Wednesday, December 31, 2008

Selamat Tahun Baru 1430H & 2009

Selamat Tahun Baru diucapkan kepada seluruh warga ATM khususnya anggota-anggota TLDM, PSSTLDM, PALAPES, PLAS dan kakitangan awam yang berkhidmat menyumbang bakti dalam Tentera Laut.

Jasamu sentiasa dikenang.

Tak lupa juga kepada seluruh warga KD Sri Pinang yang bakal menerima base baru nanti. Habis staf kena draf yang tinggal tak berapa orang saja lagi... tapi tak pa lepas ni ianya akan kembali ceria dan meriah.

Banyak benda nak tulis utk bulan 12 ni tapi kesuntukan masa dan ada aral yang melintang membuatkan ianya akan dilaporkan pada bulan Januari depan. Lagipun gambar-gambar untuk diterbitkan belum terima lagi (ada orang nak buat bisness nak jual pulak gambar-gambar tu dalam cd... jangan marah ha..) Kita tunggu jelah tahun depan bukannya lama pun.... esok je! Hahahaha...

Kepada Skuad Boria KDSP berlatih rajin-rajin masa dah suntuk!

Sedia Berkorban.

Friday, December 19, 2008

'Kapal ditawan tidak ikut arahan'

KUALA LUMPUR 18 Dis. - Kegagalan memaklumkan tentang laluan dan pergerakannya kepada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menjadi punca kapal tunda dan tongkang milik dua syarikat swasta tempatan ditawan oleh lanun Somalia di perairan Yemen kelmarin.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Abdul Aziz Zainal berkata, KD Inderasakti yang berada di Teluk Aden bagi mengiringi kapal dagang Malaysia melalui perairan tersebut, tidak menerima maklumat tentang pergerakan kapal daripada syarikat terbabit.

Beliau percaya kejadian itu boleh dielakkan jika syarikat terbabit bekerjasama menyalurkan maklumat seperti sebuah kapal China yang diselamatkan oleh TLDM daripada serangan lanun, semalam.

''Kita tidak dimaklumkan, jadi kita tidak tahu pergerakan laluan kapal tersebut. Mungkin kapal itu melalui kawasan berasingan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penutupan Kursus Kepimpinan Berwawasan (Pegawai) ATM di sini hari ini.

Beliau berkata, sepatutnya kapal-kapal Malaysia yang ingin melalui perairan di situ memaklumkan kepada kapal TLDM yang membuat rondaan maklumat mengenai laluan mereka bagi memudahkan koordinasi dilakukan.

''Perairan tersebut merupakan satu laluan yang luas. Kita tidak boleh mengawal setiap pergerakan kapal yang lalu di situ.

''Sebab itu koordinasi diperlukan dengan pihak syarikat memberi maklumat tentang laluan mereka agar pergerakan mereka boleh diatur dengan rapi bagi mengelakkan diserang lanun," katanya.

Ditanya sama ada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan berkerjasama dengan pihak berkuasa Somalia untuk bertindak sebagai pasukan pengaman di sana, beliau berkata:

''Perkara itu melibatkan negara asing dan tidak mudah menghantar tentera ke sana.''

Dalam kejadian semalam, lanun di perairan Somalia sekali lagi menawan sebuah kapal Malaysia iaitu yang ketiga dalam tahun ini.

Menurut laporan, kapal tunda Malaysia yang mempunyai 11 anak kapal warga Indonesia itu sedang dalam perjalanan ke Malaysia dari Asia Barat dan ditawan kira-kira pukul 7.15 pagi waktu tempatan (12.15 tengah hari waktu Malaysia) sebelum dibawa masuk ke Somalia.

Dalam hal ini, Abdul Aziz berharap Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dapat memainkan peranan berkesan menangani kegiatan lanun di perairan terbabit.

"Tidak ada guna jika PBB mengumumkan pelbagai langkah tetapi tidak bertindak segera menghantar pasukan tentera pengaman bagi membanteras kegiatan lanun yang berleluasa di perairan tersebut," katanya.

Sumber: Utusan Malaysia Online

CyberCoxswain: Kalau dah tak ikut arahan itulah padahnya yang patut diterima...

Ditawan Lanun Lagi!

KUALA LUMPUR: Semua 11 anak kapal Masindra 7, kapal tunda milik syarikat Malaysia yang ditawan lanun di perairan Yemen pada Selasa lalu, dilapor berada dalam keadaan selamat dan sihat.

Menteri Luar, Datuk Seri Dr Rais Yatim, berkata Wisma Putra juga sudah memberitahu perkara itu kepada Kedutaan Besar Indonesia di sini, memandangkan semua anak kapal itu terdiri daripada warga negara Indonesia.

“Perampas kapal tunda itu dalam komunikasinya dengan pemilik kapal, Masindra Shipping (M) Sdn Bhd, melalui telefon satelit telah memaklumkan kapal itu akan dibawa ke perairan Somalia serta urusan pembayaran wang tebusan akan dibincangkan kemudian,” katanya di sini hari ini.

Rais berkata bahawa daripada taklimat yang diberi oleh wakil Syarikat Masindra Shipping Sdn Bhd, kapal itu mempunyai bekalan makanan yang boleh menampung selama 30 hari.

Katanya syarikat itu turut mengharapkan kerjasama kerajaan Malaysia dalam menyelesaikan krisis itu tanpa sebarang insiden tidak diingini.

Kejadian berlaku jam 12.15 pagi waktu Malaysia apabila kapal tunda yang didaftarkan di Pelabuhan Klang bersama sebuah tongkang sedang berada 45 batu nautika dari pesisir pantai Yemen.

Rampasan kapal tunda tersebut turut dimaklumkan kepada pejabat perwakilan Malaysia di Sana’a oleh sebuah syarikat Malaysia, Muhibbah Engineering cawangan Sana’a, yang menyewa kapal tunda dan tongkang berkenaan.

Rais juga berkata kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), KD Sri Indera Sakti, yang kini berada di Teluk Aden, sedia memberi bantuan yang sewajarnya kepada semua kapal dagang Malaysia yang menggunakan laluan di perairan itu. - Bernama

CyberCoxswain: Apa nak kata... tunggu jelah maklumat lanjut dari kementerian luar mengenainya

Thursday, December 18, 2008

‘Gempur lanun Somalia’

NEW YORK 17 Dis. – Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam buat kali pertama memberi kuasa kepada negara-negara yang memerangi kegiatan lanun dekat pantai Somalia untuk melancarkan serangan darat dan udara ke atas kubu lanun di negara itu.

Kegiatan lanun yang menjadi-jadi di salah satu laluan perkapalan paling sibuk di dunia itu telah menyebabkan kos insurans melonjak dan memaksa tentera laut negara asing menempatkan kapal perang di perairan berkenaan bagi melindungi kapal dagang.

Penganalisis bagaimanapun berkata, tindakan antarabangsa itu tidak memadai untuk mencegah serangan lanun, sebahagiannya kerana tentera laut yang memburu mereka tidak mempunyai kuasa untuk meneruskan operasi ke atas kubu lanun di darat.

Draf resolusi tajaan Amerika Syarikat (AS) semalam, yang diluluskan dengan sebulat suara oleh 15 anggota Majlis Keselamatan, meluaskan kuasa tersebut kepada negara-negara yang bekerjasama dengan kerajaan sementara Somalia untuk memerangi kegiatan lanun.

“Negara-negara berkenaan boleh mengambil segala langkah perlu di Somalia, termasuk di ruang udaranya, untuk tujuan menghalang pihak yang menggunakan wilayah Somalia untuk merancang, membantu atau melakukan kegiatan lanun dan rompakan bersenjata di laut,” menurut draf tersebut.

Sidang Majlis Keselamatan itu dihadiri oleh Setiausaha Negara AS, Condoleezza Rice, Menteri Luar Rusia, Sergei Lavrov dan Menteri Luar Britain, David Miliband.

Walaupun peranan kerajaan Somalia berkali-kali ditekankan dalam resolusi itu, kerajaan sementara itu lemah dan mengalami perpecahan.

Negara itu dalam keadaan huru-hara sejak keruntuhan pemerintahan diktator 17 tahun lalu.

Puak berhaluan Islam menguasai sebahagian besar selatan Somalia manakala militia-militia kabilah yang bertelagah berkuasa di bahagian lain.

Pada sidang semalam, AS juga buat kali pertama menyatakan, PBB perlu menghantar pasukan pengaman ke Somalia dan Washington akan mengusahakan resolusi di Majlis Keselamatan menjelang akhir tahun ini untuk tujuan tersebut.

– Reuters

CyberCoxswain: Satu tindakan yang sepatutnya dah lama diambil bagi membantu Somalia dalam mentadbir dan membangunkan negara yang begitu miskin dan tercicir dari arus kemodenan dunia. Apabila negara dalam keadaan kucar-kacir dan miskin hingga kebuluran, mereka mencari jalan pintas untuk mencari sedikit kesenangan dengan cara yang salah atau juga mempunyai agenda tertentu. Tetapi apabila melibatkan keselamatan rantau dan nyawa manusia yang menggunakan selat berhampiran untuk perdagangan tindakan menyeluruh patut diambil. Gempur Wira!

Friday, December 12, 2008

Puspahanas pusat rujukan penyelidikan pertahanan

KUALA LUMPUR 5 Dis. – Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (Puspahanas) yang sedang dalam pembinaan bakal menjadi pusat rujukan dan penyelidikan pertahanan negara.

Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Wira Abu Seman Yusop (gambar) berkata, penubuhannya bukan hanya sebagai sebuah pusat pengajian dalam bidang strategi dan pertahanan bagi Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

‘‘Penubuhan Puspahanas adalah sebagai persediaan awal kerajaan mempertingkatkan daya saing ilmu ketenteraan dan tahap profesionalisme pegawai tentera khususnya bagi menangani pelbagai bentuk ancaman kepada negara pada masa hadapan,’’ katanya.

Beliau berucap pada majlis penyampaian Diploma Kursus Maktab Turus Angkatan Tentera Malaysia (MTAT) Ke-37 di Auditorium Kementerian Pertahanan Malaysia di sini hari ini.

Turut hadir Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Abdul Aziz Zainal; Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Ismail Jamaluddin; Panglima Tentera Laut, Laksamana Datuk Sri Abdul Aziz Jaafar dan Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Azizan Ariffin.

Beliau seterusnya berharap Puspahanas dapat disiapkan mengikut jadual dan juga menjadi sebuah pusat latihan bertaraf antarabangsa bagi ATM.

‘‘Dengan kemudahan yang lengkap serta lokasi Puspahanas yang ideal, saya percaya bahawa peserta kursus nanti akan dapat belajar dan menjalankan penyelidikan dalam persekitaran yang selesa dan memuaskan,’’ katanya.

Sumber: Utusan Malaysia Online

CyberCoxswain: Satu lagi pusat kecemerlangan ilmu pertahanan bakal ada dalam negara kita yang tercinta ini dan jangan lupa kita juga akan ada satu Pusat Latihan PSSTLDM di Pulau Pinang yang bakal dibangunkan dengan segala kemudahan dan infrastruktur moden untuk melatih sukarelawan dan sukarelawati bagi berkhidmat untuk negara.

Wednesday, December 10, 2008

Audit Pengurusan KDSP 2008

Tahun 2008 merupakan tahun akhir untuk base KD Sri Pinang (KDSP) untuk menerima Audit Pengurusan Tahunan kerana base ini bakal dirobohkan dan dibangunkan semula untuk kepentingan PSSTLDM sebagai Pusat Latihan PSSTLDM yang serba lengkap dalam negara.

Dijangka dirobohkan pada Febuari 2009 dan base ini akan ditempatkan sementara di satu kawasan yang sedang diubahsuai untuk dijadikan tempat latihan sementara untuk PSSTLDM sebelum base baru siap kelak.

Selalunya untuk audit pengurusan di KDSP dijalankan pada pertengahan tahun seperti bulan April hingga Julai tetapi tahun ini diadakan pada bulan yang sepatutnya tiada PSS mengikuti latihan iaitu pada tarikh 1 hingga 4 bulan Desember. Jadi kalau kekurangan anggota untuk parade memang tidak boleh nak salahkan mereka.

Tetapi sebarang kemungkinan boleh berlaku. Kehadiran anggota PSSTLDM kali ini teramai dalam sejarah walaupun kehadiran tidak seratus peratus. Penuh padang kawad untuk perbarisan kali ini dengan disertai pelatih-pelatih kursus dari PALAPES Laut UUM dan USM.

Pemeriksaan barisan oleh Inspektorat Jeneral (IJ) Pengurusan Strategik, Laksamana Pertama Rusli Bin Idris dimulakan dengan platun pegawai. Hampir setiap anggota dalam baris disapa oleh beliau dan ini membuatkan semua anggota menganggap beliau begitu 'friendly'. Tetapi aura 'panglima' tetap ada dan inilah yang membuatkan anggota-anggota gugup ketika berhadapan dengannya.

Walaupun sebelum ini Pegawai Memerintah memberitahu Panglima Tentera Laut, Laksamana Dato' Sri Abdul Aziz Bin Hj. Jaafar sendiri akan turun ke KDSP dan satu acara untuk sesi dialog dengan beliau akan diadakan dengan anggota PSSTLDM tetapi tidak menjadi.

Perbarisan berakhir dengan jayanya dan malam itu satu Majlis Malam Mesra diadakan untuk meraikan IJ dan semua yang terlibat. Menu untuk makan malam merupakan nasi tomato berlaukkan ayam masak merah, daging masak hitam, acar timun, buah-buahan, kuih puding dan minuman oren. Tetapi untuk meja VIP ada tambahan menu istimewa khas untuk IJ dan pegawai-pegawai audit.... mungkin boleh bagi markah lebih sikit ke mana tahu...

Seperti biasa menu disajikan oleh caterer yang tidak asing lagi di KDSP iaitu X-Navy dan X-PSSTLDM Coxswain Daud. Memang sedaplah makan malam tu...

"Show Time"

Selesai makan, Panglima IJ berkelapangan untuk mendengangkan lagu dari Broery Marantika. Wah! boleh tahan jugak panglima kita ni ye...

Untuk persembahan malam itu pelatih-pelatih kursus PALAPES UUM dan USM diminta membuat 2 persembahan dan nyanyian karaoke. Dan tak terlepas juga masing-masing satu persembahan dari PSSTLDM dengan Boria KD Sri Pinang dan dari kumpulan Bintara Muda (PO - sebutan P.O.) PSSTLDM.

Mungkin persembahan boria yang ceria, berkilauan, mengancam dan memikat jiwa membuatkan peratusan markah menjadi lebih tinggi seperti satu rangkap boria berbunyi "Oh Bukit Bendera hai tanahnya tinggi, samalah dengan markah kami..." hinggakan mendapat tepukan gemuruh dan jemputan tak rasmi dari pegawai dari Mindef untuk aktiviti Januari tahun depan (masalah jugak ni...). Syabas!

Acara penutup malam mesra disudahi dengan persembahan dari kumpulan PO dengan persembahan bertajuk Gadis Melayu. Ini pun membuatkan Panglima, Dato' CO dan penonton tidak senang duduk dengan gelagat 'gadis-gadis melayu' yang didatangkan khas diiring dengan muzik rancak dari lagu Gadis Melayu ini. Sampaikan ada yang tak tahan gerrram untuk menari bersama-sama gadis-gadis ini.

Ini kerana 'gadis-gadis melayu' yang didatangkan khas ini 'tidak tulen' kerana mereka ini adalah dari PO-PO lelaki (yang bermisai lebat pun ada) yang memakai baju kedah dan berkain batik berlakon sebagai 'gadis perawan'. Hebat jugak PO-PO kita ni... baca doa boleh, bawa bas boleh, mengajar pun boleh dan semua mereka ni serba boleh dan memang pro... bagi jelah apa pun memang jadi dengan depa ni... syabas sekali lagi!!

Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih di atas kerjasama semua anggota yang terlibat samada regular mahupun PSS dan juga Palapes dalam menjayakan audit pengurusan dan malam mesra kali ini.

Majlis bersurai dengan memori indah jam 2030. Well done!

Wednesday, December 3, 2008

Minggu 'Stress' KDSP

Tekanan pada minggu ini di awal bulan Desember yang sepatutnya base 'stand down' membuatkan semua orang cepat marah dan naik angin.

Sebabnya...

Dalam sejarah, Audit Pengurusan / Base Inspection 2008 dilakukan dalam bulan cuti yang sepatutnya tiada latihan untuk PSSTLDM dan selalunya tiada komitmen dari anggota PSS.

Diaorang nak cuti bersama famili masing-masing dan bulan untuk enjoy dari segala aktiviti ketenteraan... dan juga bulan untuk menyimpan rambut, misai dan janggut bagi panjang.

Tapi kena standby untuk auditlah pulak... tak patut sungguh. Kecualilah kalau nak prepaire ke LIMA Langkawi ke... (tahun depan ada lagi ni 1-5 Dec. 2009) oklah jugak. Mana nak prepaire base untuk cucian dan kebersihan... dan persiapan persembahan lagi untuk malam akhir dan macam-macam lagi. Ini semua memerlukan kerjasama semua anggota.

Dah tu ada lagi Latiba Fasa II di Tanjung Pengelih pun dibuat dalam bulan ini jugak... macam tak dak bulan lain dah... tension... tension... So bilalah boleh cuti kalau macam ni.

Tapi tak mengapa kerana base ini bakal dirobohkan untuk didirikan base baru yang serba lengkap sebagai Pusat Latihan PSSTLDM dan ini merupakan kali terakhir untuk base KDSP yang bersejarah menerima audit pengurusan.

So, kepada seluruh warga KDSP marilah kita beramai-ramai berganding bahu dan memeriahkan inspection kali ini.

SEDIA BERKORBAN

Tuesday, December 2, 2008

Jamuan Meraikan Bakal Pesara dan Pesara Wisma Bintara PSSTLDM

26hb November 2008, Rabu - Satu majlis ringkas jamuan makan malam bagi meraikan bakal pesara dan pesara Wisma Bintara PSSTLDM diadakan di Restoran Idrus Ikan Bakar, Jeti Jabatan Laut, Batu Uban, Pulau Pinang.

Semua pesara dijemput untuk menghadirinya. Mereka ialah PW1 PPP Mohamad, PW2 TMK Amizan, PW2 KMR Abd Halim (En. Halim) dan BM TMK Zulkefli (PO Zul) merupakan pesara dari perkhidmatan PSSTLDM. Bagi bakal pesara pula ialah PW1 TMK Azizan (En. Azizan... rujuk gambar di atas) dan BK PPP Jamil.

Tetapi kehadiran jemputan untuk diraikan adalah seramai 4 orang sahaja. En. Halim dan PO Zul tidak dapat hadir atas sebab-sebab tertentu yang tidak dapat dielakkan.

Lebih men"drama"kan lagi majlis malam itu ialah kerana En. Azizan ini akan meninggalkan KDSP pada hujung bulan November ini dan hari tersebut merupakan hari terakhir beliau dalam minggu latihan.

"Rasa sedih nak bersara kali ini jauh berbeza dengan nak berhenti dalam perkhidmatan TLDM kerana dalam TLDM kita sendiri minta berhenti tapi dalam PSSTLDM ni kita tak mau berhenti tapi kena berhenti... sebab tak dapat sambung..." katanya semasa diminta memberi ucapan ringkas pada majlis malam tu.


Majlis malam tu juga disertai Junior Rate untuk sama-sama meraikan jurulatih mereka yang telah dan bakal bersara. Para jemputan pula terdiri dari Timbalan Pegawai Staf (Lt. Thomas), Wakil Pegawai (Lt. Jee Jeet Yuan) dan Wakil Staf / Juragan (Coxswain) KDSP iaitu BK Puad.

Jamuan bermula jam 1930 dengan menu malam itu merupakan hidangan nasi putih berlaukkan ikan siakap masak 3 rasa, siakap bakar, tomyam sea food, kailan goreng ikan masin, sotong goreng tepung, buah betik, minuman fresh orange dan sirap. Memang menyelerakan...

Selepas selesai makan, majlis diteruskan dengan ucapan ringkas dari urusetia majlis iaitu P/BM TMK Zainudin dan seterusnya mempersilakan Presiden Wisma Bintara PSSTLDM iaitu PW1 PPP (GI) Shukri menyerahkan cenderahati berupa 'frame plague' sebagai Penghargaan dan Jasamu Dikenang kepada mereka yang diraikan ikhlas dari Wisma Bintara.

Kepada pesara-pesara dan bakal pesara PSSTLDM yang diraikan, kami semua ingin mengucapkan;

"Selamat bersara dan semoga maju jaya dalam segala lapangan yang diceburi serta jutaan terima kasih di atas segala ilmu dan tunjuk ajar selama ini".

Sedia Berkorban

Majlis bersurai jam 2130.