Monday, June 7, 2010

Tidak tolong rakan tumbang

SEORANG anggota rejimen Scots Guards tumbang semasa latihan di London kelmarin

LONDON - Tahap disiplin dan tradisi ketenteraan yang ketat tidak membenarkan anggota-anggota tentera lain membantu seorang rakan mereka yang tumbang dalam satu raptai diraja di Britain, lapor sebuah akhbar semalam.

Seorang anggota pasukan pengawal diraja, Scots Guards jatuh pengsan akibat cuaca panas 27° Celsius semasa sesi latihan terakhir bagi satu acara rasmi di sini pada hujung minggu depan.

Insiden kelmarin itu menyebabkan anggota keluarga diraja Britain yang dianugerah gelaran Duke of Edinburgh, Putera Philip cemas seketika tetapi beliau juga perlu menunggu sehingga perbarisan tersebut selesai sebelum melihat anggota berkenaan diberikan bantuan.

Pihak tentera Britain kemudian menyatakan, anggota malang itu telah sembuh sepenuhnya.

Sumber: Kosmo Online!

CyberCoxswain: Teringat kisah askar darat kita hari tu yang tercucuk banet M16 sampai darah meleleh tetap juga meneruskan perbarisan sampai selesai. Syabas!

27° Celsius dah kira panas di sana tapi kat sini 33° celsius pun biasa bagi kita... rasanya mungkin topi diaorang yang tak sesuai utk musim panas kot? Wallahualam.

Tuesday, May 11, 2010

Perkhidmatan Pegawai Memerintah KD Sri Inderapura ditamatkan

LUMUT: Pegawai memerintah Kapal Diraja (KD) Sri Inderapura yang terbakar pada Oktober 2008 sudah ditamatkan perkhidmatan pada 27 Januari lalu selepas dua hari dihadapkan ke Mahkamah Tentera, kata Panglima TLDM Tan Sri Abdul Aziz Jaafar hari ini.

Beliau berkata Mahkamah Tentera mendapati pegawai memerintah itu bersalah terhadap pertuduhan bertanggungjawab terhadap kehilangan kapal logistik terbesar Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) akibat kebakaran dan hukuman tamat perkhidmatan itu sudah disahkan pada bulan lalu.

"Kita boleh mengalami kebakaran di atas kapal tetapi kita tidak boleh kehilangan kapal akibat kebakaran. Ini adalah kes pertama yang menyebabkan kehilangan aset TLDM akibat kebakaran," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penganugerahan Beret Kehormat Pasukan Khas Laut (Paskal) Sayap Penerbangan Kehormat kepada Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di sini.

Abdul Aziz berkata walaupun pegawai berkenaan sudah menyumbangkan perkhidmatan cemerlang dalam TLDM namun setiap perkara yang berlaku pada sebuah kapal adalah di bawah tanggungjawab pegawai memerintahnya. - Bernama

Sumber: Harian Metro Online

CyberCoxswain: Anggota-anggota PSSTLDM pun "aset" TLDM juga tapi dalam konteks yang berbeza...
"...kita boleh membuat rombakan tapi kita tidak boleh kehilangan mereka..."

Mayat rentung dalam kereta pegawai TLDM

BEGINILAH keadaan sebuah kereta jenis Proton Perdana V6 yang dibakar bersama mayat seorang lelaki di Kuang kelmarin

SUNGAI BULOH - Misteri penemuan mayat lelaki yang hangus dalam sebuah kereta Proton Perdana V6 kelmarin membongkar rahsia lain apabila polis mendapati kenderaan tersebut milik seorang Laksamana Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang dicuri bulan lalu.

Kejadian pukul 11.30 malam itu berlaku apabila pihak bomba menerima panggilan mengatakan sebuah kereta sedang terbakar di ladang kelapa sawit Elmina di Kuang di sini.

Bagaimanapun, sebaik api dipadamkan dua jam selepas itu, mereka terkejut apabila menemui satu mayat rentung hampir 70 peratus dari bahagian atas di dalam but kereta tersebut.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah berkata, pihaknya masih belum mengenal pasti identiti mangsa.

"Pemeriksaan pada nombor casis kereta itu pula mendapati ia telah dilaporkan hilang di tempat letak kereta Wangsa Link, Wangsa Maju pada pukul 10.30 pagi 12 April lalu.

"Laporan kehilangan kereta itu dibuat oleh Timbalan Ketua Staf Pengurusan Strategi Bahagian Pengurusan Tentera Laut, Laksamana Pertama, Datuk Rosli Idrus," katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Sumber: Kosmo! Online

CyberCoxswain: Kelmarin dengar kereta Ketua Polis Selangor lesap dikebas, hari ini kereta Panglima TLDM plak lesap dan dijumpai terbakar/mungkin dibakar ... esok?

Friday, April 30, 2010

Perang Pangkor serlah kesiagaan TLDM

Oleh AHMAD SYAKIR SAZILI
ahmadsyakir.sazili@kosmo.com.my

ANAK kapal KD Lekiu dan KD Seri Inderasakti sedang memindahkan beban semasa belayar dalam eksesais Perang Pangkor di Lumut semalam.

LUMUT - Eksesais Perang Pangkor siri 6/2010 yang berakhir lewat malam kelmarin berjaya mencapai matlamat dalam menilai keupayaan dan kesiagaan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) untuk menghadapi apa jua kemungkinan peperangan.

Menurut Ketua Staf Markas Armada, Laksamana Pertama Mior Rosdi Mior Mohd. Jaafar, latihan yang diadakan secara berkala itu menguji kejituan persefahaman antara TLDM dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

"Saya amat berpuas hati dengan komitmen pegawai serta anggota terlibat dan mencapai objektif yang ditetapkan.

"Kita juga bukan sahaja melihat kecekapan anak-anak kapal tetapi segala sistem sama ada navigasi, persenjataan dan sebagainya yang terdapat dalam kesemua kapal telah teruji dengan jayanya," katanya pada sidang akhbar di KD Seri Inderasakti di sini semalam.

Sumber: Kosmo! Online

CyberCoxswain: Syabas dan Tahniah! sempena sambutan Hari TLDM ke 76 tahun. Kalau boleh libatkan sekali dengan kapal selam kita pula lepas ni.

Tuesday, April 20, 2010

Kapal abad ke-9 tiba di Sri Lanka

GALLE - Sebuah kapal yang dibina mengikut reka bentuk abad kesembilan berlabuh di sini, Sri Lanka semalam selepas belayar dari Muscat, Oman.

GAMBAR menunjukkan kapal yang dibina mengikut reka bentuk abad ke-9 tiba di Galle semalam.

Kapal itu yang dibina secara tradisional tanpa menggunakan paku berlepas dari Oman pada 15 Februari lalu dengan mengikuti laluan pedagang-pedagang Arab ke timur Asia.

Hentian terakhir kapal tersebut yang dikenali sebagai Permata Muscat itu ialah di pelabuhan Singapura pada Julai tahun ini.

Sumber: Kosmo! Online

CyberCoxswain: Ianya akan melalui Selat Melaka dan pastinya boleh dilihat jika kena pada waktu dan ketikanya. Contoh yang baik untuk dijadikan kapal latihan bagi mendalami ilmu kelautan seperti KLD Tunas Samudera kita yang sedia ada.

Wednesday, February 10, 2010

Askar Marin AS makan katak, kala jengking

DARAH ular senduk diminum oleh seorang askar Amerika Syarikat

BANGKOK - Askar-askar marin Amerika Syarikat (AS) makan katak, kala jengking dan minum darah ular tedung pada satu program kemahiran hidup di hutan wilayah Chonburi, Thailand semalam.

Seramai 14,000 anggota tentera dari enam buah negara iaitu Korea Selatan, Indonesia, Thailand, AS, Singapura dan Jepun terlibat dalam latihan perang itu.

Latihan itu yang diadakan di sebuah kem tentera laut di Chonburi akan berakhir hari ini. - AFP

Sumber: Kosmo! Online

CyberCoxswain: Rasanya anggota PASKAL kita pun tak kurang hebatnya. Begitulah corak latihan sebagai anggota komando yang memang hebat untuk menangkis segala cabaran, halangan dan dugaan dari segi mental dan fizikal. Kalau nak cerita mungkin sampai esok pun tak habis. Dan mungkin juga ada anggota atau bekas anggota komando sendiri yang nak mengulas...

Atau mungkin tak mahu publisiti ataupun menjaga sensitiviti.

Friday, February 5, 2010

Kedutaan asing didakwa beli rahsia negara

Kor Risik pantau kebocoran maklumat: Zahid

KUALA LUMPUR: Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan terdapat kedutaan asing di negara ini memperalatkan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi mendapatkan maklumat rahsia negara, sekali gus boleh mengancam keselamatan negara.

Katanya, anggota terbabit dipercayai diupah kedutaan asing menyalurkan maklumat diklasifikasi sebagai rahsia besar, rahsia, dan sulit yang tertakluk mengikut Akta Rahsia Rasmi 1972.

Sehubungan itu, katanya, beliau akan menemui Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam masa terdekat bagi menjelaskan secara terperinci apa yang berlaku kerana tindakan membocorkan rahsia negara dan usaha mendapatkannya oleh sebuah kedutaan asing adalah jenayah berat.

"Setiap masa Kor Risik ATM memantau perkara ini (kemungkinan berlaku kebocoran maklumat) dan apabila maklumat ini (kebocoran maklumat ATM) diperoleh, kita bekerjasama dengan polis untuk tindakan lanjut.

"Saya tidak berkompromi dalam isu barang hilang, maklumat bocor dan sebarang kepincangan. Bukan setakat amaran, kita akan mengambil tindakan undang-undang," katanya selepas Perhimpunan Bulanan kementeriannya di sini, semalam.

Pada majlis itu, beliau melancarkan kempen derma darah Mindef 2010 dan Talian Bebas Tol Mindef yang boleh dihubungi menerusi 1 800 222 700 bagi membolehkan orang ramai membuat aduan terhadap sebarang perkara berkaitan kementerian itu.

Ahmad Zahid berkata, beliau tidak menganggap pihak terbabit memainkan peranan sebagai pengintip kerana tugas itu biasanya dilakukan orang luar, tetapi dalam kes ini ia mungkin menggunakan orang dalam.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, berpuluh-puluh individu dikenakan tindakan oleh ATM kerana mendedahkan maklumat kepada pihak tertentu dalam kes kehilangan enjin jet F-5E milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Sumber: Berita Harian Online

CyberCoxswain: Menjaga amanah amat berat tanggungjawabnya. Selain sifat jujur dan ikhlas berkhidmat demi negara, hanya mereka yang benar-benar layak sahaja yang boleh memikulnya.

Kes-kes sebegini mungkin berlaku secara sengaja / tidak sengaja kepada musuh negara hanya mereka sendiri yang boleh tentukan. Ingatlah masih di dunia lagikan dinilai apatah lagi akhirat kelak yang tak mungkin terlepas (kepada yang muslim).

Thursday, February 4, 2010

Tahniah XO!

Hari ini 4hb Febuari 2010, Lt Kdr Ahmad Amir Abdullah, Pegawai Laksana (XO) KD Sri Pinang mengadap Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Kedah Darul Aman untuk menerima Bintang Perkhidmatan Cemerlang Kedah (B.C.K.).

Tahniah Tuan! dari kami semua warga PSSTLDM KDSP. Satu lagi pengiktirafan untuk warga PSSTLDM yang boleh dibanggakan oleh semua.

Bintang ini dikurniakan sebagai hadiah di atas perkhidmatan cemerlang seseorang itu yang telah berjasa dan berbakti atas perkhidmatan yang tinggi mutunya. Telah menjalankan tugas-tugas berlebihan daripada tugas-tugasnya. Bintang ini dikurniakan kepada seseorang yang berpangkat pegawai atau yang setaraf dengannya.

Sumber: Lt Kdr Zolkefli Bahadur.

Monday, February 1, 2010

Jawapan kepada Persoalan

Satu persoalan:

“Apagunanya kalau http://cybercoxswain.blogspot.com/ sentiasa mengagung-agungkan PSSTLDM. Mana org2 ni semua?”

Sepuluh jawapan:

  1. kerana mereka berjasa secara sukarela bukan senang nak menyuruh orang memberi sumbangan sebegini yang diri sendiri pun rasa kurang mampu melakukannya
  2. walaupun beban kerja berlambak di tempat kerja hakiki / pejabat, masih sudi meluangkan masa untuk latihan mingguan dan aktiviti ACT yang sudah pastinya akan menambah beban di kepala (kata orang; macam mencari penyakit)
  3. sanggup menghabiskan cuti tahunan semuanya untuk PSSTLDM dengan rela hati
  4. tinggal tugas dengan bercuti tanpa gaji semata-mata untuk menghadiri dan menyertai aktiviti ACT yang dianjurkan
  5. tinggal isteri dan anak-anak / ibu bapa kebiasaannya selama 3 hari hingga 14 hari atau mungkin lebih hanya kerana kursus dan latihan PSSTLDM
  6. dimarahi penyelia dan majikan kerana selalu bercuti (dah lah cuti tanpa gaji… pun tetap kena marah jugak…)
  7. dimarahi rakan setugas di tempat kerja kerana meninggalkan lebih beban tugas kepada mereka semasa bercuti walaupun dengan kawan rapat sendiri (protes)
  8. dicop sebagai bermasalah dan rekod buruk kerana kerap mohon cuti (sebab itu mereka ini tidak boleh ambil cuti selalu)
  9. walaupun mendapat layanan teruk tetap bersemangat untuk terus berkorban dan dikorbankan
  10. kurang publisiti lagipun mereka ini memang jenis yang merendah diri dan siapa lagi nak cerita program / aktiviti mereka ini selain di sini yang selalunya tidak mendapat tempat di media luar.

Lima kesimpulan:

  1. hargailah jasa, pengorbanan masa dan keringat mereka ini kerana mereka ini ibarat aset kepada pasukan
  2. berilah kesenangan dan permudahkan kepada mereka ini dalam segala urusan berkaitan dengan segala keperluan mereka supaya aset yang ada tidak lari ke tempat lain / hilang semangat kesukarelaan
  3. semangat “setiakawan” perlu diperluaskan dan tidak terikat dengan protokol dan halangan-halangan birokrasi yang melecehkan dan melumpuhkan kesetiaan
  4. jangan dibebankan sangat anggota-anggota PSS ini dengan kerja / tugasan / arahan yang bukan-bukan (apa tu?... pejam mata dan slowly kenang kembali)
  5. anggota PSS ini adalah pelanggan kepada pihak pengurusan pasukan / base yang diketuai oleh KPS dan normally known that “customer is always right”.

Untuk persoalan: “Mana org2 ni semua?”

Jawapan: kalau yang di atas tidak dijaga sebaik mungkin (rujuk kesimpulan) itulah kesan dan akibat dari perbuatan sendiri.

ada betul?... sila komen di bawah. TK.

Saturday, January 30, 2010

Perbarisan Pegawai Memerintah

Perbarisan Pegawai Memerintah atau lebih dikenali dengan CO Division atau singkatan CO Div memang perkara lumrah dilakukan oleh setiap unit dalam TLDM mahupun PSSTLDM.

Pegawai Perbarisan Lt Kdr Jee Jeet Yuan sedang melapor.

Pada 23hb Januari 2010, Sabtu jam 0700H telah dengan jayanya semua anggota KD Sri Pinang melakukan perbarisan ini di Padang Kawad (sementara) KDSP.

Tahun ini ramailah pulak anggota yang hadir (memang sepatutnya begini pun) hingga penuh padang kawad yang kecil molek tu dan terpaksa dilakukan secara 'statik' sahaja yang mana anggotanya terdiri daripada staf tetap, anggota PSS dan Palapes. Mungkin tengah excited sebab tahun baru.

Tengok, ramai tak?... semangat tengah berkobar-kobar ni... (tapi sebelum mendengar khabar yang 'potong, potong dan potong' tu lah)

Dan tidak seperti selalunya, tahun ini Dato' CO berucap panjang mengenai "setiakawan dalam pasukan" dan kelebihan KDSP dengan projek pembangunan infrastruktur baru yang telah diluluskan sebelum keadaan 'potong, potong dan potong' yang melanda sekarang - budget tak ade beb!... makan tak suply dan sampai nak kena sewa dan bayar sendiri duit dobi... ish ish ish...

Apa pun... PERBARISAN SELESAI, KEBENARAN MENJALANKAN TUGAS DATO'

Pakaian No. 1 bagi anggota LLP dari Laskar Kanan ke bawah. Menarik!

Antara orang kuat perbarisan hari tersebut, PW1 PPP (GI) Rahim.
Juga dengan pakaian No. 1 bagi Bintara Muda ke atas (kira senior rate lah tu)

Friday, January 29, 2010

Peranan wanita dalam TLDM

BIASANYA pasukan keselamatan sesebuah negara akan didominasi oleh kaum lelaki. Namun fungsi anggota wanita tidak dinafikan kerana mereka sebenarnya turut memainkan peranan penting bagi sesuatu perkhidmatan ketenteraan dan itulah yang berlaku dalam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Dalam TLDM sendiri, peranan anggota wanita dianggap sama penting dengan anggota lelaki dan turut memegang jawatan-jawatan tinggi dalam perkhidmatan.

ABDUL Aziz Jaafar serta pemimpin-pemimpin tertinggi TLDM ketika menyertai Kem wanita 2010 di lumut.

Pada masa ini, terdapat tujuh pegawai wanita berpangkat Komander di TLDM dan kebanyakan mereka menduduki jawatan-jawatan tertinggi di pusat latihan dan pentadbiran.

Antaranya ialah Pegawai Laksamana Pusat Kepimpinan TLDM dan Pengarah Pusat Program Latihan Khidmat Negara (PLKN).

Selain itu, terdapat empat pegawai wanita bertugas di kapal iaitu masing-masing dua orang di kapal KD Pahang dan KD Perak.

Ketika ini terdapat 1,104 anggota wanita di TLDM dengan sebanyak 90 peratus daripadanya bertugas di pangkalan-pangkalan TLDM seluruh negara.

Melihat pada trend pertambahan anggota wanita dalam perkhidmatan tersebut, TLDM telah menubuhkan Sel Wanita pada 1 Mei 2009 bagi menguruskan kerjaya serta kebajikan anggota wanita.

Walaupun Sel Wanita dalam TLDM masih baru berbanding formasi lain dalam ATM, Sel Wanita TLDM begitu aktif dan sudah mencapai banyak kejayaan dengan membuat pelbagai pembaharuan dalam tempoh singkat.

Menurut Pegawai Staf 1 Hal Ehwal Ehwal Wanita TLDM, Komander Noraida Zulkifli yang mengetuai Sel Wanita TLDM, antara kejayaan yang telah dicapai ialah meningkatkan kuota pengambilan anggota wanita dari empat peratus kepada lapan peratus mulai tahun ini.

"Kita sudah cuba mendapatkan kelulusan pihak atasan supaya peratus kuota pengambilan anggota wanita dalam TLDM ditingkatkan sejak tahun lalu lagi dan Alhamdulillah, pada tahun ini ia sudah dinaikkan sekali ganda," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Selain itu, kata Noraida, Sel Wanita TLDM juga berjaya mendapatkan kelulusan pemimpin tertinggi supaya uniform mengandung, tudung serta kasut kawad anggota wanita diubahsuai.

Katanya, uniform mengandung dan tudung sudah digunakan sekarang manakala kasut kawad yang sesuai serta berkualiti akan digunakan tidak lama lagi.

"Bahkan perjawatan wanita di atas kapal sudah diperluaskan walaupun terdapat kekangan daripada segi budaya dan agama.

"Sebagai contoh, tirai plastik bilik air dalam bilik di kapal KD Pahang sudah diubah suai menjadi pintu untuk kemudahan anggota wanita dan ini dapat mengelakkan perkara tidak diingini berlaku," katanya.

Noraida berkata, anggota wanita TDLM mampu melakukan apa yang lelaki boleh lakukan tetapi ia harus berlandaskan agama serta budaya.

"Pada tahun ini, kita mahu lebih ramai anggota wanita ditempatkan di dalam kapal terutamanya dalam bidang komunikasi serta bekalan supaya mereka dapat memainkan peranan lebih besar di barisan hadapan sama seperti anggota lelaki," ujar beliau.

Bagi memastikan anggota wanita tahu hala tuju TLDM serta peranan mereka, Sel Wanita TLDM turut mengadakan pelbagai kursus dan aktiviti termasuk Kem Wanita buat julung kalinya yang dirasmikan oleh Panglima Tentera Laut, Tan Sri Abdul Aziz Jaafar pada 15 Januari lalu.

Kem tersebut yang berlangsung dari 15 Januari hingga 17 Januari lalu, menghimpunkan seramai 320 anggota serta pegawai wanita pelbagai pangkat daripada semua formasi TLDM dari seluruh negara.

Kem itu juga adalah yang pertama menghimpunkan pegawai serta anggota lain lain pangkat (LLP) dalam satu program dengan tujuan untuk merapatkan hubungan antara mereka.

"Seperti yang kita tahu, dalam perkhidmatan beruniform, terdapat jurang antara pegawai dan anggota kerana protokol yang perlu dipatuhi.

"Dengan adanya kem ini, mereka dapat menjalinkan hubungan serta mengenali antara satu sama lain dengan lebih rapat," kata Noraida.

Beliau berkata, pelbagai aktiviti daripada ceramah gangguan seksual, undang-undang, pembangunan kerjaya serta senamrobik dan sukan dimuatkan pada program itu supaya anggota wanita mengetahui mereka turut memainkan peranan besar dalam TLDM.

"Kita tidak mahu kekangan agama dijadikan alasan dan kita mahu mereka tahu bahawa mereka turut memainkan peranan dalam menyumbang kepada perkhidmatan berkualiti dalam TLDM,'' ujarnya.

Sumber: Utusan Malaysia Online

CyberCoxswain: Rasanya artikel ini patut lebih diberi publisiti (sebab itu saya copy kat sini) untuk menarik minat golongan wanita menyertai TLDM mahupun PSSTLDM supaya mereka tahu ada tempat untuk golongan ini dan kebajikan mereka sebenarnya dijaga, jasa mereka sangat diperlukan negara dan sumbang bakti mereka sangat-sangat dihargai pasukan.
Hidup wanita!

KD Seri Inderapura dilucut tauliah

MAJLIS Istiadat Pelucutan Tauliah Kapal Diraja (KD) Seri Inderapura pada 21 Januari 2010 di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, Perak merupakan hari yang tidak boleh dilupakan oleh semua warga pasukan keselamatan itu.

Pada hari tersebut, Panglima Tentera Laut, Tan Sri Abdul Aziz Jaafar dan Panglima Armada, Datuk Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin turut menitiskan air mata kerana amat terasa dengan 'kehilangan' kapal yang berfungsi sebagai kapal pemerintah dan logistik itu.

ABDUL Aziz Jaafar (tengah) bersama Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin (kiri) dan Panglima Wilayah Laut 1, Laksamana Datuk Mohd Som Ibrahim memberi tabik hormat kali terakhir kepada KD Sri Inderapura yang dilucutkan pertauliahan di Pangkalan Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM), Lumut.

Masakan tidak, KD Seri Inderapura merupakan kapal kebanggaan TLDM kerana ia kapal terbesar pernah dimiliki pasukan tersebut dan telah banyak mengharumkan nama TLDM dan negara selama 14 tahun 11 bulan dan 21 hari tempoh perkhidmatannya.

Apatah lagi, mengenangkan saat-saat KD Seri Inderapura masih mempertahankan 'kemegahannya' ketika terbakar semasa berlabuh di jeti Pangkalan TLDM Lumut pada 8 Oktober 2009.

"Di sebalik insiden kebakaran terdapat satu peristiwa menarik perhatian kerana gada-gada tauliah serta gada-gada piala agong dan panji-panji TLDM pada KD Sri Inderapura tidak terbakar dan boleh dilihat jelas melalui celahan kepulan asap dan api yang marak menjulang.

"Apa yang berlaku itu menggambarkan seolah-olah kapal itu mahu menunjukkan 'kebanggaannya' sebagai sebuah KD dan peristiwa ini amat pelik kerana gada-gada itu tidak terjatuh semasa kapal terbakar," kata Abdul Aziz selepas istiadat pelucutan tauliah KD Seri Inderapura di Pangkalan TLDM Lumut, baru-baru ini.

Pada majlis tersebut, kapal tersebut diberikan penghormatan terakhir selepas mengakhiri perkhidmatannya dengan TLDM.

Majlis tersebut diadakan dengan penuh adat istiadat dengan kehadiran hampir semua bekas pegawai memerintah KD Seri Inderapura yang merasa bangga kerana pernah bertugas di kapal tersebut.

Menurut Abdul Aziz, 'kehilangan' KD Seri Inderapura sangat dirasai oleh semua warga TLDM kerana kapal itu adalah kebanggaan TLDM selama ini dan tanpanya, operasi armada laut negara terjejas.

Sejak ditauliahkan dalam perkhidmatan TLDM pada 31 Januari 1995, KD Seri Inderapura telah terlibat dalam pelbagai operasi dalam dan luar negara dengan jarak perjalanan menjangkau 1,332,945.4 batu nautika.

Kapal tersebut pernah membawa kenderaan pacuan empat roda yang terlibat dalam Ekspedisi Kembara Merdeka ke Cape Town, Afrika Selatan serta pelayaran bantuan logistik KLD Tunas Samudera mengelilingi dunia.

Kapal itu juga terlibat dalam menghantar bantuan kemanusiaan di Aceh dan Timor Leste. Paling diingati, kapal tersebut menyertai operasi menyelamat tebusan dan mengiringi kapal milik Perbadanan Perkapalan Antarabangsa Malaysia (MISC) di Teluk Aden pada 2008.

Sebelum dibeli oleh kerajaan Malaysia pada harga RM48 juta, KD Seri Inderapura yang dibina di San Diego, California, Amerika Syarikat (AS) pada 1970 berkhidmat dengan Tentera Laut AS dan dikenali sebagai USS Spartanburg County, bermula 1 September 1971 hingga Disember 1994.

Dalam tempoh 26 tahun itu, banyak tugasan telah dilaksanakan oleh kapal tersebut termasuk misi kemanusiaan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) iaitu Operasi Doria Salute IV 1974 serta ekspedisi kemanusiaan tentera AS ke Lubnan dan Kuwait.

KD Seri Inderapura pernah terbakar semasa berlabuh di Pangkalan TLDM Lumut pada 16 Disember 2002 tetapi kembali beroperasi selepas dibaik pulih tetapi tragedi menyayat hati pada 8 Oktober lepas memusnahkan kapal tersebut.

Sebagai sebuah kapal yang disanjung ramai warga TLDM, ramai mencadangkan supaya bangkai kapal tersebut 'disemadikan' dan dijadikan tukun di lokasi kapal itu tersadai sekarang.

Namun, cadangan itu tidak boleh dilaksanakan kerana besi-besi keluli pada kapal itu boleh menjejaskan ekologi hidupan di laut dan jalan terbaik ialah dengan melupuskan bangkai kapal tersebut.

Bagaimanapun, beberapa barang pada KD Seri Inderapura seperti gada-gada tauliah, gada-gada piala agong dan panji-panji TLDM yang terselamat dalam kebakaran itu akan disimpan sebagai bahan sejarah.

Walaupun KD Seri Inderapura kini hanya tinggal nama, segala jasa dan sumbangan KD Seri Inderapura akan terus dikenang dalam lipatan sejarah sebagai sebuah kapal yang banyak mengharumkan pasukan tentera negara.

Sumber: Utusan Malaysia Online

CyberCoxswain: Sayonara. Jasamu dikenang.

Friday, January 22, 2010

Pegawai memerintah KD Inderapura didakwa

LUMUT - Bekas pegawai memerintah Kapal Diraja (KD) Sri Inderapura akan dihadapkan ke Mahkamah Tentera di sini Isnin ini berhubung kejadian kebakaran melibatkan kapal pendarat terbesar Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) 8 Oktober lalu.

KD Sri Inderapura yang musnah dalam kebakaran telah dilucutkan pertauliahan di Pangkalan Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM) Lumut semalam.

Panglima Tentera Laut, Tan Sri Abdul Aziz Jaafar (gambar kecil) berkata, pegawai tersebut akan menghadapi dua pertuduhan dan perlu bertanggungjawab terutama dalam menentukan aset hak milik negara selamat.

Ujarnya, TLDM boleh menerima hakikat kebakaran tersebut tetapi bukan 'kehilangan' kapal itu.

"Sebagai contoh, kemalangan jalan raya boleh berlaku tetapi kita tidak boleh terima apabila melibatkan kehilangan nyawa kerana ia menunjukkan banyak kelemahan.

"Begitu juga dengan kejadian ini kerana ia menunjukkan kurang latihan, sistem tidak beroperasi dengan baik atau anggota tidak menunjukkan semangat yang tinggi," katanya.

SUMBER: Kosmo! Online

CyberCoxswain: Perkara yang ditunggu-tunggu dah tiba... jawab jangan tak jawab... banyak benda kena jelaskan. Problem is masalah.