Thursday, December 23, 2010

Roket nuklear India

INDIA hari ini berjaya mengadakan ujian tembakan roket nuklear jarak dekatnya sejauh 350 kilometer. Roket yang dikenali Prithvi II itu dilancarkan dari Chandipur, Orissa, India. - Foto AP
Dec 22, 2010 6:25 pm


CyberCoxswain: Tahniah India... adakah kemajuan teknologi melampaui keperluan... gunakanlah untuk kebaikan manusia sejagat.

Monday, December 20, 2010

BM5 jimat RM3j sebulan

KUALA LUMPUR 14 Dis. - Pelaksanaan Operasi Fajar sejak menggunakan kapal kontena Bunga Mas Lima (BM5) milik MISC Berhad yang diubah suai menjadi kapal auxiliary (bantuan dan tugas-tugas khas) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) telah dapat menjimatkan wang kerajaan sebanyak RM3 juta sebulan.

Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar berkata, ini kerana kapal milik TLDM yang digunakan untuk operasi itu sebelum ini tidak mampu bertahan lama serta perlu membeli minyak pada kadar yang lebih tinggi ketika berada di perairan.

Kapal-kapal TDLM sebelum ini juga katanya, perlu membuat persinggahan yang kerap untuk melakukan ulang bekal dan proses itu memerlukan peruntukan kewangan yang tinggi.

"Pelaksanaan Operasi Fajar menggunakan BM5 adalah satu langkah inovasi yang menjimatkan bukan sahaja wang TLDM tetapi wang rakyat dan telah pun dicontohi negara-negara maju lain," katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis sambutan Hari Inovasi Kementerian Pertahanan di sini hari ini.

BM5 ialah sebuah kapal kontena bersaiz 699 TEU dan kapal dagang pertama di Malaysia yang diubahsuai sebagai sebuah kapal auxiliary TLDM.

Kerja-kerja pengubahsuaian telah dijalankan oleh Malaysia Marine and Heavy Engineering Sdn. Bhd. (MMHE), anak syarikat MISC di limbungan kapal MMHE, Pasir Gudang, Johor.

Kapal yang diubah suai dengan kerjasama MISC Berhad, TLDM dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) itu selaras dengan kerumitan dan ancaman lanun yang sering berlaku selain bertujuan mengiringi dan melindungi kapal-kapal MISC yang melalui perairan Teluk Aden.

Mengulas lanjut, Abdul Aziz berkata, BM5 yang mula ditauliahkan dalam perkhidmatan TLDM pada 1 Jun tahun lalu itu telah berjaya melaksanakan lima operasi dengan cemerlang sejak berada di perairan Teluk Aden bermula 2 Julai tahun lalu.

"Sejak mula beroperasi di Teluk Aden, BM5 sehingga kini telah berjaya melakukan tugasnya dengan cemerlang dan dijadikan contoh beberapa negara maju termasuk Jepun, Korea dan Jerman.

"Sejak perkhidmatan BM5 di perairan Teluk Aden, Alhamdulillah tidak ada kapal milik MISC yang ditawan oleh lanun dan ini secara langsung telah menaikkan nama Malaysia dan MISC serta menjadikan MISC antara syarikat pengusaha kapal terpilih dunia," katanya.

Dari segi keanggotaan pula katanya, BM5 terdiri daripada 21 orang Pasukan Simpanan Sukarela TLDM (PSSTLDM) yang merupakan pekerja MISC yang dilatih dan 40 warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM).


CyberCosxswain: Tahniah dan syabas kepada anggota-anggota PSSTLDM yang berkhidmat di kapal ini. Satu contoh amalan murni untuk diikuti oleh warganegara Malaysia yang lain.

Thursday, December 16, 2010

Tidak longgar syarat sertai ATM

Zahid Hamidi melihat cenderahati yang disampaikan oleh Kapten Azizi Hashim yang terlibat dalam Ekspedisi Merdeka 1Malaysia Kuala Lumpur-London di Parlimen, semalam. - utusan/Nooradzrene Mohd Noor

KUALA LUMPUR 15 Dis. - Kementerian Pertahanan tidak akan sesekali melonggarkan syarat kemasukan ke dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) hanya demi menarik minat penyertaan kaum tertentu ke dalam perkhidmatan itu.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, ini kerana sebarang kelonggaran untuk kemasukan seperti berkenaan keadaan fizikal individu hanya akan mengakibatkan anggota yang diterima masuk tidak menepati syarat ditetapkan.

Sebaliknya, tegas beliau, kementerian dan ATM akan memperhebatkan usaha promosi bagi menggalakkan penyertaan pelbagai kaum ke dalam perkhidmatan itu seperti melalui siri jelajah ke seluruh negara.

"Syarat kemasukan tidak ada kompromi, kalau tidak, kita tidak akan ada tentera yang berkualiti," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengadakan perjumpaan dengan MIC dan Persatuan Bekas Angkatan Tentera India Malaysia (Perim) di bangunan Parlimen di sini hari ini.


CyberCoxswain: pastikan syarat kemasukan dipenuhi utk satu malaysia dan lepas ni bagi gaji setara atau lebih dari kakitangan kerajaan lain termasuk polis untuk para anggota tentera kita.

Wednesday, December 15, 2010

Kapal selam nuklear terbesar di Britain

KAPAL selam nuklear terbesar di Britain akan dilancarkan di Barrow-In-Furness esok.

BARROW-IN-FURNESS - Tentera Laut DiRaja Britain akan melancarkan kapal selam nuklear terbesar di negara itu yang berharga £1.2 bilion (RM5.9 bilion), dikenali sebagai HMS Ambush di sini, Cumbria, barat daya England, esok, lapor sebuah akhbar semalam.

Kapal selam nuklear seberat 7,400 tan itu sepanjang 88.6 meter atau menyamai sebuah padang bola sepak dan selebar empat buah bas. Tingginya pula menyamai bangunan 12 tingkat.

Reaktor nuklear yang menjana HMS Ambush mampu membekalkan tenaga untuk bandar Southampton dan ia tidak perlu naik ke permukaan laut sepanjang jangka hayatnya atau selama 25 tahun serta boleh memusnahkan musuh pada jarak lebih 1,600 kilometer.

Kapal selam jenis pemburu dan pemusnah itu turut berupaya mengitar oksigen dan memproses air bersih daripada air laut untuk 98 krunya pada waktu krisis.

Pihak musuh menggeruni kapal HMS Ambush kerana ia senyap. Kapal itu sukar dikesan dan dilengkapi radar yang boleh mengesan kapal atau kapal selam pada jarak lebih 3,000 kilometer.

Bagi memastikan ia memiliki kuasa pemusnah yang hebat, kapal selam itu akan dilengkapi 38 peluru berpandu termasuk peluru Tomahawk yang memiliki jarak sekitar 2,000 kilometer selain torpedo berat Spearfish. - Agensi


CyberCoxswain: Dunia semakin canggih... boleh terus selam tak timbul-timbul...

Thursday, October 7, 2010

Tentera diminta jaga rahsia, imej

Oleh Muhamad Fairoz Azizan
muhamadfairoz@bharian.com.my
2010/10/07

Bocor maklumat ancam keselamatan negara

KUALA LUMPUR: Anggota dan pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) perlu menjaga rahsia pertahanan negara dan keselamatan termasuk yang berkaitan keupayaan aset strategiknya dan kemampuan pertahanan negara.

[Keterangan gambar: PANGLIMA Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Azizan Ariffin menyampaikan Pingat Perkhidmatan Setia (PPS) kepada anggota tentera pada perbarisan Hari Ulang Tahun ATM ke-77, di Dataran Panglima Tentera Darat Kem Sungai Besi, hari ini. - Foto Effendy Rashid, Oct 6, 2010 1:57 pm]

Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Azizan Ariffin, berkata jika maklumat mengenai pertahanan negara dibocorkan atau dibincangkan dengan umum, ia akan mendatangkan masalah dan ancaman kepada pasukan keselamatan serta negara.
Katanya, demi menjaga imej dan kredibiliti organisasi itu, setiap warga ATM perlu lebih bertanggungjawab dan prihatin akan hal kerahsiaan pasukan dan asetnya.

Azizan berkata, kebocoran maklumat dan rahsia hanya akan memperlihatkan kelemahan ATM sedangkan pasukan itu sentiasa berada dalam keadaan kesiapsiagaan dan bertugas 24 jam setiap hari, tujuh hari seminggu dengan memperoleh aset serta latihan terbaik dalam menghadapi apa jua ancaman.

“Apa saja maklumat berkenaan kesiapsiagaan pertahanan adalah rahsia negara yang sepatutnya disimpan dan tidak dibincangkan, lebih-lebih lagi dibocorkan kepada pihak luar,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis Perbarisan Hari Ulang Tahun ke-77 ATM di Kem Perdana Sungai Besi di sini, semalam.

“Bukan semua aset yang kita miliki boleh didedahkan atau dibincangkan secara terbuka walaupun kepada media massa demi menjaga nama baik pasukan, keselamatan rakyat dan negara.

“Maklumat lain berhubung ATM mungkin boleh dibincangkan tetapi maklumat berkaitan ketenteraan tidak boleh diperbincangkan secara terbuka,” katanya.

Beliau berkata, setiap perkara yang diperbincangkan juga perlu melalui saluran yang betul dan tidak menyalahi etika kerana sebagai sebuah pasukan keselamatan negara ia boleh menggugat mutu pasukan.

Terdahulu dalam ucapannya, beliau berkata, dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, kadar pelanggaran disiplin dalam kategori jenayah dan penyalahgunaan dadah di kalangan warga ATM menurun.

Bagaimanapun, katanya, berlaku peningkatan dalam kes tatatertib am selain pengekalan peratusan bagi anggota yang tidak hadir bertugas tanpa memohon cuti.

“ATM tidak akan sesekali berkompromi dalam kes pelanggaran disiplin, malah tindakan sewajarnya akan diambil ke atas mereka yang disabitkan dengan kesalahan sebagai langkah memelihara disiplin, integriti dan etika warga tentera,” katanya.

Upacara perbarisan yang sepatutnya diadakan pada 16 September lalu, dilewatkan bagi memberi laluan kepada sambutan Hari Malaysia yang disambut pada tarikh sama.

Seramai 26 pegawai dan 774 anggota ketiga-tiga perkhidmatan iaitu Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menyertai perbarisan itu.

Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Dr Ismail Ahmad; Panglima Tentera Darat Jen Datuk Zulkifli Mohd Zain; Panglima TLDM, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar dan Panglima TUDM, Jen Tan Sri Rodzali Daud.


CyberCoxswain: Patuhilah pesanan Panglima ATM dalam percakapan/penulisan tak kira dalam blog atau pun pengucapan umum agar kerahsiaan ini kekal sebagai rahsia. Kebocoran maklumat secara tidak sengaja selalunya melalui kelalaian anggota sendiri dan kalau sengaja pula... sendiri mau ingatlah!

Kepada penerima pingat pula, Tahniah! diucapkan.

Tuesday, October 5, 2010

"Orang Jatuh Laut!"

Lelaki hilang dari kapal Star Pisces

GEORGE TOWN – Seorang warga emas lelaki yang dalam pelayaran bersama kapal persiaran Star Pisces dipercayai terjatuh ke dalam laut sebelum kapal tersebut berlabuh di Pelabuhan Swettenham di sini semalam.

Mangsa berusia lingkungan 60-an dan berasal dari Pantai Jerjak, Sungai Nibong dekat sini dipercayai terjatuh semasa kapal mewah itu berada di kedudukan kira-kira lima batu nautika utara Teluk Bahang dalam kejadian pada pukul 6.30 pagi.

Lelaki itu telah menaiki kapal itu di Pelabuhan Swettenham pada pukul 8 malam kelmarin dan belayar ke perairan antarabangsa sebelum ia dijadual pulang pukul 8 pagi semalam.

Kehilangan mangsa hanya disedari krew kapal itu pada pukul 1 petang selepas mereka menjumpai dompet milik lelaki berkenaan sebaik kapal berlabuh.

Berikutan itu, krew tersebut membuat laporan polis.

Sumber: Kosmo! Online

CyberCoxswain: Orang jatuh laut... kalau kapal navy ada "evolusi" untuk settle masalah ini tapi kalau kapal persiaran camna ek?

Sebetulnya susah nak jaga orang awam kalau dah ramai2 dalam satu kapal ni... sebab tu navy selalu beratur pagi2 atas deck untuk check strength.

Adakah kes bunuh diri?... wallahuaalam.

Wednesday, September 22, 2010

KD Mahamiru selamat awak-awak bot karam

2010/09/22 LUMUT: Tindakan pantas Kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berjaya menyelamatkan awak-awak dalam sebuah bot nelayan yang terbalik selama tujuh jam daripada karam di Perairan Pulau Pangkor tengahari semalam.

Pegawai Memerintah Kapal Diraja (KD) Mahamiru, Komander Hisham Jaafar, kapalnya mengesan bot yang terbalik dan hampir karam itu kira-kira jam 12.50 tengahari di lokasi 15 batu nautika Barat Daya Pulau Pangkor. "Melihat keadaan itu, saya segera mengarahkan anak kapal menurunkan bot kapal untuk mendekati bot dan memberikan bantuan. "Satu Tim Menyelamat dari KD Mahamiru yang diketuai oleh Pegawai Selam dan Ranjau diarahkan untuk memeriksa dan menyiasat keadaan bot.

"Tim ini yang pakar dan berkemahiran tinggi dalam melaksanakan penyelaman dan kerja bawah air memberikan bantuan khidmat nasihat mengenai cara untuk mengendalikan bot yang terbalik kepada nelayan,” katanya dalam kenyataan di sini, pagi tadi.

Hisham berkata, ketika bot ditemui, KD Mahamiru sedang melaksanakan rutin pengawasan keselamatan maritim di Perairan Selat Melaka.

Kapal pemusnah periuk api itu adalah antara kapal TLDM yang ditugaskan mengawasi keselamatan perairan Selat Melaka.
CyberCoxswain: Syabas! Satu tindakan segera yang sungguh bermakna kepada mereka yang memerlukan tanpa mengira kewarganegaraan.

Tuesday, September 21, 2010

Sambut Aidilfitri di tengah laut

DEMI tanggungjawab kepada negara, anggota Tentera Laut Diraja Malaysia sanggup menyambut Hari Raya Aidilfitri di tengah lautan luas ketika umat Islam yang lain bergembira bersama anak isteri dan keluarga tersayang.

[Keterangan gambar: Berbuka puasa beramai-ramai atas kapal. ]

Ini kerana mereka faham, tugas mengawal keselamatan perairan negara dari ancaman musuh perlu diutamakan dari nikmat menyambut hari raya.

Sebagai anggota TLDM, mereka bersedia berkorban perasaan dan nyawa demi negara pada bila-bila masa sahaja apabila dikehendaki.

Tidak dinafikan, sebagai manusia biasa, sudah tentu terdetik perasaan sayu di sanubari mereka apabila terpaksa menyambut Hari Raya Aidilfitri jauh dari keluarga tersayang di kampung halaman namun mereka tidak pernah berkecil hati.

Sebuah kapal TDLM yang terlibat dalam aktiviti rondaan perairan Selat Melaka pada Hari Raya Aidilfitri ialah Kapal Diraja (KD) Kelantan yang mempunyai kekuatan 68 anak kapal.

Dalam setiap tugasan, biasanya KD Kelantan keluar meronda selama dua hari untuk mengawal sekitar perairan Pulau Pangkor hingga ke Georgetown, Pulau Pinang.

Pegawai Pemerintah KD Kelantan, Komander Zahari Samsuri berkata, beliau tetap merasa bangga walaupun terpaksa belayar di tengah laut pada Hari Raya Aidilfitri demi tugas menjaga keamanan negara.

"Anggota TLDM dikehendaki membiasakan diri dengan keadaan ini kerana keamanan negara adalah keutamaan kami.

"Kami sanggup melakukan pelayaran pada Hari Raya Aidilfitri kerana ini merupakan tanggungjawab kami sebagai warga TLDM," katanya.

Menurut Zahari yang sudah lebih lima kali berhari raya di atas kapal, walaupun sambutan hari raya di atas kapal disambut sederhana, ia tetap meriah.

"Apa jua hidangan yang ada di luar seperti sate, ketupat, rendang dan lemang juga dihidangkan di dalam kapal.

"Jika di luar kita ziarah dari rumah ke rumah, di sini, kita ziarah dari mes ke mes," ujarnya.

Laskar Kanan Bdi Mohd. Sarkam Saari, 34, yang bertugas sebagai chef di KD Kelantan pula sudah biasa menyambut Hari Raya Aidilfitri di atas kapal.

Dia yang berasal dari Kubang Kerian, Kelantan tidak merasa sedih walaupun terpaksa berpisah dengan isteri dan tiga anaknya pada hari raya.

"Dulu, semasa pertama kali menyambut hari raya atas kapal, saya menangis kerana rindukan keluarga tetapi sudah biasa sekarang kerana sudah empat kali beraya di atas kapal.

"Saya faham perasaan rakan-rakan yang baru pertama kali merasai pengalaman beraya di atas kapal. Oleh itu, saya cuba menyediakan hidangan hari raya yang terbaik untuk mereka supaya mereka tidak terasa sangat berjauhan dengan keluarga," katanya.

Bagi Leftenan Raja Abd Ghani Raja Abdullah, 27, pula, dia tidak menyambut hari raya di kampungnya di Palong Tujuh, Gemas, Negeri Sembilan sejak menyertai TLDM tiga tahun lepas.

Kata Raja Abd. Ghani, ini merupakan kali pertama dia beraya di atas kapal selepas dua tahun beraya di markas.

"Sudah tentu saya rasa agak terharu dan sedih kerana tidak dapat beraya bersama keluarga. Mungkin, hari raya ketiga atau keempat baru saya pulang beraya di kampung," katanya.

Juruteknik enjin di KD Kelantan, Bintara Muda Fazli Ismail, 28, menyatakan, perasaannya bercampur baur kerana terpaksa menyambut Hari Raya Aidilfitri di atas kapal.

"Paling sedih, saya tidak dapat meminta maaf dengan ibu bapa pada hari raya tetapi perasaan itu sedikit terubat kerana ramai kawan-kawan yang senasib dengan saya di atas KD Kelantan ini," katanya yang kali pertama menyambut beraya di atas kapal ialah di KD Mahawangsa pada 2008.

Bintara Kanan TMM Mohd. Rizal Maidin, 31, yang berasal dari Changlun, Kedah pula berkata, tahun ini merupakan tahun kedua dia menyambut Hari Raya Aidilfitri di atas kapal selepas menamatkan zaman bujangnya pada 2006 ketika bertugas di Kota Kinabalu, Sabah.

"Walaupun agak sedih, isteri saya faham kerana saya sudah beritahu dia saya mungkin tidak dapat menyambut hari raya bersama kerana perlu bertugas," jelasnya.

Sumber: Utusan Malaysia Online

CyberCoxswain: Begitulah kehidupan sebagai seorang Anggota Tentera Laut DiRaja Malaysia. Satu pengorbanan yang besar demi memastikan keamanan terjaga dan terhindar daripada pencerobohan di sepanjang perairan negara.

Pekerjaan yang jarang-jarang mendapat liputan dari media jadi tak hairanlah jika orang awam masih tertanya-tanya mengenai kerjaya ini. Apa pun pengorbanan ini sentiasa dilihat Ilahi dan mudah-mudahan mendapat tempat disisiNya kelak. InsyaAllah.

Sedia Berkorban.

Thursday, September 9, 2010

Jangan leka kawal sempadan negara - Panglima ATM

AZIZAN (dua dari kanan) membakar lemang untuk persiapan menyambut Aidilfitri bersama anggota dari Batalion Pertama Rejimen Sempadan yang bertugas mengawal sempadan Malaysia-Thailand di Pos Tok O, Rantau Panjang kelmarin.

RANTAU PANJANG - Pasukan keselamatan yang mengawal sempadan negara diminta agar tidak leka terutama ketika menjelang hari lebaran.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Azizan Ariffin berkata, pada ketika itu merupakan saat genting yang mungkin digunakan oleh pihak tertentu yang mengambil kesempatan untuk menceroboh sempadan.

"Jangan sekali-kali kita memberi peluang kepada mereka yang cuba pencerobohan sempadan negara.

"Kita perlu tetap fokus biarpun pada masa sambutan 1 Syawal," katanya pada majlis berbuka puasa bersama anggota Batalion Pertama Rejimen Sempadan yangmengawal sempadan Malaysia-Thailand di Pos Tok O di sini kelmarin.

Pada Hari Raya Aidilfitri ini seramai 2,400 anggota dari tiga batalion Rejimen Sempadan akan bertugas mengawal sempadan negara bermula dari Kedah sehingga ke Kelantan.

Menurut Azizan, kerajaan tidak berhasrat untuk menghentikan operasi di sempadan biarpun negara berada dalam keadaan aman.

"Operasi yang bermula sekitar tahun 1980-an sehingga kini akan kekal kerana keperluannya masih ada.

"Kita kena pertingkatkan lagi kawalan di sempadan supaya tiada ruang bagi anasir-anasir luar untuk menceroboh," ujarnya.

Dalam pada itu, beliau meminta rakyat negara ini mendoakan keselamatan pasukan keselamatan yang bertugas diperbatasan sempena Aidilfitri ini.

Jelasnya, anggota terbabit telah melakukan pengorbanan besar dalam melaksanakan tanggungjawab bagi memastikan negara ini terus kekal aman.


CyberCoxswain: Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua anggota dari 3 cabang perkhidmatan ATM dan berkhidmatlah demi negara tercinta. Pengorbanan itu semua InsyaAllah akan mendapat rahmat dari yang Maha Esa.

Kepada anggota di Samudera Raya, sentiasalah berwaspada dalam bertugas lebih-lebih lagi dengan kejadian2 yang tidak diingini di negara jiran dan serangan lanun di Laut China Selatan beberapa hari yg lepas. Sedia Berkorban!.... Maaf Zahir & Batin.

Thursday, July 15, 2010

KD Tun Razak tiba di Teluk Sepanggar

2010/07/15

KOTA KINABALU: Kapal selam kedua negara KD Tun Razak selamat tiba di pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Teluk Sepanggar, dekat sini hari ini.

Ketibaan KD Tun Razak disambut Yang Dipertua Negeri Tun Ahmadshah Abdullah, Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar dan warga TLDM.

KD Tun Razak yang dikendalikan 32 anggota tentera laut yang telah mengikuti latihan kapal selam di Perancis selama empat tahun memulakan pelayaran pulang dari Toulon, Perancis pada 30 April lepas dan mengharungi 7,063 batu nautika sebelum sampai ke tanah air.

Kapal selam kedua itu dilengkapi sistem pelancar torpedo, misil dan periuk api serta mampu mengawasi perairan negara pada kedalaman 100 hingga 200 meter.

Berucap pada majlis sambutan itu, Ahmadshah berkata kehadiran KD Tun Razak mampu meningkatkan keupayaan TLDM melaksanakan tanggungjawabnya menjaga keselamatan dan kesejahteraan perairan negara.

Bagi menjamin kedaulatan perairan negara yang luas, TLDM memerlukan lebih banyak aset yang efisien dan canggih, dan kapal selam adalah aset strategik tercanggih dikendalikan TLDM masa kini, katanya.

Selain KD Tun Razak, beliau berkata pangkalan TLDM Kota Kinabalu di Sepanggar turut menempatkan kapal selam pertama negara, KD Tunku Abdul Rahman, sejak September tahun lalu. - BERNAMA

Sumber: Bernama

CyberCoxswain: KD Tunku Abd Rahman dah dapat kawan. Kalau kapal biasa dipanggil 'she', kategori kapal selam ni nak panggil apa yek? got an idea guys...

note; Teringat kes kemalangan lepas...

Tuesday, July 13, 2010

Ensign - Separuh Tiang

Ajal 5 Sekeluarga

KOTA KINABALU: Seorang anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bersama empat ahli keluarganya yang dalam perjalanan untuk menyaksikan ketibaan kapal selam kedua negara, KD Tun Abdul Razak maut apabila kereta dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori tangki di Simpang Ladang Reka Halus Jalan Sandakan-Telupid, Sandakan, petang kelmarin.

Lebih menyayat hati, seorang daripada mangsa, Nurdell Asniera Haniesah Haidir, 8, ditemui dalam keadaan ngeri dengan kepalanya terputus akibat tersepit di bawah lori tangki membawa minyak kelapa sawit itu.

Difahamkan, pemandu kereta itu, Mohd Ariffin Lakin, 24, yang bertugas di Pangkalan TLDM Teluk Sepanggar, dan masih bujang dipercayai mahu membawa keluarganya menyaksikan kapal selam kedua negara yang dijangka tiba Khamis ini.

Bagaimanapun, dalam kejadian pada jam 6 petang itu, Proton Iswara dipandu Mohd Ariffin bertembung dengan lori tangki minyak sawit menyebabkan dia dan empat penumpang di dalamnya tersepit sebelum meninggal dunia di tempat kejadian.

Keluarga Mohd Ariffin yang turut terbunuh ialah adiknya, Rusid Lakin, 33, ibunya, Sapura Abdullah, 52, adiknya, Hasnah, 15, dan anak saudaranya, Nurdell Asniera.

Ketua Polis Daerah Beluran, Deputi Superintendan V Shivanathan berkata, kejadian berlaku apabila kereta dipandu Mohd Ariffin yang dalam perjalanan menuju ke pusat bandar raya bertembung lori tangki berkenaan dari arah bertentangan.

“Pertembungan itu menyebabkan semua penumpang Proton Iswara tersepit di dalam kenderaan yang remuk teruk itu sebelum meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah.

“Bagaimanapun, pemandu lori berusia 49 tahun hanya cedera ringan dan kini dirawat di Hospital Beluran,” katanya.

Katanya, polis masih menyiasat punca kejadian dan tidak menolak kemungkinan faktor kecuaian menjadi punca kemalangan itu.

“Semua mangsa dihantar ke hospital untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarga untuk dikebumikan,” katanya.

Shivanathan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan, Mohd Razali Awang Ahmad, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 6.14 petang dan menghantar sebuah jentera bersama enam anggota ke lokasi.

Sumber: MyMetro - Harian Metro Online

CyberCoxswain: Innalillahiwainna ilaihirojiuun... semoga roh mereka dicucuri rahmat dan ditempatkan dikalangan orang-orang yang beriman.

Semua orang exited nak tengok kapal selam lebih-lebih lagi anggota TLDM/PSSTLDM sendiri (walau pun orang cakap "...hari-hari dah tengok kapal takkan nak tengok kapal lagi?.." tapi itulah... malang memang tak berbau.

Berhati-hatilah di jalan raya untuk keselamatan kita bersama.

Al-Fatihah.

Friday, July 2, 2010

Kapal selam KD Tun Razak tiba di perairan negara

KAPAL selam Scorpene kedua negara, KD Tun Razak tiba di perairan negara dari Sepanyol semalam.

KUALA LUMPUR - Kapal selam kedua negara, KD Tun Razak tiba di perairan negara semalam dari limbungan pembinaannya di Madrid, Sepanyol.

Kapal selam jenis Scorpene yang dilancarkan oleh Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah pada 8 Oktober 2008 itu kini dalam perjalanan ke Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut untuk sambutan rasminya hari ini.

Menurut kenyataan TLDM, sambutan rasmi pada sebelah petang akan diserikan dengan keberangkatan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah dan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Turut menyambut ketibaan kapal itu ialah Menteri Pertahanan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Azizan Ariffin.

KD Tun Razak dinamakan bersempena Perdana Menteri kedua Malaysia Tun Abdul Razak Hussein sebagai mengenang jasa negarawan ulung itu atas sumbangannya kepada kemerdekaan, permodenan, pentadbiran dan pembangunan negara.

KD Tun Razak yang dikendalikan 31 kru bergerak menggunakkan diesel dan boleh beroperasi sehingga kedalaman lebih 300 meter. - Bernama

SUMBER: Kosmo! Online

CyberCoxswain: Selamat Datang... Welcome Aboard!

Thursday, July 1, 2010

Isu pembelian Scorpene tidak perlu ke SPRM

01/07/2010 1:41pm

BANGI 1 Julai - Isu pembelian kapal selam Scorpene tidak perlu dibawa kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, ini kerana pembelian kapal selam itu dibuat mengikut prosedur yang sepatutnya, malah kos pembelian kapal selam buatan Perancis bernilai kira-kira satu bilion euro pada tahun 2002 itu mendapat kelulusan Kementerian Kewangan.

"Pembelian dibuat mengikut apa yang ditetapkan prosedur, semua langkah diikuti sebaik-baiknya," katanya kepada media selepas melepaskan peserta Ekspedisi 1Malaysia ke Kota London di sini hari ini.

Beliau berkata demikian semasa mengulas mengenai pembelian kapal selam itu yang dilaporkan oleh sesetengah media membabitkan pembayaran komisen bernilai kira-kira 114 juta euro kepada syarikat di Malaysia. - Bernama

Sumber: Utusan Malaysia Online

CyberCoxswain: Perlukah nak libatkan SPRM?... mungkin mereka ini perlukan lebih penjelasan agar "kerahsian" yang didakwa - terungkai.

SPRM perlu bekerja lebih masa untuk menyelesaikan semua masalah yang melibatkan negara dan kepentingan awam yang dilaporkan. Termasuk juga masalah matematik yang melibatkan komisen 20% dari 1 bilion?... (rasanya dalam bisnes 20% adalah komisen yang biasa digunapakai, tak taulah pulak kalau diaorang 'up' lebih)