluk Aden di Somalia.

MISC dalam satu kenyataannya berkata, usaha yang mendapat kerjasama TLDM dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) itu dibuat berikutan kejadian rampasan dua kapal MISC, iaitu MT Bunga Melati 2 dan MT Bunga Melati 5 oleh lanun Ogos tahun lalu.

"Pengubahsuaian Bunga Mas Lima, sebuah kapal kontena bersaiz 699 TEU, dijalankan oleh Malaysia Marine and Heavy Engineering Sdn Bhd (MMHE), anak syarikat MISC, di limbungan kapal MMHE, Pasir Gudang, Johor.

"Melalui pengoperasian Bunga Mas Lima, kapal itu akan dikenali sebagai Kapal Bantuan TLDM BM5 dan bakal menggantikan KD Sri Inderapura yang ketika ini ditugaskan di Teluk Aden dan akan kembali ke Malaysia Jun ini.

Kerajaan sebelum ini menghantar dua kapal perang, KD Lekiu dan KD Inderapura serta kapal peronda pesisir pantai, KD Pahang, untuk melindungi kapal MISC yang melalui perairan berkenaan berikutan rampasan MT Bunga Melati 2 dan MT Bunga Melati 5.

Kenyataan itu berkata, berdasarkan undang-undang antarabangsa, kapal tambahan adalah kapal selain dari kapal perang yang dimiliki atau di bawah kawalan pemerintahan tentera.

"Kapal Tambahan TLDM BM5 dianggotai krew MISC dan anggota tetap ATM. Kesemua krew MISC turut diserap sebagai anggota pasukan Simpanan Sukarela TLDM (PSSTLDM) dengan menjalani latihan asas ketenteraan.

"Ia juga akan beroperasi di bawah kawalan kerajaan dan diberi keistimewaan 'sovereign immunity', sekali gus membuktikan komitmen MISC terhadap keselamatan pekerja, terutama dari segi ancaman lanun," katanya.

Sementara itu, Panglima TLDM, Datuk Seri Abdul Aziz Jaafar, dalam ucapannya ketika Majlis Pengoperasian kapal berkenaan di Limbungan MMHE di Pasir Gudang, berkata operasi kapal itu dipikul kedua-dua pihak mengikut kepakaran masing-masing.

"Tugas pengendalian dan pengoperasian kapal dipikul Pegawai Memerintah yang juga pegawai MISC yang sudah menjalani latihan PSSTLDM, manakala tugasan berkaitan Ops Fajar di bawah tanggungjawab pasukan ATM.

"Kapal yang dilengkapi helikopter Super Lynx serta bot tempur itu turut menempatkan anggota KD Panglima Hitam (Pasukan Khas Laut atau Paskal), pasukan udara dan bantuan TLDM serta pasukan perubatan ATM bagi melaksanakan operasi berbentuk pertahanan mahupun serangan jika diperlukan," katanya.

Sumber: Berita Harian Online

CyberCoxswain: Langkah yang baik untuk bersama membanteras kegiatan lanun dilakukan oleh MISC boleh dipuji dan dicontohi oleh korporat yang lain.

Bertambahlah lagi anggota PSSTLDM... syabas! ada can nak naik kapal BM5 pulak lepas ni.

Thursday, May 21, 2009

ATM kukuhkan tuntutan Malaysia melalui penempatan aset, anggota

KUALA LUMPUR 14 Mei - Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengukuhkan tuntutan Malaysia ke atas sebahagian Kepulauan Spratly di Laut China Selatan apabila terus menempatkan aset serta anggota-anggotanya di beberapa gugusan pulau kecil di situ.

Tanpa menghiraukan amaran yang dibuat China sebelum ini, Panglima Tentera Laut, Laksamana Datuk Seri Abdul Aziz Jaafar berkata, setiap pulau kecil yang menempatkan kem atau anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan ATM secara keseluruhannya merupakan milik negara.

Justeru, katanya, anggota serta aset TLDM dan ATM masih menjalankan operasi seperti biasa tanpa melakukan apa-apa perubahan dalam disiplin rondaan mereka di perairan sekitar.

''Tindakan China menguar-uarkan tuntutan dan hak kepentingannya di kawasan itu (Spratly) bukanlah baru, seluruh dunia telah mengetahuinya.

''Apa yang perlu dilakukan (sekarang) ialah kita memastikan kehadiran kita (ATM) di sana dirasai dan merupakan tanda ia jajahan kita,'' katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menerima kunjungan hormat Ketua Staf Tentera Laut Diraja British, Laksamana Jonathon Band di Kementerian Pertahanan di sini hari ini.

Turut hadir pegawai-pegawai tertinggi tentera laut kedua-dua negara.

Abdul Aziz menambah, segala operasi ATM dan TLDM di beberapa gugusan Kepulauan Spratly adalah sah di sisi undang-undang maritim antarabangsa selagi ia berada dalam lingkungan 200 batu nautika dari perairan negara yang dikenali sebagai Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE).

Baru-baru ini, jurucakap Kementerian Luar China, Ma Zhaoxu memberi amaran kepada semua negara jiran supaya menjauhi pulau-pulau di Laut China Selatan termasuk kepulauan Spratly - satu amaran yang pernah beberapa kali disuarakan oleh negara republik itu.

Sebahagian daripada gugusan Kepulauan Spratly merupakan tuntutan bertindih negara-negara seperti China, Malaysia, Filipina, Vietnam dan Brunei sejak dahulu.

ATM dan TLDM secara khususnya pula telah mendirikan kem-kem serta menempatkan anggota di sebahagian daripada gugusan Spratly seperti Pulau Ubi, Pulau Siput, Pulau Mathanena dan Pulau Peninjau sejak tahun 1984.

Dalam perkembangan lain, beliau memberitahu, peranan TLDM mengawal keselamatan laluan kapal dagang Malaysia di perairan Teluk Aden, dekat Somalia telah disambung walaupun sebelum ini mengumumkan ia sepatutnya tamat pada 30 April lalu.

''TLDM kini telah menghantar KD Sri Inderapura pula bagi menggantikan KD Hang Tuah yang telah memulakan pelayaran pulang.

''Perkhidmatan Inderapura sehingga akhir Jun nanti pula akan digantikan dengan kapal bantuan perang TLDM (auxiliary ship),'' jelasnya tanpa mahu menyatakan nama kapal berkenaan.

Dalam pada itu, Band menjelaskan, kehadirannya ke Malaysia kali ini terkandung dalam siri lawatannya ke negara-negara sahabat, sebelum bersara pada pertengahan tahun ini.

''Selepas 75 tahun TLDM 'dilahirkan', saya berbangga dengan pencapaiannya di arena antarabangsa seperti penugasan mereka di Teluk Aden dan Selat Melaka yang menjadi ikutan masyarakat maritim dunia.

''Saya telah banyak bekerjasama dengan pasukan TLDM iaitu sejak berumur 18 tahun semasa mula-mula menyertai tentera laut. Apa yang pasti, TLDM telah banyak berubah,'' ujarnya.

Sumber: Utusan Malaysia Online, Jumaat 15/5/09

CyberCoxswain: Pertikaian tetap pertikaian tetapi biarlah melalui perundangan yang akan diterima oleh semua pihak dengan hati terbuka.

Apa pun, Salam Jubli Intan kepada semua warga TLDM / PSSTLDM dan seluruh warga Malaysia.

Tuesday, May 19, 2009

Kakitangan Kementerian Pertahanan wajib sertai Askar Wataniah

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan mengarahkan semua pegawai dan kakitangan awamnya menyertai Askar Wataniah (AW), mulai semalam.

Menterinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata beliau dan Timbalannya, Datuk Dr Abdul Latif Ahmad akan menyertai pasukan itu dan menyasarkan seratus peratus pegawai serta kakitangan awam yang layak mengikut jejak langkah mereka.

“Ini bagi menggarap satu tujuan supaya kita orang awam memahami dan merasai denyut nadi serta degup jantung pegawai dan anggota tentera.

“Kita juga berasakan perlu diwujudkan jalinan antara pegawai dan anggota tentera bersama pegawai dan anggota kakitangan awam,” katanya pada majlis perhimpunan bulanan kementerian di sini, semalam.

Pada majlis itu juga Ahmad Zahid menerima sijil MS MS ISO 9001/2000 daripada Pengarah Urusan Sirim QAS International Sdn Bhd, Datuk Mariani Mohamed dan kemudian menyampaikannya kepada Setiausaha Bahagian Pembangunan kementerian, Nordin Ahmad dan Setiausaha Bahagian Perolehan, Nazri Siron.

Ahmad Zahid yang ditemui kemudian berkata, arahan itu berkuat kuasa semalam dan pekeliling mengenainya akan dikeluarkan kepada semua golongan berkenaan, kecuali mereka yang mempunyai alasan kukuh seperti masalah kesihatan atau tidak cukup syarat.

CyberCoxswain: Memang sepatutnya... tetapi tak semua kakitangan tersebut boleh jika jiwa mereka tidak berada disitu. Apa pun, itu satu percubaan yang baik dalam memantapkan lagi unit Wataniah / Pasukan Simpanan Sukarela Laut dan Udara.

Wednesday, April 29, 2009

Syiling Peringatan Sempena Jubli Intan TLDM

Bank Negara Malaysia mengeluarkan tiga jenis duit syiling peringatan bersempena sambutan Ulang Tahun Ke-75 penubuhan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM). Duit syiling peringatan ini dilancarkan hari ini oleh DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj selaku Kapten Yang Dipertua Tentera Laut Diraja Malaysia, di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia, Lumut, Perak.

Duit syiling peringatan ini sah diperlakukan dan mempunyai spesifikasi berikut:

1. Duit Syiling Peringatan Emas (pruf)
Duit syiling pruf ini diperbuat daripada logam emas dengan ketulenan 999.9 dan berat setiap keping ialah 7.96 gram. Nilai muka duit syiling ini ialah RM100 dan harga jualannya RM1,200 sekeping. Sebanyak 100 keping sahaja ditempa.

2. Duit Syiling Peringatan Perak (pruf)
Duit syiling pruf ini diperbuat daripada logam perak Sterling dengan ketulenan 92.5 dan berat setiap keping ialah 21.00 gram. Nilai muka duit syiling ini ialah RM10 dan harga jualannya RM150 sekeping. Sebanyak 300 keping sahaja ditempa.

3. Duit Syiling Peringatan Emas Nordic
Nilai muka duit syiling Emas Nordic ini ialah RM1 dan harga jualannya RM10 sekeping. Sebanyak 10,000 keping ditempa.

Kesemua duit syiling ini juga boleh didapati dalam set 3 dalam 1, dan set 2 dalam 1. Set 3 dalam 1 mengandungi duit syiling emas, perak dan emas Nordic pruf. Set ini dijual pada harga RM1,450 setiap set dan hanya terdapat 150 set sahaja. Set 2 dalam 1 pula mengandungi duit syiling perak dan emas Nordic pruf. Setiap set duit syiling ini dijual pada harga RM200 dan hanya terdapat 200 set sahaja.

Reka Bentuk Duit Syiling
Berikut ialah penerangan tentang reka bentuk duit syiling peringatan Ulang Tahun Ke-75 penubuhan TLDM:

1. Bahagian Hadapan Duit Syiling
Memaparkan tanda kebesaran TLDM pada bahagian tengah duit syiling. Padanan tulisan Jawi bagi perkataan "Ulang Tahun Ke-75" dan "Tentera Laut Diraja Malaysia" masing-masing tertera pada bahagian atas dan bawah duit syiling ini.

2. Bahagian Belakang Duit Syiling
Memaparkan kapal selam TLDM jenis Scorpene yang pertama, yang dinamakan Kapal Diraja Tunku Abdul Rahman, mengambil sempena nama Perdana Menteri Malaysia yang pertama (dijangka tiba pada bulan Julai 2009). Perkataan "Jubli Intan TLDM" tertera pada bahagian tengah duit syiling. Perkataan "BANK NEGARA MALAYSIA" pula dipaparkan pada bahagian atas duit syiling, manakala nilai mukanya pada bahagian bawah duit syiling.

Lokasi Jualan
Duit syiling peringatan ini ditempa dan diedarkan oleh Bank Negara Malaysia dan akan mula dijual pada 28 April 2009 di ibu pejabat Bank Negara Malaysia (BNMLINK), dan di cawangannya di Pulau Pinang, Johor Bahru, Kuala Terengganu, Kota Kinabalu dan Kuching.

Sumber: Bank Negara Malaysia (27 April 2009)

CyberCoxswain: Payah benar nak dapatkan syiling peringatan sempena Sambutan Ulangtahun TLDM ke-75 ini. Ramai jugak peminat-peminat syiling peringatan mahupun peminat navy people ini berebut-rebut nak dapatkannya. Semuanya SOLD OUT! tak sampai beberapa minit dijual. Siapa yang sempat beli baguslah, kalau tak sempat.... ada orang nak jualkan?

Tuesday, April 28, 2009

TLDM setanding armada Barat

LUMUT 27 April - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bangga dengan pencapaian yang ditunjukkan oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang kini dianggap sebagai pasukan marin berprestij setanding dengan armada laut di negara Barat.

[ Keterangan Gambar: SULTAN Sharafuddin Idris Shah menerima tabik hormat ketika Istiadat Perbarisan Penganugerahan dan Mengarak Panji-Panji Pasukan sempena sambutan Jubli Intan TLDM di Stadium Pangkalan TLDM Lumut, Perak, semalam. - BERNAMA ]

Baginda yang merupakan Kapten Yang Dipertua TLDM bertitah, pencapaian TLDM itu berikutan pelbagai perubahan yang dibuat pihak pengurusan pasukan tersebut.

Sultan Sharafuddin yang juga kagum dengan kemajuan dari aspek pembangunan dan pemodenan pasukan itu menyifatkannya sebagai sangat memberangsangkan.

"Daripada sebuah angkatan laut yang kecil atau brown water navy dengan hanya memiliki beberapa kapal ronda, TLDM kini mempunyai armada canggih dengan keupayaan yang disegani dalam ketiga-tiga dimensi peperangan maritim.

"Kehadiran dua buah kapal selam iaitu Kapal Diraja (KD) Tunku Abdul Rahman dan KD Tun Abdul Razak nanti adalah pelengkap kepada keupayaan tempur armada kita," titah baginda.

Baginda bertitah pada Istiadat Perbarisan Penganugerahan dan Mengarak Panji-Panji Pasukan sempena sambutan Jubli Intan TLDM di Stadium Pangkalan TLDM di sini hari ini.

Titah baginda lagi, TLDM cukup bertuah kerana memiliki strategi pengurusan, program pembangunan prasarana dan perolehan aset bagi memastikan kekuatan angkatan laut Malaysia seiring dengan pembangunan negara.

Pada masa sama, Sultan Sharafuddin mengingatkan semua warga TLDM supaya tidak mudah berpuas hati dengan kejayaan yang diperoleh kerana sikap leka atau bangga boleh membawa kepada kekecewaan dan kegagalan.

"Warga TLDM harus sentiasa berwaspada dan bersedia dalam semua aspek termasuk kekuatan fizikal, rohani dan mental untuk menghadapi semua cabaran dan sentiasa bersiap sedia dalam menunaikan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan.

"Sejajar dengan cogan kata Sedia Berkorban yang tersemat di jiwa dan raga setiap warga TLDM, beta yakin bahawa harapan TLDM ke arah tentera laut bertaraf dunia dan visinya untuk menjadi tentera laut berkualiti akan tercapai kelak," titah Sultan Selangor.

Baginda bertitah, warga TLDM perlu terus gigih membawa pembaharuan dalam organisasi.

Titah baginda, bagi meneruskan kegemilangan berkenaan, setiap anggota TLDM harus meningkatkan penguasaan ilmu dan kemahiran masing-masing.

"Ini penting memandangkan hanya warga yang berilmu sahaja bersedia untuk menghadapi persaingan alaf baru yang lebih sukar dan mencabar," titah baginda.

Terdahulu, Sultan Sharafuddin melancarkan buku 75 tahun TLDM: Brown to Blue, Jurnal KD Tunas Samudera mengelilingi dunia, setem korporat serta syiling kenang-kenangan Jubli Intan, Pusat Sumber Maritim serta sejarah TLDM di Auditorium M. Sidek Shahbudin di sini.

Turut hadir Panglima Tentera Laut, Laksamana Datuk Seri Abdul Aziz Jaafar; Timbalan Panglima TLDM, Datuk Wira Mohamed Nordin Mohd. Ali dan Panglima Armada, Laksamana Madya Datuk Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin.

SUMBER: Utusan Malaysia Online
Oleh: NORSHARUDDIN SAPIAN
utusanperak@utusan.com.my

CyberCoxswain: TAHNIAH DAN SELAMAT ULANGTAHUN TLDM KE-75 TAHUN! GEMPUR WIRA!

Monday, April 27, 2009

Pengambilan Perajurit Muda TLDM

Peluang terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia yang mencari-cari tempat dalam TLDM. Kini Pengambilan Perajurit Muda TLDM sedang dilakukan di kawasan terdekat anda.

Jika anda berminat untuk menyumbang bakti kepada negara melalui Tentera Laut kini masanya sudah tiba untuk anda menghadiri sesi pemilihan (sila rujuk jadual dibawah untuk waktu dan tempat seterusnya) 2009.

1) Sila hadir di pusat pemilihan yang tercatat seperti di Jadual Pemilihan. Waktu pendaftaran dibuka mulai jam 0830 pagi hingga 0900 pagi, permohonan tidak akan diterima selepas waktu pendaftaran. Pemohon dikehendaki berpakaian sukan, baju 'T' berkolar, seluar panjang sukan, berkasut sukan dan berstokin.

2) Semua calon dikehendaki membawa bersama sekeping gambar terbaru berukuran passport (gambar tidak akan dikembalikan) dan sampul surat bersetem RM1 berukuran 16cm x 23cm beralamat sendiri.

Jadual Pemilihan di Semenanjung Malaysia.

TARIKH / HARI / TEMPAT / PUSAT PEMILIHAN (PEMOHON)
28 Apr 09 Selasa Dungun, Terengganu Sek. Men. Keb. Sultan Omar (Lelaki)
29 Apr 09 Rabu Kuala Terengganu Sek. Men. Keb. Tengku Bariah (Wanita)
30 Apr 09 Khamis Kuala Terengganu Sek. Men. Keb. Tengku Bariah (Lelaki)
2 Mei 09 Sabtu Kota Bharu, Kelantan Sek. Keb. Padang Gadong II (Wanita)
3 Mei 09 Ahad Rantau Panjang, Kelantan Sek. Men. Keb. Rantau Panjang (Lelaki)
4 Mei 09 Isnin Tanah Merah, Kelantan Sek. Men. Keb. Tanah Merah 1 (Lelaki)
6 Mei 09 Rabu Alor Setar, Kedah Kolej Sultan Abdul Hamid (Wanita)
7 Mei 09 Khamis Sg. Petani, Kedah Sek. Men. Keb. Sungai Layar (Lelaki)
9 Mei 09 Sabtu Butterworth Sek. Keb. Pokok Sena (Wanita)
10 Mei 09 Ahad Butterworth Sek. Keb. Pokok Sena (Lelaki)
12 Mei 09 Selasa Taiping, Perak Sek. Men. Keb. King Edward VII (Lelaki)
13 Mei 09 Rabu Ipoh, Perak Sek. Keb. Cator Avenue (Wanita)
14 Mei 09 Khamis Ipoh, Perak Sek. Men. Keb. St Michael (Lelaki)
16 Mei 09 Sabtu Kuala Lumpur Sek. Men. Keb. Cochrane Perkasa (Lelaki)
17 Mei 09 Ahad Kuala Lumpur Sek. Men. Keb. Cochrane Perkasa (Wanita)
19 Mei 09 Selasa Masjid Tanah, Melaka Sek. Men. Keb. Ghafar Baba (Lelaki)
20 Mei 09 Rabu Alor Gajah, Melaka Sek. Men. Keb. Sri Pangkalan (Wanita)
21 Mei 09 Khamis Bandar Melaka Sek. Men. Pay Fong (Lelaki)
23 Mei 09 Sabtu Johor Bharu, Johor Sek. Keb. Temenggung Abdul Rahman 2 (Wanita)
24 Mei 09 Ahad Johor Bharu, Johor Sek. Men. Keb. Tasik Utara (Lelaki)
26 Mei 09 Selasa Seremban, Negeri Sembilan Sek. Men. Keb. King George V (Lelaki)

Di antara syarat-syarat kelayakan yang diperlukan untuk pemilihan adalah:

Warganegara Malaysia
-Calon mestilah warganegara Malaysia berumur di antara 18 hingga 23 tahun pada tarikh angkat sumpah 22 Jul 2009.

Kesihatan
-Sihat tubuh badan serta tidak cacat anggota.
-Penglihatan hendaklah terang dan jelas tanpa cermin mata atau kanta sesentuh dan tidak kabur warna.

Tinggi (Minimum)
Lelaki -1.60 meter
Wanita -1.47 meter

Berat (Minimum)
Lelaki - 49 kg
Wanita - 40 kg

Body Mass Index (BMI)
Lelaki - 19 - 26.9
Wanita - 18 - 23

(Cara pengiraan BMI= Berat dibahagi tinggi dibahagi tinggi
contoh: 48 kg dibahagi 1.57 mtr dibahagi 1.57 mtr = 19.47)

Ukuran dada (Lelaki sahaja)
Biasa -76 cm
Tarik Nafas - 81 cm

KELAYAKAN AKADEMIK

Memiliki SPM/SPMV/SKM dengan mendapat kepujian dalam Bahasa Melayu di Sekolah Bantuan Penuh Kerajaan. Keutamaan diberikan kepada pemohon yang mempunyai kepujian di dalam mata pelajaran Matematik dan 3 mata pelajaran yang lain.

Sijil dan Dokumen
-Calon dikehendaki membawa bersama sijil dan dokumen yang ASAL. Kad Pengenalan (MY Kad), Sijil Kerakyatan Malaysia (jika ada), Sijil Kelahiran Pemohon, Penyata/Sijil PMR/SPM/SPMV/SKM, Sijil Berhenti Sekolah, Sijil Penglibatan Sukan/Persatuan dan Sijil Akademik lain

Maklumat lanjut, sila hubungi Sel Promosi dan Pengambilan Kerjaya LLP, Markas Tentera Laut, Kuala Lumpur di talian 03-20712214.

SEDIA BERKORBAN